Tuesday 23 October 2012

Raja Berdaulat, mesra serta dekat di hati rakyat!!!


DAULAT TUANKU... Ini sepertimana iklan sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang untuk siaran dalam akhbar Utusan Malaysia pada Rabu, 24 Oktober.


NOTA EDITOR :

Bersempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhun Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu‘adzam Shah pada Rabu, 24 Oktober, sejak diputerakan pada Jumaat, 24 Oktober 1930 (dan dilantik sebagai KDYMM Sultan Pahang pada 7 Mei, 1974 serta ditabalkan setahun kemudian pada 8 Mei 1975); disiarkan di sini artikel mengenai Baginda.

Artikel ini ditulis oleh penulis yang sama dan ia sudahpun tersiar dalam satu-dua akhbar tempatan kira-kira enam tahun lepas. Bagi menepati kehendak semasa, beberapa pindaan kecil telah dilakukan yang masih tidak hilang keasliannya.

IKLAN DALAM AKHBAR TEMPATAN... Ini pula merupakan contoh iklan untuk siaran dalam akhbar-akhbar Berita Harian dan New Straits Times.  


Oleh YOPE KEY-DARE

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kepada seorang kenalan dari luar Pahang yang berada di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini pada satu malam bulan Ramadan, beberapa tahun lepas; apa yang dilihatnya pada malam kedua puasa itu adalah sesuatu yang membanggakannya.

Beliau melihat seorang Raja Pemerintah negeri, KDYMM Sultan Pahang, tidak kekok bersama-sama rakyat-jelata dalam menunaikan sembahyang Isya’ disusuli solat sunat Terawih berjemaah.

Yang lebih membanggakan, Baginda laksanakan ibadah ini dalam keadaan bersahaja – berjubah putih, berkopiah warna perang keemas-emasan serta duduk di saf paling depan tetapi selang empat-lima kedudukan ke kanan dari tempat imam.

Anakanda baginda, KDYTM Tengku Mahkota Pahang turut bersama-sama Baginda pada malam itu, dengan mengenakan pakaian dan bertingkah-laku yang bersahaja hampir serupa dengan ayahandanya.

Sebelum itu, Baginda tiba di perkarangan masjid lima minit sebelum masuk waktu Isya’ dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda warna putih.

SOLAT TERAWIH BERJEMAAH... KDYMM Sultan Pahang sedang menunaikan solat terawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.


TIDAK KEKOK ATAU JANGGAL DALAM KALANGAN RAKYAT

Sementara menunggu azan dilaungkan, Baginda selalu duduk dalam kedudukan ‘tahiyat awal’ serta kusyuk menunggu. Apabila solat hendak dimulakan, sambil berdiri dan menoleh-noleh ke saf belakang, Baginda menyila-nyila mereka yang di saf belakang supaya penuhkan tempat di saf lebih depan.

Begitulah seorang Raja yang langsung tidak janggal dalam kalangan rakyat Baginda hingga mempesona serta membanggakan kenalan penulis pada malam itu.

Yang turut membanggakan rakan kenalan penulis ini ialah beliau dapat turut hadir dalam kalangan jemaah yang antaranya ialah seorang Raja, yang kepada rakyat negeri ini mungkin sesuatu yang terlalu biasa, tetapi tidak kepadanya.

“Kalau ini pun membanggakan engkau, tunggulah hingga engkau lihat sendiri bagaimana Sultan kami turun padang meninjau apa-apa juga musibah yang menimpa rakyat,” kata penulis kepada kenalan tadi.

Dan penulis tidak sekadar bermain dengan kata-kata. Adalah hakikat bahawa ketokohan serta sikap mengambil berat Baginda akan sentiasa jelas terpancar tatkala Baginda berada dalam keadaan-keadaan itu.

KEBAJIKAN RAKYAT DIAMBIL KISAH, DIAMBIL BERAT... KDYMM Sultan Pahang kelihatan sedang meninjau kesihatan adik Nur Aleeya Qistiena Ahmad Fauzi - anak kurang upaya, yang juga merupakan mangsa banjir yang Baginda mencemar duli, ziarahi di balai raya Kampung Pia, Kundang Patah, Raub. 

Foto Bernama ini dirakam pada Jun 2007. 


‘INI TIDAK PATUT…’

Malah, apa-apa perkhabaran buruk mengenai rakyat Baginda dilanda musibah dan kesusahan, sentiasa menyentuh hati dan perasaan Baginda dan ini dapat disahkan oleh rakan-rakan Baginda sendiri.

Misalnya, dalam buku terbitan tahun 1983 – ‘Menjulang Kasih’ tulisan rakan baik baginda yang juga bekas menteri kabinet, Allahyarham Tan Sri Sharif Ahmad ada mengisahkan tentang perasaan terharu Baginda apabila terbaca laporan akhbar mengenai nasib penjaja gerai yang merupakan seorang bekas tentera.

Penjaja gerai itu dilaporkan membakar gerainya kerana rayuannya mengenai sesuatu perkara kepada pihak berkuasa tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

“Ini tidak patut,” titah Baginda kemudian menyambung, “Askar itu menyabung nyawa untuk kita semua dapat hidup senang dan mewah”. Baginda kemudian menitahkan kepada setiausaha baginda, “Saya hendak laporan penuh. Bekas askar itu perlu ditolong”.

Dan dalam aspek membantu atau turun padang ini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri memberikan gambaran paling tepat mengenainya sepertimana ucapan beliau pada Malam Peterana Kasih di Istana Abu Bakar, Pekan, Isnin, 10 Mei 2004.

KDYMM SULTAN PAHANG TIBA LEBIH AWAL DARIPADA YANG LAIN

“Jika ada bala bencana, ada berlaku kecemasan; jarang sangat pacal-pacal sekelian, pemimpin-pemimpin yang boleh mengalahkan KDYMM Tuanku untuk sampai dahulu.

“Lebih kerap daripada tidak, KDYMM Tuanku pasti sampai lebih awal daripada hamba rakyat pembesar-pembesar yang yang lain.

“Sebagai contoh baru-baru ini, semasa peristiwa yang menimpa pendaki-pendaki Gunung Raja di Bentong yang menyebabkan dua orang terkorban dipanah petir; KDYMM Tuanku sampai lebih awal daripada pasukan penyelamat polis,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Apabila membantu pula, Baginda akan pastikan sendiri bantuan itu dihulurkan sebenar-benarnya serta dengan memperolehi hasil dan kesan yang diinginkan, tidak cukup secara ala kadar apatah lagi seperti melepaskan batuk di tangga.

Misalnya apa yang berlaku semasa banjir besar melanda Kuantan pada tahun 2001. Dalam banyak-banyak kunjungan Baginda menjengah nasib rakyat ketika itu, Baginda terserempak dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah dewan orang ramai, terpaksa menghadapi segala ketidak selesaan ekoran kemudahan asas tidak mencukupi.

TITAH PINDAHKAN MANGSA BANJIR SEGERA

Sekonyong-konyong itu juga Baginda menitahkan agar mereka dipindahkan ke tempat yang lebih selesa, yang memadai dan mencukupi kemudahan asas khususnya bekalan air dan elektrik.

Lalu, kerja memindahkan mangsa dilaksanakan segera dengan bantuan trak tentera dan Baginda berada di situ dari petang sehingga senja, hanya kerana mahu memastikan seluruh kerja pemindahan itu dilaksanakan dengan sempurna.

Mengenai sikap mengambil berat ini, Baginda sendiri ada menceritakan puncanya sepertimana wawancara eksklusif yang pernah diberikan kepada penulis di pejabat Baginda di Pekan, pada 31 Disember 1998. 

Wawancara ini disiarkan sepenuhnya dalam Khabar Pahang – majalah terbitan Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, keluaran sulungnya bertarikh 15 Januari 1999.

“Selama 43 tahun Almarhum ayahanda saya (Sultan Sir Abu Bakar) memerintah, memang saya ketika itu Tengku Mahkota; telah dititah… menjadi ‘royal command’ kepada saya untuk mengiringi Almarhum ke serata negeri.

‘NOT IN ME’ UNTUK TIDAK BUAT APA-APA

“Asas ini sudah terbina sejak pemerintahan Almarhum lagi. Ia satu asas yang sangat kukuh, yang menjadi dasar kepada kukuhnya pula tali silaturrahim antara pemerintah dengan rakyat.

“Di mana-mana sahaja, masa susah atau senang; Raja Pemerintah akan bersama-sama rakyat. Saya dan rakyat saya berpisah tiada. ‘It is not in me (bukan sikap saya) untuk tidak berbuat apa-apa apabila menyedari rakyat saya dalam kesusahan seperti ditimpa bencana,” titah Baginda.

Dan Baginda sepertimana yang telah disebutkan tadi, memang mementingkan kesan daripada apa yang telah Baginda laku dan usahakan, lalu berasa lega setelah melihatkan hasilnya itu.

Ini seperti titah Baginda lagi pada wawancara itu; “Bila saya membuat lawatan itu, saya akan minta tolong pihak-pihak berkenaan khususnya agensi-agensi kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi apa juga masalah yang rakyat hadapi”.

Berhubung dengan ini, bekas Menteri Besar, TYT Tun Khalil Yaakob yang kini ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, ada memperkatakannya pada wawancara dengan penulis sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda pada 8 Mei 1999.

KDYMM TUANKU PUNYA ‘PASSION’ UNTUK MENDENGAR

“Dan ini bukan satu perkara yang kita tetapkan. Ini datangnya daripada perasaan, jiwa KDYMM Tuanku sendiri untuk berdamping dengan rakyat. Ini menjadi tradisi yang kuat dalam keluarga Diraja sejak zaman-berzaman.

“Yang pentingnya dalam lawatan ini ialah sesi mendengar… Ini maknanya KDYMM Tuanku memiliki perasaan yang mendalam (passion) untuk mendengar.

“Kalau tidak ada ‘passion’, tidak ada ‘tolerance’ (tolak-ansur) untuk mendengar, mungkin lawatan-lawatan ini tidak akan berkesan,” kata Khalil.

Oleh kerana itulah, setelah bersemayam selama 38 tahun di singgahsana pemerintahan negeri, rakyat juga sudah menerima kini akan ungkapan keramat yang selalu dititahkan Baginda tentang betapa, ‘Raja, rakyat, sehati sejiwa;   Raja, rakyat, berpisah tiada’. – Khabar  


MATA KE MATA ;

*** Begitulah seorang Raja yang langsung tidak janggal dalam kalangan rakyat Baginda hingga mempesona serta membanggakan kenalan penulis pada malam itu.

Yang turut membanggakan rakan kenalan penulis ini ialah beliau dapat turut hadir dalam kalangan jemaah yang antaranya ialah seorang Raja, yang kepada rakyat negeri ini mungkin sesuatu yang terlalu biasa, tetapi tidak kepadanya.


*** “Jika ada bala bencana, ada berlaku kecemasan; jarang sangat pacal-pacal sekelian, pemimpin-pemimpin yang boleh mengalahkan KDYMM Tuanku untuk sampai dahulu.

“Lebih kerap daripada tidak, KDYMM Tuanku pasti sampai lebih awal daripada hamba rakyat pembesar-pembesar yang yang lain.”


*** “Selama 43 tahun Almarhum ayahanda saya (Sultan Sir Abu Bakar) memerintah, memang saya ketika itu Tengku Mahkota; telah dititah… menjadi ‘royal command’ kepada saya untuk mengiringi Almarhum ke serata negeri.

“Asas ini sudah terbina sejak pemerintahan Almarhum lagi. Ia satu asas yang sangat kukuh, yang menjadi dasar kepada kukuhnya pula tali silaturrahim antara pemerintah dengan rakyat.”
   

*** Di mana-mana sahaja, masa susah atau senang; Raja Pemerintah akan bersama-sama rakyat. Saya dan rakyat saya berpisah tiada. ‘It is not in me (bukan sikap saya) untuk tidak berbuat apa-apa apabila menyedari rakyat saya dalam kesusahan seperti ditimpa bencana.”