Wednesday 12 September 2012

Bersama-samalah dengan pemenang!!!


… ajak Menteri Besar kepada rakyat-jelata, sambil tegaskan beliau bukan bermaksud takbur tentang peluang kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum kelak.

MESRA-RAKYAT, DAN RAKYAT SAYANGKAN PEMIMPINNYA... Dengan sentuhan mesra sambil-sambil membantu meringankan beban lalu mensejahterakan kehidupan rakyat khususnya yang memerlukan; pastilah sokongan rakyat kepada BN terus meningkat daripada hari ke sehari. 

Foto ini dirakamkan sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri bagi dewan undangan negeri kawasan Pelangai di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pelangai, Bentong pada petang Ahad, 9 September bersamaan 22 Syawal 1433 H. Dato' Sri DiRaja Adnan ialah juga wakil rakyat kawasan tersebut.


KOMPLEKS RAKAN MUDA, BERA – “Saya ingin mengingatkan kepada semua rakyat. Kita bersamalah dengan orang yang menang. Jangan bersama dengan yang kalah.

“We are going to win the next general election, insya-Allah. Barisan Nasional will win, (at) state and parliament(ary levels).

“So I want to call upon all the electorates, all the people, all the voters; to come with us – be with the winner, not with the loser,” demikian kata-kata semangat Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri berkata demikian pada persidangan media ketika hadir pada sambutan Hari Raya Dewan Undangan Negeri kawasan Triang pada petang Selasa, 11 September, di sini.

“Maknanya… kalau Pakatan Rakyat kata dia nak menang di Pahang ni, terus-terang saya katakan, sulit sikitlah. Itu hanya ‘propaganda perang’ (mereka),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan sambil menegaskan betapa beliau bukan berniat untuk ‘bercakap besar’ mengenainya.


RM300,000 DARIPADA TNB UNTUK BINA PERPUSTAKAAN DI PELANGAI... Dengan sumbangan kewangan ini, penduduk Pelangai bakal mempunyai sebuah perpustakaan desa yang lebih sempurna. 

Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menerima cek 'olok-olok' bernilai RM300,000 daripada Pengurus Besar Kanan Operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato' Roslan Abdul Rahman. 

BN BOLEH KUASAI 13 DARIPADA 14 KAWASAN PARLIMEN

Untuk rekod, terdapat 14 kerusi parlimen dan 42 kerusi dewan undangan negeri yang sekali lagi akan dipertaruhkan pada pilihanraya umum kelak. Kedudukannya sekarang (hasil daripada pilihanraya umum tahun 2008) ialah, 12 kerusi parlimen dan 38 kerusi dewan undangan negeri di kuasai oleh BN.

Selebihnya dimenangi oleh parti-parti politik yang bernaung dibawah kerjasama yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat iaitu, dua (2) kawasan parlimen di Kuantan dan Indera Mahkota serta empat (4) kawasan dewan undangan negeri di Beserah, Semantan, Teras dan Triang ini.

“Saya difahamkan, YB Leong Ngah Ngah ada beritahu yang Pakatan Rakyat akan menang 27 kerusi daripada 42 kerusi dewan undangan negeri. Saya nak beritahu, ini bukan cakap besar ye, bukan takbur;

“Kalau dia orang dapat pertahankan Triang dengan Teraspun nasib baik. Ini Semantan dengan Beserah ni rakyat dah faham dah, insya-Alah kita boleh menang. Teraspun kita telah dapat calon yang sesuai untuk memperjuangkan kepentingan rakyat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.
 
 Di peringkat parlimen pula, beliau membayangkan BN boleh menguasai 13 daripada 14 kerusi tersebut, lalu dapat turut menyumbang kepada penguasaan BN di peringkat pusat, seterusnya kekal memerintah negara.


RAMAINYA KHALAYAK... Ini merupakan kalangan kanak-kanak yang turut membanjiri padang SMK Sri Pelangai sempena sambutan Hari Raya pada hari minggu itu.   


MENANG DI KUANTAN, JIKA KENA CARANYA

“Kita ingin pertahankan Putrajaya dan negeri Pahang ini insya-Allah, daripada 14 kerusi parlimen – saya cakap terus terang; kita boleh menang 13. Satu lagi tu kita boleh menang, kita boleh kalah, iaitu Kuantan, kita akui.

“Tapi kalau kena caranya, strategi yang kita gunakan sekarang ni, strategi diam-diam ni; kita akan menang,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menolak tohmahan pembangkang dalam ceramah-ceramah mereka mengatakan kononnya BN takut kalah dalam pilihanraya umum nanti dan pula tidak ada kebebasan akhbar di negara ini.

“Nak kata tidak ada kebebasan akhbar? Itu suara (akhbar-akhbar terbitan) parti masing-masing – Suara Keadilan, Harakah, semua keluar macam-macam benda, memfitnah.

“Kita bebas. Media sosial juga, mereka banyak kuasai. Dia orang buat apa sahaja, mengata macam-macam. Kita tak takut itu semua,” katanya.


SEBAHAGIAN LAGI PENDUDUK DI SAMBUTAN HARI RAYA DUN PELANGAI...


ADA ‘KEBERANIAN MORAL’ JIKA AKUI SALAH LALU MAHU BETULKAN

Pembangkang juga menurutnya, menyatakan Kerajaan pimpinan BN ini antara lainnya banyak melakukan rasuah yang pada tahap tertentu, memang tidak dinafikan kebenarannya.

“Tapi, YAB Perdana Menteri telah mengambil langkah-langkah membetulkan. Makna kita mengakui dan ini satu ‘keberanian moral’. Bila kita mengaku kesalahan kita, kita mengaku kelemahan kita; itu satu ‘keberanian moral’,” tegas Menteri Besar itu.  

Yang turut hadir pada sambutan Hari Raya DUN Triang ini ialah wakil rakyat-wakil rakyat – Encik Fadil Osman (BN – Kemayan) dan Encik Norol Azali Sulaiman (BN – Guai), Ketua Polis Negeri, DCP Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani serta Pegawai Daerah Bera, Dato’ A.Rahman Hamzah.

Sehari sebelum itu, pada Isnin, 10 September, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menghadiri sambutan Hari Raya dewan undangan negeri Beserah di Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN), Beserah di Kuantan.

Pada persidangan media petang Isnin itu, beliau antara lain diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada hari yang sama, menolak rayuan 10 penduduk di Gebeng bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) memberikan Lesen Operasi Sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Bhd.     

MENTERI BESAR DENGAN PENDUDUK BESERAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berucap pada sambutan Hari Raya DUN Beserah dengan kehadiran penduduk yang ramai dan ceria bagi menikmati juadah yang disediakan. 


TERSERLAH, EPISOD PEMBOHONGAN OLEH PEMBANGKANG

Mahkamah Rayuan itu dianggotai tiga (3) hakim iaitu Hakim Dato’ Ramly Ali serta Hakim Dato’ Abdul Wahab Patail dan Hakim Anantham Kasinater. Keputusan Mahkamah Rayuan ini adalah senada dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelumnya.

Dengan penghakiman itu kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pihak Lynas bolehlah  meneruskan kerja-kerjanya bagi memproses tanah jarang di kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Walaupun Lynas diluluskan TOL, banyak syarat-syarat lain dia (Lynas) kena ikut. Pihak AELB akan memantau dari masa ke semasa. Rakyat janganlah risau dan Lynas janganlah berghairah sangat. Banyak lagi benda-benda yang dia perlu patuhi,” katanya.

“Pokoknya,” katanya lagi, “… episod ini membuktikan bahawa pembohongan yang dilakukan oleh pihak pembangkang adalah betul-betul pembohongan. Memang kerja mereka menyebarkan pembohongan.

“Dan terbukti bahawa Kerajaan kita adalah sangat telus, ikut apa yang rakyat hendak, sehinggakan kita mengambil masa yang begitu panjang untuk memberikan peluang kepada kita (menyiasat dan memantau), termasuk IAEA sendiripun datang.

MENGAMBIL TAHU, MENGAMBIL BERAT... Dua orang kakak ini sedang menerima rawatan awalan daripada 'misi' yang bertugas pada sambutan Hari Raya DUN Beserah itu, kerana kesakitan di kaki sambil Dato' Sri DiRaja Adnan yang sedar mengenainya, pergi menanyakan hal tanda sikap mengambil beratnya beliau.
 

DAH PAKAI RAMAI REFEREE, AKURLAH…

“Maknanya, kita ikut kehendak rakyat. Tetapi, apabila keputusan telah dibuat oleh pihak profesional, janganlah kita pertikaikan. Ibarat kata, dulu nak main bola nak pakai ‘referee’, nak pakai ‘referee’ tiga orang. (Maka) kita pakai tiga orang.

“Dan lepas ambil tiga orang tu – patut referee bola seorang, berdua je. Bila pakai ‘referee’ ramaipun kita (pihak pembangkang serta penentang projek Lynas ini) kalah juga, kita complain; tak bolehlah...,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.  

Yang turut hadir ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat; Dato’ Sharifuddin; Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad; serta, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Hazmi Yusof. – Khabar          


MATA KE MATA; 

*** “We are going to win the next general election, insya-Allah. Barisan Nasional will win, (at) state and parliament(ary levels).

“So I want to call upon all the electorates, all the people, all the voters; to come with us – be with the winner, not with the loser.”

*** “Kita ingin pertahankan Putrajaya dan negeri Pahang ini insya-Allah, daripada 14 kerusi parlimen – saya cakap terus terang; kita boleh menang 13. Satu lagi tu kita boleh menang, kita boleh kalah, iaitu Kuantan, kita akui.

“Tapi kalau kena caranya, strategi yang kita gunakan sekarang ni, strategi diam-diam ni; kita akan menang.”

*** “Nak kata tidak ada kebebasan akhbar? Itu suara (akhbar-akhbar terbitan) parti masing-masing – Suara Keadilan, Harakah, semua keluar macam-macam benda, memfitnah.

“Kita bebas. Media sosial juga, mereka banyak kuasai. Dia orang buat apa sahaja, mengata macam-macam." 

*** “Tapi, YAB Perdana Menteri telah mengambil langkah-langkah membetulkan. Makna kita mengakui dan ini satu ‘keberanian moral’. Bila kita mengaku kesalahan kita, kita mengaku kelemahan kita; itu satu ‘keberanian moral’.”