Saturday 28 July 2012

Tazkirah, belon 'Boboy dan 'Angry bird' serta berbuka di padang


USTAZ AZHARI DENGAN TAZKIRAHNYA...


PADANG MPK 1, KUANTAN – Perubahan yang baik. Bermula Rabu, 25 Julai bersamaan 5 Ramadan lepas, umat Islam yang datang ke padang ini untuk berbuka puasa mula disajikan dengan program ‘Haflatul Quran & Tazkirah Ramadan’ anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menerusi program ini, qari dan penceramah jemputan diberi ruang mendengarkan bacaan al-Quran dan tazkirah mereka sambil-sambil pengunjung menghadap juadah berbuka sementara menunggu azan Maghrib dari Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 bersebelahan, tanda waktu berbuka.

Penulis berkesempatan menyertai mereka pada petang Sabtu, 28 Julai bersamaan 8 Ramadan. Sambil duduk atas hamparan tikar plastik yang baharu dibeli RM20 dari gerai penjaja berhampiran, tumpuan kini ialah kepada program tersebut.

Yang mengacarakan program ialah penceramah terkenal yang juga pegawai JAIP, Ustaz Badli Shah Alauddin. Beliau ada mengingatkan umat Islam yang hadir tentang tiga (3) perkara yang penulis simpulkan seperti berikut;

Jaga kebersihan padang, dengan membuang bekas-bekas juadah ke dalam tong-tong sampah yang disediakan oleh syarikat konsesi, Alam Flora – kira-kira 50 buah kesemuanya, yang ditempatkan dalam jarak ‘boleh-capai’ oleh pengunjung.

BEBRBUKA ALA-BERKELAH, BERLATARKAN MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1...


JAGA KEBERSIHAN, JAGA SOLAT, JAGA KESELAMATAN

Jaga solat, dengan segera ke Masjid Negeri berdekatan agar tidak terlepas daripada menunaikan solat Maghrib yang tempohnya singkat, kira-kira sejam lebih sedikit sahaja sebelum tiba waktu Isya’.

Jaga keselamatan terutamanya anak-anak yang dibawa bersama oleh ibubapa mereka.

Menerusi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Azhari Daud – sepertimana diperkenalkan oleh Ustaz Badli Shah, pengunjung diingatkan agar bersyukur dengan nikmat kehidupan yang aman sejahtera dalam negara kita.

Beliau membandingkan keadaan ini dengan umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang mengalami penindasan yang teruk, antaranya, 22 masjid dibakar manakala kira-kira 50,000 nyawa melayang di bumi negara Indo China itu.

Program ringkas sebegini kepada penulis adalah baik. Ia menandakan keseriusan JAIP dalam memasyarakatkan lagi kaedah pendakwahan mereka – daripada mengharapkan umat Islam pergi kepadanya kini JAIP pergi kepada mereka;

MENJELANG WAKTU BERBUKA... Mereka yang nun di sana, tak mungkin dapat mendengar apa yang ditazkirahkan ekoran sistem siaraya yang tidak mencukupi yang lebih tertumpu di kawasan sekitar pentas di sebelah kanan foto ini (tidak kelihatan).


Lihatlah juga kepada anak-anak dengan belon watak animasi tempatan 'Boboy' mereka.  


‘SPEAKER’ TAK CUKUP

Manakala para pegunjung pula, yang komposisinya pelbagai – daripada yang bujang lelaki-perempuan, hinggalah sekeluarga termasuk datuk dan nenek, akan dapat memenuhi masa luang sementara menunggu waktu berbuka, dengan aktiviti berfaedah.

Bagaimanapun, kelemahan yang nyata daripada program yang julung-julung kali dianjurkan pada tahun ini ialah, alat siaraya yang kurang bertenaga lalu yang boleh mendengar apa yang dibaca dan ditazkirahkan cuma di sekitar pentas yang didirikan sahaja.

Sementara itu, solat sunat Terawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang turut penulis sertai pada malam yang sama, masih menunjukkan kehadiran jemaah yang ramai sungguhpun bilangan itu mengecil secara mendadak selepas rakaat kelapan.

Sepertimana tahun sudah-sudah, senario ini dijangka berkekalan hinggalah menjelang 10 hari terakhir Ramadan apabila bilangan jemaah semakin berkurangan mungkin kerana sebahagian besarnya perlu pulang ke kampong halaman untuk berHari Raya. 

RAKAAT KE-9 & KE-10?... Inilah sebahagian daripada jemaah (penulis tidak terkecuali) yang meninggalkan masjid selepas menunaikan solat sunat Terawih setakat lapan (8) rakaat, serta Witir tiga (3) rakaat, yang dilakukan secara sendirian. – Khabar        


MATA KE MATA;

*** Menerusi program ini, qari dan penceramah jemputan diberi ruang mendengarkan bacaan al-Quran dan tazkirah mereka sambil-sambil pengunjung menghadap juadah berbuka sementara menunggu azan Maghrib dari Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 bersebelahan, tanda waktu berbuka.
  
*** Menerusi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Azhari Daud – sepertimana diperkenalkan oleh Ustaz Badlishah, pengunjung diingatkan agar bersyukur dengan nikmat kehidupan yang aman sejahtera dalam negara kita.

*** Beliau membandingkan keadaan ini dengan umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang mengalami penindasan yang teruk, antaranya, 22 masjid dibakar manakala kira-kira 50,000 nyawa melayang di bumi negara Indo China itu.

*** Program ringkas sebegini kepada penulis adalah baik. Ia menandakan keseriusan JAIP dalam memasyarakatkan lagi kaedah pendakwahan mereka – daripada mengharapkan umat Islam pergi kepadanya kini JAIP pergi kepada mereka.