Friday 2 March 2012

Yayasan Pahang rangkul anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik Asia Pasifik


Lagi bukti usaha gigih Yayasan Pahang dalam terus membantu mensejahterakan rakyat menerusi pendidikan

LAMBANG KECEMERLANGAN... Inilah lambang kebanggaan kita bersama. Yayasan Pahang telah melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan sejak penubuhannya tahun 1982, demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi aspek penting, pendidikan.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Yayasan Pahang (YP) yang sememangnya terkenal dengan segala bentuk bantuan pendidikan bagi manfaat pelajar di negeri ini, telah merangkul anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik untuk rantau Asia Pasifik.

Anugerah tersebut anjuran Akademi Asia Pacific Business Excellence Standard (APBEST) yang berpangkalan di Hong Kong, telah disampaikan pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di negara itu pada 20 Februari lepas.

Ahli lembaga pengarah YP, Dato’ Law Kee Long yang mengetuai delegasi pengurusan dan kakitangan YP, telah menerima anugerah berprestij itu daripada Pengasas, Akademi APBEST, Prof Ho Kwong Ming Samuel.

Selain anugerah tersebut, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh yayasan itu hari ini, Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad turut merangkul anugerah individu sebagai pemacu tanggungjawab sosial tahunan APBEST (ENG : APBEST social responsibility driver of the year).

Akademi APBEST ialah sebuah badan tidak berasaskan keuntungan yang berperanan membuat penilaian kualiti ke atas pelbagai organisasi di rantau Asia Pasifik ini, sambil membantu organisasi berkenaan untuk menambah-baik urustadbir korporat menerusi piawaian kecemerlangan perniagaannya.


SETEGUH BANGUNANNYA... Sepertimana teguhnya bangunan Kompleks Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur ini, begitulah juga kukuh dan berkesannya peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh YP selama ini. 


YAYASAN PAHANG SEHEBAT ORGANISASI ANTARABANGSA

Antara organisasi yang pernah mendapat anugerah APBEST ini ialah Hospital Queen Elizabeth, yang merupakan hospital terbesar di Hong Kong dan Kalmar A-P Operation milik Cargotec, Finland yang menguruskan operasi pelabuhan antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, YP telah dikenalpasti oleh SIRIM Bhd sebagai organisasi yang berpotensi untuk memenangi anugerah ini ekoran kejayaan YP melaksanakan aktiviti meningkatkan kualiti penyampaiannya secara berterusan.

Pada tahun 2010 kata kenyataan itu, YP telah dianugerahkan persijilan TQM Fast Track oleh SIRIM Bhd hasil kejayaan YP melaksanakan aktiviti-aktiviti yang merangkumi persijilan MS ISO 9001:2008, persijilan 5 S, kumpulan ‘Innovative Creative Circle’, ‘Occupational Safety and Health (OSH)’ dan ‘Key Performance Indicators (KPI)’.

Selain daripada itu, YP telah turut memberi penekanan terhadap perlaksanaan sistem pengurusan kualiti dengan menjadi agensi kerajaan negeri Pahang pertama memperolehi persijilan ISO 9001:2000 pada tahun 2004 lagi.

Bagi anugerah APBEST ini, menurut kenyataan yang sama, YP menggunakan kriteria ‘Malcolm Baldrige National Quality Award (MBQA)’ dengan penilaian dilakukan berasaskan tujuh (7) kriteria iaitu kepemimpinan, perancangan, tumpuan pelanggan, pengurusan ilmu, proses kerja tenagakerja, tumpuan operasi, dan keberhasilan.

YP BERADA ATAS LANDASAN BETUL

Satu kertas kerja telah disediakan dan diserahkan kepada pengurusan Akedemi APBEST pada Jun lepas yang kemudian dinilai oleh Encik George Laszlo – ketua pemeriksa, ‘Canadian Quality Award’ dan Dr Palmira Fresno Lopez – ketua pemeriksa, ‘Spanish Quality Award’, dan Prof Ho sendiri.

Lanjutan daripada itu, pemeriksa-pemeriksa APBEST termasuk Dr Palmira dan Prof Ho, telah melawat YP di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur pada  29 Julai lepas bagi melakukan kerja-kerja penilaian termasuk menemu-bual pelanggan-pelanggan YP.

“Kami bangga dengan kejayaan ini. Ini membuktikan lagi YP yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, berada di atas landasan yang betul dalam memainkan peranannya bagi mensejahterakan rakyat,” kata Dato’ Saariah sepertimana terkandung dalam kenyataan tersebut. – Khabar



MATA KE MATA;

*** Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad turut merangkul anugerah individu sebagai pemacu tanggungjawab sosial tahunan APBEST.

*** Antara organisasi yang pernah mendapat anugerah APBEST ini ialah Hospital Queen Elizabeth, yang merupakan hospital terbesar di Hong Kong.

*** YP pernah dianugerahkan persijilan TQM Fast Track oleh SIRIM Bhd hasil kejayaan YP melaksanakan pelbagai aktiviti.

*** Anugerah oleh APBEST ini membuktikan lagi YP yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, berada di atas landasan yang betul.