Sunday 8 July 2012

Disiplin dalam bersukan sambil bertemasya


sempena Sukan Malaysia XV Pahang 2012

LANTANG, TANPAPUN BANTUAN ALAT SIARAYA... Pemain-pemain Sarawak sedang menyanyikan lagu negeri, Ibu Pertiwiku. Disiplin dan semangat patriotisme sebeginilah yang dituntut sungguhpun dalam acara sukan. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Pagi Ahad, 8 Julai di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) dekat sini sayu seketika apabila pemain-pemain pasukan hoki wanita Sarawak secara spontan menyanyikan lagu negeri – Ibu Pertiwiku, sejurus sebelum bermula perlawanan peringkat kumpulan menentang Perak.

Kesayuan itu sedemikian hingga seluruh stadium yang sebelum itu riuh telah terdiam kerana menghayati dan menghormati nyanyian lagu negeri oleh kesebelasan pemain dari Bumi Kenyalang itu.    

Ini pula dilakukan tanpapun memerlukan alat siaraya. Bait-bait lagu yang dinyanyikan itu jelas kedengaran hingga menaikkan semangat mereka yang mendengarnya apatah lagi jika dianya rakyat Sarawak.

Bahawa lagu tersebut terdapat lirik – Sarawak dalam Malaysia, membutkikan semangat  kekitaan, bersama-sama rakyat negeri lain dalam sebuah negara persekutuan lagi berdaulat, Malaysia.

Lirik penuh lagu Ibu Pertiwiku ialah; Sarawak tanah airku, Negeriku tanah airku Sarawak, Engkaulah tanah pusakaku, Tanah tumpah darahku, Ibu pertiwiku. Rakyat hidup mesra dan bahagia, Muhibbah sentiasa, Bersatu berusaha berbakti, Untuk Sarawakku cintai.

AURAT TETAP DIPELIHARA... Foto ini dirakamkan semasa pertandingan badminton Terengganu menentang Melaka di Stadium Tertutup, Kompleks SUKPA pada pagi minggu tersebut. 

Yang menarik perhatian ialah pakaian memelihara aurat oleh pemain Terengganu (berbaju-T warna hitam), yang dengan pakaian tersebut tidak menghalang beliau bergerak lincah di atas gelanggang.  


SARAWAK DALAM MALAYSIA

Sarawak dalam Malaysia, Aman makmur rahmat Tuhan Maha Esa, Kekallah Sarawak bertuah, Teras perjuangan rakyat, Berjaya berdaulat.

Sepertimana disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Sarawak ini sebelum perlawanan, begitulah juga yang dipamerkan dalam  perlawanan dan tamat separuh masa pertama sahaja, ia mendahului Perak 1 - 0.

Sementara itu, suasana temasya terasa di beberapa ‘venue’ kejohanan yang sempat penulis hadiri pagi ini sama ada di Stadium Hoki SUKPA, di Gimnasium, Lapangsasar Menembak dan, Stadium Tertutup yang terletak dalam perkarangan Kompleks SUKPA ini.

Selaras dengan nama ‘venue’nya, Gimnasium menyaksikan pertandingan sukan gimnastik diadakan di dalamnya, Lapangsasar Menembak untuk acara menembak 10 meter, 25 meter dan 50 meter, manakala Stadium Tertutup untuk acara badminton.

Suasana bertemasya yang serupa juga – dengan gerai-gerai penjaja baik makanan mahupun pakaian didirikan di kawasan-kawasan tertentu di persekitaran, dapat turut dirasai ketika penulis ke Kompleks Kolam Renang, Wisma Belia berdekatan yang turut terletak di Bandar Indera Mahkota ini.

Dan, ini hanyalah hari kedua Sukan Malaysia XV Pahang 2012 dilangsungkan selepas dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang pada acara gilang-gemilang di Stadium Darul Makmur, malam tadi, Sabtu, 7 Julai. – Khabar

TURUN PADANG... Dalam ertikata sebenar. Kelihatan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim turun padang di Stadium Hoki, Kompleks SUKPA pada pagi Ahad yang sama, memberikan semangat kepada pemain-pemain pasukan hoki wanita negeri tersebut. 

Sebelum itu, pasukan hoki wanita berkenaan telah tewas kepada pasukan Pulau Pinang, 1 - 2 dalam satu lagi perlawanan Kumulan B, pertandingan hoki wanita kejohanan Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini.    


MATA KE MATA;

*** Bahawa lagu tersebut terdapat lirik – Sarawak dalam Malaysia, membutkikan semangat  kekitaan, bersama-sama rakyat negeri lain dalam sebuah negara persekutuan lagi berdaulat, Malaysia.

*** Sepertimana disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Sarawak ini sebelum perlawanan, begitulah juga yang dipamerkan dalam  perlawanan dan tamat separuh masa pertama sahaja, ia mendahului Perak 1 - 0.