Sunday 12 August 2012

'Mood' Raya dan aura 'Feel Good'



… hanya kira-kira enam (6) hari menjelang 1 Syawal

HIASAN DALAMAN YANG MENCERIAKAN... Ini ialah antara hiasan dalaman yang menarik di sebuah daripada kompleks membeli-belah di bandar Kuantan ini, yang turut menyumbang kepada 'mood' Raya. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Hanya kira-kira enam (6) hari menjelang 1 Syawal atau Hari Raya Aidil Fitri, ‘mood’ Raya serta aura ‘feel good’ terasa di mana-mana khususnya di kawasan-kawasan tumpuan awam seperti kompleks-kompleks membeli-belah.

Sementelah pula, kakitangan kerajaan baharu menerima bonus setengah bulan (gaji pokok) manakala para pesaranya pula, dibayar RM500 ke dalam akaun bank masing-masing.

Ini ekoran pengumuman yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang juga Menteri Kewangan pada 25 Julai lepas, yang antara lain menyebut;

"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan. Sehubungan ini, pemberian bonus dan bayaran khas tersebut merupakan satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

"Langkah ini diharap dapat membantu membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidil Fitri".   

MENANTI WAKTU BERBUKA, PADA 7.21 PETANG... Sembil menghadap juadah dan berbual-bual, masing-masing sabar menantikan detik berbuka puasa dalam sebuah restoran di kompleks membeli-belah berkenaan. Sejurus selepas inilah, surau ditujui sama ada di tingkat 2 yang sama bagi lelaki, atau di tingkat 1 bagi perempuan; untuk segera menunaikan solat Maghrib


JUALAN MURAH, JUALAN MURAH... Diskaun sehingga 70 peratus! Ini merupakan satu lagi suasana yang menggembirakan lagi hati pengunjung ke kompleks membeli-belah berkenaan.    


RAKYAT SERLAHKAN KESYUKURAN

Bagi yang bukan dalam kalangan kakitangan kerajaan dan para pesara pula, tentu mereka juga mempunyai wang lebihan dalam tangan lalu dapat turut bersama-sama menyertai sesi membeli-belah, menurut kemampuan masing-masing.

Ini termasuklah keluarga peneroka Felda yang telahpun masing-masing menerima habuan RM15,000 sebuah keluarga ekoran penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di papan utama Bursa Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada mengalami ‘mood’ positif ini, satu perkara yang dilihat tidak diremeh-temehkan oleh rakyat khususnya umat Islam di negara, negeri dan bandar ini ialah aspek kesyukuran.

Tandanya, surau di kompleks-kompleks membeli-belah, asyik ‘jam’ dengan kehadiran makmum untuk berwudhu serta menunaikan solat khususnya Maghrib; setelah selesai menikmati juadah berbuka di restoran-restoran pilihan.

Di masjid-masjid pula, sungguhpun bilangan safnya berkurangan tetapi ia masih mendapat kunjungan makmum untuk menunaikan solat sunat Terawih disusuli sunat Witir.

Dan adalah dijangkakan, ‘mood’ ini akan berterusan untuk satu jangka masa yang lama selepas ini. – Khabar