Monday 12 March 2012

Kesan baik kepimpinan negeri yang mesra dan dahulukan rakyat


… natijahnya, Yayasan Pahang (YP) raih anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik Asia Pasifik


MESRA PEMIMPIN DENGAN RAKYATNYA.... Dato' Sri DiRaja Adnan, diiringi Menteri Kesihatan yang juga ahli parlimen Bentong, Dato' Sri Liow Tiong Lai sedang menyampaikan beg kepada seorang daripada 1,605 pelajar pada petang Jumaat itu. 

Lihatlah kemesraan yang terserlah yang menandakan hubungan harmoni antara pemimpin dan anak-anak buahnya termasuklah dalam kalangan para pelajar.    


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Apakah maknanya apabila Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang sering digambarkan oleh puak-puak pencemuhnya sebagai ‘brutal’, telah dalam nada suara sebak, mengungkapkan kata-kata berikut;

“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan meneruskan program bantuan pendidikan untuk memastikan setiap pelajar yang layak tidak tercicir dan tertinggal, mencapai tahap pendidikan setinggi yang mungkin.

“Kita tidak akan membiarkan kemiskinan dan ketidak mampuan sesebuah keluarga menyebabkan seseorang pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat setinggi-tingginya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan ketika menyentuh aspek pendidikan dalam ucapan Bajet Negeri 2006 yang dibentangkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 15 November 2005.

Ini tidak lain bermaksud betapa lembutnya hati Dato’ Sri DiRaja Adnan dan begitu ‘passionate’nya serta penekanan yang sangat tinggi yang diberikan olehnya sendiri – yang juga bekas pendidik, kepada bidang pendidikan di negeri ini.

Sementelah pula, Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah Pengerusi Yayasan Pahang (YP), yang diwarisinya daripada menteri besar yang juga pengerusi yayasan tersebut yang terdahulu seperti Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak sendiri, dan Tun Khalil Yaakob.

YP SUDAH BELANJA LEBIH RM670 JUTA UNTUK PENDIDIKAN

Kalau pada era Dato’ Sri Mohd Najib – pencetus idea penubuhan YP pada 1983, fokus utama ialah ke arah memastikan anak-anak negeri mendapat akses pendidikan yang sempurna selain memberi perhatian langsung kepada anak-anak daripada keluarga kurang kemampuan dari sekolah-sekolah luar bandar.

Era Tun Khalil pula, peranan dan fungsi YP dimantapkan dengan perhatian diberi sama beratnya antara tanggungjawab sosial dengan pengukuhan kewangan YP yang pada era beliaulah pada tahun 1992, IKIP Education Sdn Bhd ditubuhkan seterusnya penubuhan Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP).  

Pada era Dato’ Sri DiRaja Adnan, kesemua yang telah menjadi fokus dan pelaksanaan oleh kedua-dua menteri besar dan pengerusi YP tersebut telah diperkuatkan lagi. Melihat daripada segi peruntukan kewangan sahajapun sudah cukup untuk menjustifikasikannya.

Daripada peruntukan cuma RM1.5 juta setahun semasa mula-mula YP ditubuhkan, meningkat kepada RM22  juta setahun pada tahun-tahun 1990-an dan kini, selepas hampir tiga dekad penubuhan YP, peruntukannya sudahpun mencecah RM192 juta setahun!

Dan sejak penubuhan sehingga kini juga, YP telah membelanjakan RM678 juta bagi menjayakan program-program pembangunan pendidikan di negeri yang memberi manfaat sehingga kira-kira 600,000 pelajar!

LEBIH RM500 JUTA SAHAJA UNTUK BIASISWA DAN PINJAMAN

Ini meliputi RM331 juta berbentuk bantuan pinjaman kepada kira-kira 30,000 pelajar; RM201 juta biasiswa kepada kira-kira 170,000 pelajar; dan selebihnya, RM142 juta bagi program-program pembangunan modal insan, kebajikan dan sosial yang dimanfaati oleh kira-kira 389,000 orang di negeri ini.

Semasa era Dato’ Sri DiRaja Adnan jugalah, dengan dorongan kuat oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang maka  Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) ditubuhkan. Matlamatnya, bagi melahirkan bukan sekadar para hafiz dan hufaz, tetapi hafiz dan hufaz yang juga ialah professional dan teknokrat.

IKIP pula telah dimantapkan lagi peranan dan tanggingjawabnya sehinggalah ia kini bertaraf kolej universiti yang bertaraf antarabangsa,  dikenali sebagai Kolej Antarabngsa IKIP.

Atas usaha-usaha inilah, tidak menghairankan apabila YP telah berjaya merangkul anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik untuk rantau Asia Pasifik anjuran Akademi Asia Pacific Business Excellence Standard (APBEST) yang berpangkalan di Hong Kong.

Anugerah telah disampaikan pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di negara itu pada 20 Februari lepas yang mana YP diwakili oleh ahli lembaga pengarah, Dato' Law Kee Long yang mengetuai delegasi pengurusan dan kakitangan YP, telah menerima anugerah berprestij itu daripada Pengasas, Akademi APBEST, Prof Ho Kwong Ming Samuel.

ANUGERAH INDIVIDU PULA UNTUK PENGURUS BESAR

Selain anugerah tersebut, Pengurus Besar YP, Dato Saariah Saad turut merangkul anugerah individu sebagai pemacu tanggungjawab sosial tahunan APBEST.

Akademi APBEST ialah sebuah badan tidak berasaskan keuntungan yang berperanan membuat penilaian kualiti ke atas pelbagai organisasi di rantau Asia Pasifik ini, sambil membantu organisasi berkenaan untuk menambah-baik urustadbir korporat menerusi piawaian kecemerlangan perniagaannya.

Antara organisasi yang pernah mendapat anugerah APBEST ini ialah Hospital Queen Elizabeth, yang merupakan hospital terbesar di Hong Kong dan Kalmar A-P Operation milik Cargotec, Finland yang menguruskan operasi pelabuhan antarabangsa.

Sebelum daripada itu lagi, YP telah dikenalpasti oleh SIRIM Bhd sebagai organisasi yang berpotensi untuk memenangi anugerah ini ekoran kejayaan YP melaksanakan aktiviti meningkatkan kualiti penyampaiannya secara berterusan.

Pada tahun 2010, YP telah dianugerahkan persijilan TQM Fast Track oleh SIRIM Bhd hasil kejayaan YP melaksanakan aktiviti-aktiviti yang merangkumi persijilan MS ISO 9001:2008, persijilan 5 S, kumpulan ‘Innovative Creative Circle’, ‘Occupational Safety and Health (OSH)’ dan ‘Key Performance Indicators (KPI)’.

YP GUNA KRITERIA LUAR NEGARA

Selain daripada itu, YP telah turut memberi penekanan terhadap perlaksanaan sistem pengurusan kualiti dengan menjadi agensi kerajaan negeri Pahang pertama memperolehi persijilan ISO 9001:2000 pada tahun 2004 lagi.

Bagi anugerah APBEST ini, YP menggunakan kriteria ‘Malcolm Baldrige National Quality Award (MBQA)’ dengan penilaian dilakukan berasaskan tujuh (7) kriteria iaitu kepemimpinan, perancangan, tumpuan pelanggan, pengurusan ilmu, proses kerja tenagakerja, tumpuan operasi, dan keberhasilan.

Satu kertas kerja telah disediakan dan diserahkan kepada pengurusan Akedemi APBEST pada Jun lepas yang kemudian dinilai oleh Encik George Laszlo – ketua pemeriksa, ‘Canadian Quality Award’ dan Dr Palmira Fresno Lopez – ketua pemeriksa, ‘Spanish Quality Award’, dan Prof Ho sendiri.

Lanjutan daripada itu, pemeriksa-pemeriksa APBEST termasuk Dr Palmira dan Prof Ho, telah melawat YP di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur pada  29 Julai lepas bagi melakukan kerja-kerja penilaian termasuk menemu-bual pelanggan-pelanggan YP.

Dan, kejayaan yang dikecapi ini turut disumbang oleh pengurusan cekap YP, termasuklah oleh anak-anak syarikatnya khususnya YP Plantations Sdn Bhd – agensi penjana kewangan YP sendiri.

YP BERDIKARI SEJAK ENAM TAHUN LEPAS

‘Core-business’ YP Plantations Sdn Bhd ialah sebagai pemaju ladang sawit yang kini, ia telahpun berjaya mengusahakan seluas 20,000 hektar, dan masih mempunyai keluasan tanah kira-kira 35,000 hektar untuk membangunkannya.

Oleh kerana kecekapan YP mengendalikan kewangannya maka sejak enam tahun lepas lagi, YP tidak lagi bergantung kepada dana suntikan Kerajaan Negeri sebanyak kira-kira RM11 juta setahun.

“Sudah enam tahun YP tidak diberi peruntukan oleh Kerajaan Negeri. YP dapat berdikari dengan hasil kelapa sawit yang diusahakan oleh YP Plantations Sdn Bhd,” demikian kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada majlis penyampaian pakaian dan beg sekolah kepada 1,605 pelajar di Simpang Pelangai, Bentong, Jumaat, 9 Mac lepas.

Usaha murni YP serta kecekapannya memikul amanah bagi mensejahterakan rakyat menerusi bantuan-bantuan pendidikan, semestinya diteruskan lagi selepas ini dan adalah dijangkakan, kecemerlangannya dapat terus dipertahankan. – Khabar     


MATA KE MATA;

*** “Kita tidak akan membiarkan kemiskinan dan ketidak mampuan sesebuah keluarga menyebabkan seseorang pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat setinggi-tingginya”.

*** Lembutnya hati dan tingginya ‘passionate’ Dato’ Sri DiRaja Adnan terhadap bidang pendidikan.

*** Peruntukan YP meliputi RM331 juta berbentuk bantuan pinjaman kepada kira-kira 30,000 pelajar; RM201 juta biasiswa kepada kira-kira 170,000 pelajar; dan selebihnya, RM142 juta bagi program-program pembangunan modal insan, kebajikan dan sosial yang dimanfaati oleh kira-kira 389,000 orang di negeri ini.

*** “Sudah enam tahun YP tidak diberi peruntukan oleh Kerajaan Negeri. YP dapat berdikari dengan hasil kelapa sawit yang diusahakan oleh YP Plantations Sdn Bhd”.