Saturday 31 March 2012

Mahkamah Rayuan putuskan syarikat Seruan Gemilang yang perlu bayar RM70 juta!


… disebalik tohmahan Kerajaan Negeri tidak mengendahkan perintah mahkamah, sedangkan proses mahkamah masih berjalan hinggalah kepada keputusan oleh Mahkamah Rayuan ini.

SALURAN SAH DALAM MENUNTUT KEADILAN... Indah tersergamnya Istana Kehakiman di Wilayah Persekutuan Putrajaya. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Disebalik puak-puak pembangkang memainkan isu Kerajaan Negeri bangkrap dan samseng ekoran kononnya mengabaikan keputusan mahkamah sebelum ini mengenai keperluannya membayar jutaan ringgit kepada sebuah syarikat pembalakan;

Mahkamah Rayuan yang bersidang pada Khamis, 29 Mac di Istana Kehakiman, Putrajaya, memutuskan bahawa syarikat tersebut – Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd, ialah pihak yang perlu membuat pembayaran berkenaan.

Mahkamah Rayuan itu yang bersidang dengan tiga (3) hakim diketuai Dato’ Sri Panglima Sulong Matjeraie, mengambil keputusan bahawa Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd perlu membayar sekurang-kurangnya RM70 juta kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang sebagai hasil yang syarikat itu perolehi daripada kerja-kerja pembalakan.

Syarikat yang sama juga diarah supaya membayar dengan kos sebanyak RM30,000.

Dua hakim lain yang bersidang bersama-sama Dato’ Sri Panglima Sulong ialah Dato’ Clement Allan Skinner dan Dato’ Wira Mohtarudin Baki, dan keputusan oleh ketiga-tiga hakim ini ialah sebulat suara!

PERJANJIAN ‘ADALAH TERBATAL DAN TIDAK SAH’

Keputusan ini ialah ekoran Mahkamah Rayuan yang sama yang memutuskan untuk  mengetepikan satu rayuan oleh Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Mariana Yahya telah pada 26 Jun lepas (2011) membuat keputusan memerintahkan bahawa perjanjian antara Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dengan syarikat pembalakan tersebut pada 2 Oktober 2000 ‘adalah terbatal dan tidak sah dan/atau telah diberhentikan.

‘Dan adalah selanjutnya diperintahkan bahawa tuntutan balas defendan [NOTA : Badan Perhubungan UMNO Pahang] terhadap plaintif [NOTA : Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd] maka hanya tinggal isu gantirugi sahaja untuk taksiran’.


Asalnya, sejak tahun 2003 lagi, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd telah melaksanakan tindakan ke atas Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, mendakwa berlaku pelanggaran ke atas kontrak berkaitan kerja-kerja untuk membalak ke atas sebidang tanah di Nenasi, Mukim Bebar, Pekan.

Lanjutan itu pada 25 Mei 2007, Mahkamah Tinggi Kuantan telah memutuskan tentang pembayaran yang harus Kerajaan Negeri lakukan kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd sebanyak RM37.13 juta, dengan faedah lapan (8) peratus setahun berkuatkuasa 31 Disember 2000.

PROSES MAHKAMAH TAK HENTI SETAKAT KEPUTUSAN TAHUN 2007

Selepas itu bagaimanapun, proses mahkamah terus berlaku termasuklah pada 9 Oktober 2009, dengan permohonan Menteri Besar kepada Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan perintah ‘mandamus’ oleh Mahkamah Tunggi Kuantan juga, mengarahkan Menteri Besar sendiri melakukan pembayaran tersebut.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa, Pegawai Kewangan Negerilah yang sepatutnya dinamakan sebagai ‘responden’ dalam perintah ‘mandamus’ tersebut, bukannya Menteri Besar.

Pada 1 Disember 2009 pula, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan ketika itu, Dato’ V.T.Singham memutuskan, membatalkan tuntutan syarikat berkenaan ke atas Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang – pemilik kepada kawasan hutan sudah kerja seluas 10,000 ekar, yang menjadi isu kepada proses-proses mahkamah ini.  

(Syarikat ini telah asalnya memohon dan diluluskan oleh Kerajaan Negeri, lalu menjalin perjanjian dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang bagi mengeluarkan saki-baki hutan milik parti politik tersebut tetapi kemudian menuntut diberikan kawasan hutan dara yang bersebelahan, dengan mengemukakan pelan yang luar dari kawasan hutan sudah kerja seluas 10,000 ekar tersebut).

Rayuan oleh syarikat pembalakan yang sama ke Mahkamah Rayuan kemudian juga ditolak. Ia membawa satu lagi saman ke atas Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, dan saman inilah yang ditolak sepertimana keputusan Hakim Dato’ Mariana Yahya pada 26 Jun tersebut.

PROSES MAHKAMAH BELUM MUKTAMAD TAPI KECAM MB

Dalam pada proses-proses mahkamah ini belum muktamad lagipun, pihak syarikat berkenaan yang disokong pula oleh puak-puak pembangkang, telah mengambil kesempatan untuk mengecam Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.

Salah-gambaranpun cuba diberikan kepada umum kononnya Kerajaan Negeri engkar terhadap keputusan mahkamah pada 25 Mei 2007 berkenaan, hingga mereka sanggup menempelak dan melabel dengan teruk sekali kepemimpinan negeri di bawah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

SIAPAKAH SEBENARNYA YANG ENGKARI UNDANG-UNDANG?...  


Bagi merancakkannya lagi, ‘mogok lapar berganti-ganti’ dianjurkan yang disertai oleh 10 ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan di depen sebuah kuil di Segambut, Kuala Lumpur antara 8 dan 14 September lepas.

“Kami lakukan ini bukan sangat kerana wang, tetapi untuk menuntut keadilan. Kerajaan Negeri Pahang tidak hiraukan undang-undang. Saya bekas pegawai mahkamah dan tahu bahawa keadilan yang dilengahkan ialah keadilan yang dinafikan,” kata seorang daripada yang terlibat dengan mogok lapar tersebut sepertimana dilaporkan oleh sebuah portal berita pro-pembangkang.

Semasa melawat ke tempat mereka mogok lapar ini pula, seorang daripada pemimpin parti pembangkang yang juga ahli parlimen dari Selangor dilaporkan berkata; “Kerajaan Negeri Pahang tidak hormat kepada undang-undang.

MOGOK LAPAR, UGUT BAKAR DIRI

“Mahkamah telahpun membuat keputusan, janganlah mengaburi pihak awam. Bagi sebuah Kerajaan Negeri tidak mengendahkan langsung keputusan mahkamah… ia (Kerajaan Negeri itu) sama ada bangkrap atau terdiri daripada sekelompok samseng”.

Demi meraihkan lagi simpati umum, seorang lagi daripada 10 orang yang mogok lapar itu telah berjanji untuk menderma sekurang-kurangnya RM3 juta kepada badan-badan kebajikan jika Kerajaan Negeri membuat bayaran ke atas tuntutan tersebut.

Pada Februari lepas pula, seorang yang mendakwa dirinya sebagai pelabur dalam Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd telah turut mogok lapar serta mengugut membakar dirinya jika Kerajaan Negeri terus mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi pada 2007 itu.

“Saya mahu rakyat Pahang dan Malaysia tahu bahawa rakyat menolak pemimpin yang cuba untuk menipu orang ramai. Mereka ini, tidak berbeza daripada perompak.

“Jika setiap pemimpin kita seperti pemimpin Pahang, adakah pelabur asing akan terus datang?”
katanya di tempat melancarkan mogok lapar di padang Kota Damansara, Selangor sepertimana dilaporkan oleh portal berita pro-pembangkang berkenaan.

LAPORAN ‘HALF-TRUTH’ PORTAL BERITA PRO PEMBANGKANG

Dan portal berita tersebut berlaku tidak adil lagi kepada Kerajaan Negeri apabila turut melaporkan bahawa, “Mahkamah Rayuan pada 2009, memutuskan bahawa Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Adnan Yaakob tidak perlu membayar RM63 juta kepada syarikat balak Seruan Gemilang Makmur kerana tersilap dinamakan sebagai responden dalam kes melanggar perjanjian itu.

“Bagaimanapun, Hakim Datuk Zaleha Zahari memutuskan bahawa RM63 juta yang terhutang kepada Seruan Gemilang, masih perlu dibayar,”
 tanpa portal berita tersebut melakukan semakan terperinci ataupun sengaja mendiamkan hakikat betapa beberapa keputusan mahkamah selepas itu, ada dibuat dan pula memihak kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang seterusnya Kerajaan Negeri.

Begitulah jahatnya puak-puak pembangkang termasuklah organisasi media pro-pembangkang ini, yang gemar menceritakan yang ‘half truths’ serta fitnah, demi kepentingan masing-masing.

Penulis memuji sikap Dato’ Sri DiRaja Adnan. Disebalik keputusan terkini oleh Mahkamah Rayuan yang memberi ‘kemenangan’ kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, yang secara tidak langsung juga kepada Kerajaan Negeri lalu beliau boleh sahaja untuk ‘pulang paku buah keras’ terhadap para pencemuhnya.

Namun, inilah mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) yang beliau kirimkan kepada peguam Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang mengendalikan kes ini, Encik Toh Seng Soon, yang sebelum itu menanyakan kalau-kalau keputusan baik itu patut diuar-uarkan pula menerusi persidangan media.

“Pada saya, tidaklah perlu untuk mengadakan persidangan akhbar bagi menerangkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dengan Seruan Gemilang. Kekal tenang dan kekal merendah diri”.  – Khabar
 

MATA KE MATA;

*** Dua hakim lain yang bersidang bersama-sama Dato’ Sri Panglima Sulong ialah Dato’ Clement Allan Skinner dan Dato’ Wira Mohtarudin Baki, dan keputusan oleh ketiga-tiga hakim ini ialah sebulat suara!

*** Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Mariana Yahya telah pada 26 Jun lepas (2011) membuat keputusan memerintahkan bahawa perjanjian antara Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dengan syarikat pembalakan tersebut pada 2 Oktober 2000 ‘adalah terbatal dan tidak sah dan/atau telah diberhentikan.

‘Dan adalah selanjutnya diperintahkan bahawa tuntutan balas defendan [NOTA : Badan Perhubungan UMNO Pahang] terhadap plaintif [NOTA : Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd] maka hanya tinggal isu gantirugi sahaja untuk taksiran’.

*** Dalam pada proses-proses mahkamah ini belum muktamad lagipun, pihak syarikat berkenaan yang disokong pula oleh puak-puak pembangkang, telah mengambil kesempatan untuk mengecam Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.
           
Salah-gambaranpun diberikan kepada umum kononnya Kerajaan Negeri engkar terhadap keputusan mahkamah pada 25 Mei 2007 berkenaan, hingga mereka sanggup menempelak dan melabel dengan teruk sekali kepemimpinan negeri di bawah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

*** Demi meraihkan lagi simpati umum, seorang lagi daripada 10 orang yang mogok lapar itu telah berjanji untuk menderma sekurang-kurangnya RM3 juta kepada badan-badan kebajikan jika Kerajaan Negeri membuat bayaran ke atas tuntutan tersebut.

Pada Februari lepas pula, seorang yang mendakwa dirinya sebagai pelabur dalam Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd telah turut mogok lapar serta mengugut membakar dirinya jika Kerajaan Negeri terus mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi pada 2007 itu.