Friday 12 October 2012

Lanjut tempoh pajakan tanah kediaman 99 tahun, premium ratusan ribu ringgit dikecualikan!


… demi tidak bebankan lalu dapat terus sejahterakan kehidupan harian rakyat termasuk golongan menengah 

KHABAR GEMBIRA, 'BUAH TANGAN' ISTIMEWA PETANG KHAMIS... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato' Dr Ng, sedang menyampaikan Notis 5A berkenaan kepada seorang daripada penerima.


DEWAN, SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI MARONG, BENTONG – Sudahlah tempoh pajakan tanah kediaman di seluruh Pahang kini dilanjutkan daripada 30 tahun, 60 tahun dan 66 tahun; kepada 99 tahun. 

Premium yang harus dibayar secara ‘one-off’ pula dikecualikan yang jika tidak, nilai bayaran mencecah ratusan ribu ringgit atau sehingga hampir separuh daripada nilai semasa tanah kediaman.

Caj-caj yang dikenakan pula bagi mengesahkan tempoh pajakan lanjutan ini adalah yang dalam kadar mampu-bayar, dan pula, diberi tempoh tiga (3) bulan untuk melangsaikannya di pejabat daerah dan tanah.

Inilah berita gembira yang dibawa oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan 14-minitnya pada Majlis Penyampaian Notis 5A bagi kelulusan melanjutkan tempoh pajakan tanah di Sungai Marong, Mukim Bentong petang Khamis, 11 Oktober di sini.

Seramai 100 orang menerimanya – kumpulan penerima pertama di negeri ini sejak Kerajaan Negeri memutuskan untuk melanjutkan tempoh pajakan kepada 99 tahun, tanpa kenaan premium; pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) 28 Mac lepas.

AKSI DATO' SRI DIRAJA ADNAN DI KAMPUNG BARU SRI TERUNTUM, KUANTAN... Pada perjumpaan dengan masyarakat Cina pada 23 Januari 2011 ini, Dato' Sri DiRaja Adnan turut mengumumkan tentang tempoh pajakan tanah yang dilanjutkan kepada 99 tahun, namun premium tanah tetap perlu dibayar. 

Oleh kerana sikap Kerajaan Negeri yang sentiasa mendahulukan rakyat lalu mendengar keluhan mereka mengenai premium yang dikatakan tinggi itulah maka pada mesyuarat MMK Negeri pada 28 Mac 2012 memutuskan, tempoh pajakan tetap dilanjutkan kepada 99 tahun tanpa perlu membayar premium!


‘INI BUKAN GIMIK PILIHANRAYA’

Bahawa majlis penyampaian diadakan petang Khamis ini membuktikan, bukan sekadar Kerajaan Negeri menepati janji, malah ditepatinya dalam kadar cepat sekali – tidakpun sampai tujuh (7) bulan!

“Ini bukan gimik pilihanraya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapannya. “I am here not to fish for votes. I am here just to say that, the state government, the Barisan Nasional government, is doing the right thing and we deliver what we promised,” katanya.

“Mula-mula timbul isu ini ialah dua (2) tahun dahulu di majlis Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina (Bentong). Lepas itu, kita terus bawa ke Kuantan (untuk tindakan Kerajaan Negeri, dan) pada bulan Mac baru-baru ini, kita (MMK Negeri) ambil keputusan sebagaimana kita laksanakan pada hari ini,” katanya lagi disambut tepukan para hadirin sebahagian besarnya ialah para penerima Notis 5A tersebut.

“There is nothing to shout about, nothing to brag about. But this is quite an achievement. No other states does this except Pahang. Itu saya nak bagi tahu. Tak ada negeri lain buat kecuali Pahang,” katanya disambut tepukan yang berterusan.

Lazimnya kata beliau, Notis 5A dikeluarkan kepada pemohon tanah baharu tetapi kali ini kepada pemilik tanah asal sepertimana di Sungai Marong, yang diminta dilanjutkan tempoh pajakan daripada 60 tahun ke 99 tahun.

KIRAANNYA; 99 TAHUN TOLAK TEMPOH PAJAKAN BERBAKI

Apatah pula kini katanya, Kerajaan Negeri tidak lagi mengeluarkan suratan hakmilik tanah kekal (freehold) melainkan diberikan secara pajakan selama 30 tahun, 60 tahun, 66 tahun dan kini diputuskan, selama 99 tahun.

Selain itu ialah pajakan singkat selama tiga (3) atau enam (6) tahun, serta Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang perlu diperbaharui secara tahunan.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, kaedah pengiraan tentang lanjutan tempoh pajakan 99 tahun ini ialah; 99 tahun ditolak dengan tahun-tahun yang berbaki daripada tempoh asal pajakan tanah berkenaan.    

“Kita mula kira dengan 99 tahun tolak tempoh yang tinggal. Kalau kita ada 30 tahun lagi, Kerajaan tambah 69 tahun lagi. Kalau ada 20 tahun lagi, Kerajaan tambah 79 tahun,” katanya sambil menambah, “Dan saya harap, perkara ini janganlah jadi isu lagi.”

Menceritakan kembali asas kepada keputusan Kerajaan Negeri ini katanya, ia ekoran sungutan penduduk Sungai Marong sendiri betapa dengan tempoh pajakan berbaki 15 tahun (daripada asal 60 tahun) di sini, menyebabkan pelbagai kesukaran termasuk bagi mereka mendapatkan kemudahan-kemudahan bank yang baharu.   

KALAU DIIKUTKAN, PREMIUM SANGAT TINGGI

Sebagai Kerajaan Negeri yang mendengar dan bersimpati dengan keluh-kesah rakyat katanya, “Saya kaji semua tapi akhirnya kita ambil keputusan untuk panjangkan pajakan. Apabila panjangkan pajakan, premium – kalau ikut Kaedah Tanah Pahang, premiumnya sangat tinggi.

“Kalau di Sungai Marong ini, yang kita berikan kepada Tuan-tuan dan Puan-puan hari ini; Kalau ikut betul-betul, kena bayar premium RM124,000 seorang. Ini adalah hampir separuh (daripada) harga (pasaran) tanah (kediaman) yang mungkin bernilai RM250,000 sekarang.

“Tak mungkin boleh bayar tapi saya fikir pula, ini Kerajaan rakyat, kita yang pilih Kerajaan ini dan duit ini ialah untuk Kerajaan, untuk rakyat. Tapi kalau banyak sangat kita kecualikan, nampak sangat kita tak pandai memerintah.

“Tapi saya fikir punya fikir, tak apalah, akhir-akhirnya kita ambil keputusan iaitu semua suratan hakmilik yang memegang pajakan 66 (tahun), 60 (tahun), 30 (tahun)... kita lanjutkan kepada 99 tahun,” kata Menteri Besar yang disusuli tepukan berterusan sehingga beliau menyudahkan ayatnya itu, “Dengan pengecualian premium”.

Betapa dengan pengecualian premium ini beliau juga menyebut, Kerajaan Negeri berkorban dengan tidak mengutipnya sehingga kira-kira RM123,750 seorang X 100 orang, atau sebanyak RM12.375 juta!  

‘THE NEVER- & UN-ENDING PROBLEMS’

(NOTA : Menurut Kaedah Tanah Pahang, cara pengiraan bagi mengetahui nilai premium ialah; ½  X 1/100 X nilai tanah kediaman semasa X 99 tahun. Bagi tanah kediaman di Sungai Marong ini dengan nilai semasa tanah kediaman berkeluasan 6,500 kaki persegi ialah RM250,000, maka premiumnya ialah; ½  X 1/100 X RM250,000 = RM123,750).    

“Masalah kita ini, ‘the problem with the people, the so called people,” beliau menambah kata, “… is the unending problems. We solved a problem, another problem will come up. Ha… ini masalah. Kita selesai satu masalah, masalah lain pula timbul.

“Hari itu kita katakan, kita lanjutkan tempoh. Dah keluar kedai kopi (ada yang bersungut) ‘Lanjut baguslah tapi premium apa macam?

“O.k sekarang, kita sudah katakan, premiumpun ‘free’, lanjutkan tempoh. (Namun akan  ada yang bersungut juga lagi dengan berkata) ‘Yalah, lanjutkan tempoh, premium free; ini bayar-bayar apa macam? Ini pelan, ini suratan?

“Haa… itu kena bayarlah. Cukai tanah kena bayar. Upah sukat kena bayar. Batu sempadan, kena bayar. Penyediaan pelan dan suratan hakmilik, kena bayar – yang semuanya pada kadar yang murah,” katanya tegas.

CAJ-CAJ CUMA RM1,200 LWN PREMIUM DILUPUSKAN RM124,000   

Dan bagi kesemua bayaran ini, penulis dimaklumkan, tidakpun sampai RM1,200 iaitu: antara RM480 dan RM856 (menurut keluasan tanah kediaman) untuk bayaran cukai tanah; RM250 sebagai upah sukat; RM50 bagi penyediaan pelan dan suratan hakmilik; serta, RM25 untuk kerja menempatkan batu sempadan.  

Bayaran ini wajib dijelaskan dalam tempoh tiga (3) bulan bagi membolehkan Notis 5A pemohon diproses untuk diluluskan, untuk akhirnya pemohon menikmati tempoh lanjutan pajakan sehingga 99 tahun.

Jumlah bayaran yang tidak sampaipun RM1,200 ini tentulah kecil berbanding premium sehingga kira-kira RM123,750 seorang yang telahpun Kerajaan Negeri bermurah hati untuk dikecualikan!

Antara yang turut hadir pada majlis petang Khamis itu ialah, wakil rakyat, Dato’ Dr Ng Keong Chye (BN - Ketari); Senator Roslin Abdul Rahman yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; dan, Pengerusi Penyelaras Lanjut Tempoh Pajakan Tanah Sungai Marong, Encik Haris Faadilah Mohd.. – Khabar    


MATA KE MATA ;


*** Inilah berita gembira yang dibawa oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan 14-minitnya pada Majlis Penyampaian Notis 5A bagi kelulusan melanjutkan tempoh pajakan tanah di Sungai Marong, Mukim Bentong petang Khamis, 11 Oktober di sini.

Seramai 100 orang menerimanya – kumpulan penerima pertama di negeri ini sejak Kerajaan Negeri memutuskan untuk melanjutkan tempoh pajakan kepada 99 tahun, tanpa kenaan premium; pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) 28 Mac lepas.

Bahawa majlis penyampaian diadakan petang Khamis ini membuktikan, bukan sekadar Kerajaan Negeri menepati janji, malah ditepatinya dalam kadar cepat sekali – tidakpun sampai tujuh (7) bulan!


*** “There is nothing to shout about, nothing to brag about. But this is quite an
achievement. No other states does this except Pahang. Itu saya nak bagi tahu. Tak ada negeri lain buat kecuali Pahang.”
   
*** “Kita mula kira dengan 99 tahun tolak tempoh yang tinggal. Kalau kita ada 30 tahun lagi, Kerajaan tambah 69 tahun lagi. Kalau ada 20 tahun lagi, Kerajaan tambah 79 tahun. Dan saya harap, perkara ini janganlah jadi isu lagi.”


*** “O.k sekarang, kita sudah katakan, premiumpun ‘free’, lanjutkan tempoh. (Namun akan ada yang bersungut juga lagi dengan berkata) ‘Yalah, lanjutkan tempoh, premium free; ini bayar-bayar apa macam? Ini pelan, ini suratan?

“Haa… itu kena bayarlah. Cukai tanah kena bayar. Upah sukat kena bayar. Batu sempadan, kena bayar. Penyediaan pelan dan suratan hakmilik, kena bayar – yang semuanya pada kadar yang murah.”