Thursday 30 August 2012

"..., Manusia Dipegang Pada Janjinya".


… perutusan Menteri Besar sempena sambutan Hari Kemerdekaan bertemakan, ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’ pada Jumaat, 31 Ogos 2012 bersamaan 13 Syawal 1433H.

BEBAS DARIPADA BELENGGU PENJAJAHAN... Serta usaha yang harus berterusan bagi memelihara kemerdakaan negara kita yang berdaulat. 

 
kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan Salam 1Malaysia.

Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan keizinannya juga, kita dapat sama-sama merayakan sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 bertemakan – ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’.

Sepertimana dengan tema Hari Kemerdekaan yang sudah-sudah, tema kali ini juga dilihat wajar, yang menepati keadaan serta kehendak semasa.

Menurut peribahasa Melayu kita, ‘Jika kerbau dipegang pada talinya, jika manusia dipegang pada janjinya’. Yang bermaksud, janji yang dilakukan oleh manusia mestilah ditepati.

‘Janji’, sepertimana maksud diberikan oleh Kamus Dewan ialah, pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu.

QURAN & HADITH JUGA ADA SEBUT TENTANG JANJI

Dalam al-Quran sendiri ada menyebut tentang janji, serta keperluan dan kemestian untuk menepatinya.

Misalnya, ayat 40, surah al-Baqarah, Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang maksudnya;

‘Wahai Bani Isra’el (anak cucu Nabi Ya’akob Alai-hissalam)! Ingatlah akan segala nikmat yang telah aku kurniakan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganku, supaya aku sempurnakan perjanjianku dengan kamu; dan kepada akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut (bukan kepada sesuatu yang lain)’.
  
Tentang janji juga ada diperkatakan dalam hadith sepertimana misalnya yang memetik Rasulullah S.A.W sebagai bersabda;

‘Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga (3) – bila berkata ia dusta, bila berjanji ia mengengkari, dan, bila dipercayai ia khianati’.

‘KEHIDUPAN INI SELURUHNYA DIIKAT DENGAN JANJI’

Pak Hamka juga ada menyebut tentang janji yang menurutnya, ‘Kehidupan ini seluruhnya diikat dengan janji. Mengakui sebagai hamba Allah ertinya akan menepati janji dengan Allah. Mungkir janji dengan manusiapun bererti memungkiri janji dengan Allah’.

Oleh kerana pentingnya persoalan tentang janji, maka, amat wajarlah janji dijadikan sebagai sebahagian utama dalam tema sambutan Hari Kemerdekaan kita tahun ini – ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’.      

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian

Apabila menyebut tentang sejarah, tiada sesiapa dapat menafikan bahawa ia merupakan peristiwa-peristiwa sebenar yang berlaku pada masa lepas yang berserta dengan fakta-faktanya.

Sejarah bukanlah cerita dongengan. Sejarah ialah hakikat yang telah berlaku pada masa lampau, agar dapat kita jadikannya iktibar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Sejarah membuktikan betapa sejak negara ini terjajah, dengan pencerobohan tentera Portugis pada tahun 1511 ke atas Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka; usaha penentangan dan perjuangan memerdekakan negara terus-menerus dilakukan untuk selama 446 tahun berikutnya. 

PERJUANGAN SECARA GERILA, OLEH GOLONGAN AGAMA DAN SASTERAWAN  

Bermula dalam bentuk serangan gerila yang dirintis oleh bekas-bekas Kesultanan Melayu Melaka dan Johor, kemudian muncul tokoh-tokoh seperti Raja Haji, Dol Said, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’ Mat Salleh, Sharif Mashahor, dan Rentap; 

Perjuangan itu seterusnya digerakkan pula oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, dan, Syeikh Abdullah Fahim; serta, yang diperjuangkan oleh guru-guru dari pondok agama Gunung Semanggol dan ‘Sultan Idris Training College’ (SITC). 

Yang turut terlibat selepas itu ialah para novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan seperti Zainal Abidin Ahmad (atau, Za’ba), A.Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad (atau, Pak Sako), dan Usman Awang.

Hinggalah penjajah Jepun yang menguasai negara pada tahun 1942, menyerah kalah pada 15 ogos 1945, apabila Hiroshima dan Nagasaki di bumi Jepun sendiri, musnah akibat ledakan bom atom.

Harapan untuk mencapai kemerdekaan begitu tinggi ketika itu, namun hampa apabila Inggeris kembali menjajah.

PENENTANGAN TERHADAP ‘MALAYAN UNION’

Lebih hampa lagi, apabila Inggeris mahu memperkenalkan ‘Malayan Union’, yang intipatinya ialah untuk memberikan hak sama rata khususnya dalam aspek kerakyatan kepada semua kaum tanpa mengira keturunan dan kesetiaan terhadap negara.

Yang turut ditentang terhadap gagasan itu ialah peminggiran hak kaum Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal negara ini, serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-raja Melayu.

Tempo penentangan dan perjuangan menuntut kemerdekaan dalam kalangan rakyat semakin memuncak selepas itu, hinggalah tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946, yang kemudian bersama-sama Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC); mewujudkan Parti Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah inggeris.

Usaha ini penting sebagai memenuhi syarat penjajah Inggeris yang hanya akan memberikan kemerdekaan jika terdapat bukti dan komitmen daripada UMNO yang mewakili kaum Melayu yang merupakan golongan majoriti; dapat bekerjasama dengan dua kaum lain iaitu Cina dan India menerusi parti-parti MCA dan MIC.

Dan kerjasama ini betul-betul menjadi apabila Parti Perikatan yang menyertai pilihanraya umum pertama pada 27 julai 1955, berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan yang dipertandingkan.

BAPA KEMERDEKAAN... Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj... 

 
TUNKU KE LONDON DAPATKAN KEMERDEKAAN

Maka, pada 18 Januari 1956, pemimpin UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, telah mengetuai rombongan ke London, bagi mendapatkan kemerdekaan negara ini.

Bersama-sama dalam rombongannya ialah Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S.Lee, Encik T.H.Tan, dan, Encik Burhan Shamsuddin.

Yang turut menyertai ialah wakil Raja-raja Melayu terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid, dan, Dato’ Mohd Seth.

Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka termeterai dengan menetapkan 31 ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan bagi negara ini yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Lanjutan itu, persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963, melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.

BANYAK RANJAU, KINI MAKMUR

Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah.

Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia.

Pada hari ini, setelah 55 tahun merdeka dan setelah 49 tahun pembentukan Malaysia, kita berada dalam sebuah negara yang aman-makmur dengan rakyat-jelata hidup sejahtera.

Dan kita hanya dapat bersyukur atas keadaan yang dinikmati ini, yang sebahagian besar juga ialah kerana sumbangan kepemimpinan yang berkesan oleh Kerajaan yang ada, Insya-Allah.  

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian
  
Sebagaimana susah dan lama masanya hingga lebih empat (4) abad negara kita cuba melepaskan diri daripada belenggu penjajahan, usaha untuk mengisi dan mempertahankan kemerdekaan bukanlah juga satu kerja mudah.

ADA JAMINAN KEMERDEKAAN KITA INI?

Sungguhpun kini negara kita sudah 55 tahun merdeka, adakah jaminan bahawa kemerdekaan ini akan terus terpelihara dan dapat dipertahankan untuk lebih 50 tahun lagi?

Adakah negara kita boleh bertahan seperti Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang selama 110 tahun, sebelum ia jatuh kepada Portugis pada tahun 1511?

Adakah negara kita boleh bertahan selama Kerajaan Soviet Union, yang kemudian berpecah-belah setelah mentadbir jajahan takluknya kira-kira 83 tahun?

Di sinilah perlunya kita sentiasa bermuhasabah diri dengan memastikan, apa juga perilaku dan gelagat kita, hendaklah tidak sehingga negara kita musnah sepertimana Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ataupun Soviet Union.

Dalam usaha kita hendak mengisi dan mempertahankan kemerdekaan ini, kita hendaklah sentiasa berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang termaktub panduan untuk kita bagi menjayakan negara merdeka dan berdaulat ini.

AKURLAH PADA PERLEMBAGAAN YANG TELAH SAMA-SAMA KITA SEPAKATI

Perlembagaan Persekutuan ini telah sama-sama kita sepakati dahulu ketika kita hendak merdeka, dengan asalnya dikaji dan digubal secara teliti menerusi sebuah suruhanjaya bebas dikenali, Suruhanjaya Reid.

Kini, jika ada usaha untuk mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, maka ini adalah usaha terkebelakang yang memungkiri segala persepakatan yang telah tercapai dahulu. Ini sewajarnya tidak boleh, dan tidak sama sekali dibenarkan berlaku.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian

Dengan komposisi kaum yang pelbagai dalam kehidupan masyarakat majmuk negara ini, sesungguhnya tiada satu-satu kaumpun boleh hidup dalam kepompongnya tersendiri (atau, ‘live in isolation’).

Kita sesungguhnya, saling perlu-memerlukan dan kita perlu saling lengkap-melengkapi sesama kita, dengan menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai sandaran utamanya.

TAK BOLEH SANDARKAN KEPADA UNDANG-UNDANG RIMBA

Kehidupan kita ini tentulah perlu berpandukan kepada undang-undang yang telah termaktub, bukan undang-undang rimba atau ‘law of the jungle’.

Undang-undang yang paling agung di negara ini pula, yang mengatasi (supercede) segala undang-undang lain yang ada, tentulah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan itu pula, ada secara jelas menyebut mengenai hak serta kepentingan antara kaum sepertimana berikut; 

‘Adalah menjadi tanggung jawab yang dipertuan agung memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini’.    

Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, juga memberi sandaran kukuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan ini.

JANGAN TERPENGARUH KEPADA USAHA ‘TIKUS MEMBAIKI LABU’

Masalahnya, ada pihak yang terus-menerus mempertikaikan gagasan ini, serta apa juga perkara baik yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan yang ada.

Pertikaian itu seolah-olah hingga ke tahap, apa juga yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan yang ada, kononnya akan hanya membawa keburukan kepada negara dan rakyat-jelata.

Lalu, dicadangkan perkara-perkara alternatif yang  sebahagiannya tidak masuk akal hingga boleh kita umpamakan pula usaha itu seperti ‘tikus’ yang hendak ‘membaiki labu’.

Daripada segi pengalaman, Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional (BN) inilah yang luas pengalamannya. Sejak memenangi pilihanraya umum pertama tahun 1955, ia terus-menerus menerajui kepimpinan negara dengan melepasi dengan jayanya pilihanraya umum-pilihanraya umum berikutnya (pada 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004), dengan yang terakhir pada pilihanraya umum bulan Mac, 2008. 

Dengan pengalaman luas inilah dan kini, kepimpinan yang sama ini juga mengambil komitmen besar untuk melakukan transformasi menerusi terutamanya, pengenalan Model Baharu Ekonomi (MBE); nescaya usaha mentabdir demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyatnya dapat ditingkat dan dijayakan lagi.

‘DI BAWAH SARANG YANG TERJATUH, MASIH ADAKAH TELUR YANG TIDAK PECAH?’

Dengan ini juga, apa yang telah Kerajaan usahakan selama ini dan akan diperbanyakkan lagi, janganlah dibenar dirosakkan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Jika kerosakan dibenarkan berlaku, bahananya pasti meluas, hingga tidak dapat tidak, akan turut memberi kesan negatif kepada kehidupan harian rakyat-jelata juga.

Dalam hal ini, renungilah peribahasa Cina yang diterjemah bermaksud, “Di bawah sarang yang terjatuh, masih adakah telur yang tidak pecah”.

Dan, percayalah pula kepada hakikat betapa, “Seekor burung dalam genggaman, bernilai dua (2) ekor daripada yang bebas di hutan”. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian

Sekianlah sahaja perutusan saya sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 pada tahun ini.

Semoga apa yang telah saya sebutkan tadi dapat difahami dalam perspektif yang betul, saya sudahi dengan ‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. – Khabar