Tuesday 9 October 2012

'Little Napoleans' di Cameron Highlands


… gejala penyumbang kepada masalah penerokaan haram di kawasan tanahtinggi ini
 

NOTA EDITOR :

Penerokaan tanah secara haram di kawasan tanahtinggi Cameron Highlands, bukanlah perkara baharu. Ia berlaku sejak dahulu, hinggalah sekarang dengan ‘darjah’ berlakunya berbeza-beza – kurang atau terhenti seketika apabila ia heboh diperkatakan, dan kembali aktif apabila umum seolah-olah terlupa mengenainya.

Dalam tempoh sehari-dua  ini, kisahnya kembali diperkatakan ekoran laporan berita oleh sebuah akhbar Berbahasa Inggeris bersaiz tabloid tempatan. Sehubungan itu, mungkin ada baiknya artikel berikut dipaparkan kembali bagi memberi serba-sedikit ‘insights’ tentang apa sebenarnya yang berlaku di lapangan.

Artikel tulisan YOPE KEY-DARE ini pernah disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana pada Februari, 2011. Oleh kerana ia ditulis seterusnya disiarkan pada bulan dan tahun berkenaan, tidak dinafikan, ada beberapa perkara dan maklumat yang mungkin sudah menjadi lapuk ketika ini akibat peredaran masa dan peristiwa-peristiwa baharu yang berlaku selepasnya (ENG : Being overtaken by events). Ini mohon dimaafkan.         

KENYAMANAN DAN KEDAMAIAN DIANCAM PUPUS... Foto ini diambil pada 14 September lepas bersamaan 27 Syawal, semasa penulis dalam perjalanan dari Sintok, Kedah ke Kuantan, melalui Simpang Pulai, Perak-Brinchang-Tanah Rata-Ringlet di Cameron Highlands-Sungai Koyan, Lipis-Bandar Raub, Raub-Bentong-Kuantan. 

Mungkinkah kenyamanan dan kedamaian seperti di sebuah ladang tanaman teh di kawasan tanahtinggi ini akan turut terjejas akibat gejala penerokaan tanah haram?  


Suka atau tidak, isu berkaitan tanah yang dihadapi secara serius di Cameron Highlands ketika ini ialah akibat hipokrisi segelintir petani, ahli politik dan kakitangan kerajaan di kawasan tanahtinggi itu yang luasnya besar sikit daripada negara-pulau Singapura.

Hipokrisi petani bertunjangkan sifat tamak-haloba mereka; ahli politik sama ada parti pemerintah atau pembangkang kerana mahu popular lalu sentiasa menyokong tindak-tanduk petani; manakala kakitangan kerajaan ialah kerana tabiat rasuah mereka!

Dengan gandingan gejala tiga serangkai ini, menjadikan isu berkaitan tanah di Cameron Highlands, penulis percaya, tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Ia mungkin memerlukan dua-tiga generasi lagi ataupun, sehingga Cameron Highlands musnah ekologinya lalu menggugat kedudukannya sebagai kawasan tanahtinggi tarikan  pelancong ataupun pengeluar tanaman – bunga-bungaan, sayur-sayuran dan buah-buahan utama negara.
  
Sudah tentu ketiga-tiga puak ini tidak akan mengakui sikap hipokrit mereka. Sebaliknya, cuba mengalih pandangan dengan mewujudkan ‘kambing hitam’  yang harus dipersalahkan dan jalan lebih mudah ialah dengan meletakkan kesalahan itu kepada Kerajaan Negeri sepenuhnya.

SINGGAH SEBENTAR UNTUK NIKMATI 'SCONE' DAN JEM STRAWBERI... Dengan udara dingin tengah hari Jumaat yang menyapa tubuh sambil makan-makan 'scone' bersama-sama jem strawberi dan menghirup teh panas, memberikan pengalaman yang membahagiakan kepada pengunjung seperti penulis dan keluarga. 

Masih mampukah berpenglaman ini lagi jika gejala penerokaan terus menghantui kawasan tanahtinggi ini?  


TERSALAH AMBIL SEMANGAT ‘RAKYAT DIDAHULUKAN’?

Inilah yang mereka lakukan selama ini dan inilah juga yang dibayangkan oleh beberapa ahli politik yang menyentuh tentang isu petani di tanahtinggi itu menerusi ucapan-ucapan mereka pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang 2011 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada 30 Januari lepas.

Mungkin tersalah ambil semangat 'Rakyat Didahulukan', tidak seorangpun daripada mereka yang bercakap mengenainya meletakkan kesalahan ke atas petani atau sekurang-kurangnya menasihatkan mereka supaya jadilah petani yang patuh undang-undang serta jujur.

Sebaliknya, yang ahli-ahli politik ini sarankan ialah agar Kerajaan Negeri buat itu dan ini demi kononnya, untuk melancarkan lagi usaha petani dalam bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

Satu daripada saranan itu ialah dengan menghentikan peraturan pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) setahun ke setahun, yang dilihat membebankan.

Sebaliknya, mereka sarankan agar tempoh sah-laku TOL itu dilanjutkan kepada lebih daripada cuma setahun. Ini kononnya kerana urusan memperbaharui itu sahaja mengambil masa yang agak lama hingga menyebabkan petani tidak layak mendapat pelbagai bantuan pertanian daripada jabatan dan agensi kerajaan selagi TOL mereka tidak mendapat kelulusan untuk pembaharuan oleh Pejabat Tanah dan Daerah. 

SARANAN SUCI SERTA SINDIRAN

Saranan ini bunyinya suci dan Menteri Besar Datuk Seri DiRaja Adnan Yaakobpun selaku Pengerusi BN Negeri, bersikap diplomatik dalam hal ini semasa menggulung perbahasan pada penghujung konvensyen sehari itu.

Namun, ada sindiran yang dapat penulis hidu daripada reaksinya itu. Sambil beliau mengambil maklum akan saranan mereka, beliau turut membangkitkan betapa ada dalam kalangan petani yang kawasan TOLnya seluas cuma 0.810 hektar tetapi diterokai haram di kawasan bersebelahan dengan keluasan berkali-kali ganda!

Inilah hakikatnya. Malah, dengan tempoh sah TOL selama setahun sekarang inipun penulis mendapat maklum, gejala itu tetap berlaku dan ia dipercayai akan terus berlaku akibat sikap tamak-haloba segelintir petani ini.

Selain meneroka secara haram, para petani ini juga terkenal dengan tindakan menanam hingga ke kawasan rizab jalan, terus-menerus menggunakan racun serangga yang terlarang, serta enggan atau terlalu ‘liat’ membina perangkap kelodak yang disyorkan; semuanya demi mengurangkan kos dan memaksimumkan keuntungan dek kerana sikap tamak-haloba.

Jika antara syarat TOL ialah tidak boleh membina struktur kekal di atasnya namun petani yang degil, itulah yang dilanggari dan terus dilakukan. Maka, tidak hairanlah, di satu kawasan itu terbina 26 buah stor berukuran 20 kaki X 30 kaki sebuah yang berdinding batu-bata, berbumbung bahan logam dan berlantai konkrit.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN BAK CURAH AIR DI KELADI

Stor-stor ini dibina sejak Oktober 2009 yang ekoran itu, pihak berkuasa tempatan mengeluarkan notis berhenti kerja dan meroboh sebanyak empat (4) kali serta sekali (1) notis mengosongkan bangunan.

Selain itu, 12 kompaun telah turut dikenakan ke atas petani berkenaan namun hingga kini, segala-galanya umpama ‘mencurah air ke daun keladi’ apatah lagi apabila adanya ahli politik yang mempertahankan.

Ahli-ahli politik pula seperti berlumba-lumba untuk menjadi juara kepada petani-petani ini. Taruhannya ialah untuk menjadi popular atau terus kekal popular lalu memperolehi undi pada pilihanraya.

Ada ahli politik pula, oleh kerana gerai jualan hasil pertanian anaknya dirobohkan baru-baru ini sebab membinanya secara haram di atas rizab jalan dan pula di bahagian selekoh tajam; terus ‘menyerang’ Kerajaan.

Merekapun mempengaruhi pihak media untuk melaporkannya termasuk dalam hal mereka menyerahkan memorandum ke Jabatan Perdana Menteri antara lain menggesa agar Perdana Menteri masuk campur membantu.

RASUAH – PERSEPSI UMUM YANG SUKAR DIBUKTIKAN

Sedangkan, semasa pihak penguatkuasa tiba untuk merobohkan struktur ini, terpampang tulisan-tulisan kurang menarik yang mengutuk tindakan itu termasuklah yang ditujukan kepada Perdana Menteri sendiri.

Mengenai segelintir kakitangan kerajaan yang rasuah pula, ini adalah persepsi umum yang memanglah sukar untuk dibuktikan.

Terkini yang penulis ketahui, ialah persoalan bagaimanakah boleh berlaku kejadian tanah kerajaan yang belum diputuskan kegunaan tanahnya oleh pihak berkuasa tempatan, boleh terbina di atasnya lima buah kedai sederet dengan jualan lebih RM200,000 sebuah.

Yang dilihat bakal menjadi masalah lebih besar ialah, kelima-lima buah kedai ini dibina betul-betul di atas tanah yang dikhususkan sebagai jalan masuk ke sebuah projek pembangunan mewah yang bakal dibina di kawasan belakangnya.

Jika nanti bangunan lima buah kedai ini perlu dirobohkan, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan pampasan ke atas kelima-lima pemilik kepada kedai-kedai ini yang nilai kesemuanya lebih RM1 juta!

PERLU TINDAKAN TEGAS

Rasuah juga dikatakan berlaku hinggakan keputusan yang pernah diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan kawasan sesak pasar malam di Brinchang ke tapak lain; dengan cepat diketahui umum dan secepat kilat juga di tapak baru berkenaan, lot-lot tapak sudah siap ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu dengan harga tinggi setiap satu!

Dalam menangani gejala tiga serangkai yang penulis istilahkan sebagai ‘The Cameron’s Little Napoleans’ ini, nampaknya tiada pilihan melainkan tindakan tegas perlu diambil dengan memulakan langkah bukan setakat menukar kakitangan kerajaan yang sudah terlalu lama berkhidmat di daerah itu ke daerah lain, malah tamatkan sahaja perkhidmatan kakitangannya yang berkhidmat secara kontrak.

Juga perlu turut dilakukan ialah membersihkan barisan ahli-ahli Majlis dalam pihak berkuasa tempatan tersebut yang dalam kalangan mereka juga ialah petani yang turut dikesani, ada melakukan tanaman sayur-sayuran secara haram hingga melimpah ke bahu jalan.

Daripada situ, ahli-ahli politik pula harus dididik supaya lebih rasional dan jadilah pemimpin yang fungsinya mestilah untuk memimpin. Bukan pemimpin namanya jika dianya sekadar mengikut kehendak petani sungguhpun petani tidak berada pada pihak yang benar.

Dan ini semua, penulis harus akur, bukanlah kerja mudah namun wajib dimulakan sungguhpun hasil serta impak positifnya mungkin mengambil jangkamasa yang lama untuk diperolehi. – Khabar


MATA KE MATA ;

*** Sudah tentu ketiga-tiga puak ini tidak akan mengakui sikap hipokrit mereka. Sebaliknya, cuba mengalih pandangan dengan mewujudkan ‘kambing hitam’  yang harus dipersalahkan dan jalan lebih mudah ialah dengan meletakkan kesalahan itu kepada Kerajaan Negeri sepenuhnya.

*** Sebaliknya, yang ahli-ahli politik ini sarankan ialah agar Kerajaan Negeri buat itu dan ini demi kononnya, untuk melancarkan lagi usaha petani dalam bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

Satu daripada saranan itu ialah dengan menghentikan peraturan pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) setahun ke setahun, yang dilihat membebankan.

*** Ahli-ahli politik pula seperti berlumba-lumba untuk menjadi juara kepada petani-petani ini. Taruhannya ialah untuk menjadi popular atau terus kekal popular lalu memperolehi undi pada pilihanraya.

***  Daripada situ, ahli-ahli politik pula harus dididik supaya lebih rasional dan jadilah pemimpin yang fungsinya mestilah untuk memimpin. Bukan pemimpin namanya jika dianya sekadar mengikut kehendak petani sungguhpun petani tidak berada pada pihak yang benar.

Dan ini semua, penulis harus akur, bukanlah kerja mudah namun wajib dimulakan sungguhpun hasil serta impak positifnya mungkin mengambil jangkamasa yang lama untuk diperolehi.