Monday 12 November 2012

Bahana ke atas peneroka jual dan pajak hakmilik tanah!!!


… hingga ada yang hidup susah, tinggal di bawah jambatan di Kuala Lumpur. Maka, Menteri Besar tidak jemu-jemu nasihat agar peneroka tidak menjual atau memajak hakmilik tanah yang telah mereka perolehi.

PERSIDANGAN MEDIA DI TEMENTI... Dato' Sri Diraja Adnan diminta mengulas lanjut kepada ucapan luar teks 37-minitnya pada persidangan media ini. Yang turut diminta ulas ialah mengenai isu-isu semasa berkaitan Felda serta politik yang dijawabnya secara positif. 


BALAIRAYA, RANCANGAN TANAH FELDA TEMENTI, BERA – Sambil mengingatkan para peneroka rancangan tanah Felda supaya bersyukur serta mengenang jasa bekas perdana menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang memperkenalkan rancangan pembangunan tanah ini;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut mengingatkan mereka supaya tidak mudah-mudah menjual atau memajak tanah-tanah yang telah mereka terima suratan hakmilik, setelah selesai membuat segala pembayaran yang diperlukan.

Menjual atau memajak tanah-tanah tersebut katanya, hanya akan menyebabkan para peneroka berkemungkinan mengalami kesusahan serta kesukaran hidup harian pada masa depan.

“Dengan adanya Felda, kita sekurang-kurangnya ada tanah. Maka, jangan jual (selepas menerima hakmilik tanah),” katanya dalam ucapan luar teks 37-minit pada majlis penyampaian suratan hakmilik tanah kepada 86 peneroka peringkat kedua, tengah hari Isnin, 12 November di rancangan tanah Felda ini .

Beliau seterusnya menceritakan apa yang telah dimaklumkan kepadanya oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, mengenai nasib malang lebih 200 orang yang hidup dalam gelandangan di Kuala Lumpur, yang ada antaranya merupakan golongan peneroka.

JUAL TANAH, DUDUK BAWAH JAMBATAN

Puncanya, ekoran peneroka berkenaan telah menjual tanah-tanah Felda yang diberikan suratan hakmilik, lalu terpaksa ke ibunegara mencari pekerjaan yang termampu, untuk meneruskan kehidupan.

“Saya dapat tahu, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini beritahu saya, ada dibanci lebih-kurang 200 orang yang tidak ada rumah, duduk di bawah jambatan, di bawah terowong, di Kuala Lumpur.

“Bila pergi siasat, ada diantara mereka ini ialah peneroka Felda. Kerja jadi jaga, tak mampu sewa rumah, dia tidur bawah jambatan sahaja. Kain-selimut, tikar-bantal, dia boleh lipat, boleh semua tu. Mandi di masjid. 200 lebih.

“Perdana Menteri Dato’ Sr Mohd Najib Tun Abdul Razak beritahu, dan (sungguhpun begitu) beliau akan mencari jalan untuk membantu golongan ini,” katanya.

“Kalau kita siasat balik,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan; “Tak patutnya peneroka Felda tu dalam keadaan sekarang, duduk di Kuala Lumpur. Kita tengok balik, dia duduk di Kuala Lumpur, tak ada rumah, tak ada apa, kerja jadi jaga, (dapat gaji) RM1,000, RM800 sebulan; latar belakangnya apa? Semuanya menjual tanah!”

YANG LAIN BERTAMBAH TAPI TANAH BERKURANGAN

Ada juga peneroka menurutnya, yang memajak suratan hakimilik tanah mereka demi mendapakan punca kewangan bagi kononnya menampung pelbagai keperluan termasuklah untuk membiayai pendidikan tinggi anak-anak.  

“Saya ingat nak tolonglah (dengan membuat bayaran tertentu bagi menebus kembali tanah yang telah dipajak). Rupanya bukan sekali pajak, (tetapi) tiga (3) kali pajak. Makna lepas mati esok, dah pajak dah, dah pajak dah (tanah yang ditinggalkan masih dalam tempoh pajakan),” katanya.  

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas lanjut mengenai perkara yang sama, yang sering diulang-sarankan pada setiap kali beliau berada pada majlis penyampaian suratan hakmilik di negeri ini.

“Kerana kita harus ingat, harta kekayaan lain boleh bertambah, boleh berkurang. Tetapi tanah, ia tidak akan bertambah. Menjadi kurang ada… Oleh sebab itu, sayangilah harta terutama tanah dikurniakan oleh Kerajaan, dan jangan sekali-kali dijual.

“Sekurang-kurangnya anak-cucu pada masa akan datang, ada tempat mereka bertapak. Kalau dijual langsung, apabila kita tiada lagi, anak-cucu juga akan hadapi kesukaran menguruskan kehidupan,” katanya lagi.

PINDAH MILIK ANAK-BERANAK, ADIK-BERADIK BOLEH

Dalam pada itu beliau mengingatkan betapa pemindahan hakmilik tanah-tanah berkenaan tidak lagi dibenarkan oleh Menteri Besar bagi pihak ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan Kerajaan Negeri, kecuali kepada yang mempunyai hubungan waris ‘qodib’ atau rapat.

“Maknanya, (pemindahan hakmilik kepada) adik-beradik, anak-beranak, boleh. Tapi setakat kawan, sahabat-handai, minta maaf. Kalau untuk cagar (suratan hakmilik tersebut) ke bank, kita tengok juga kertas kerja. Kita tengok ‘projection’ kertas kerja.

“Kalau munasabah, kita akan luluskan untuk cagaran. Tapi tak banyak. Yang pindah-milik sama anak-beranak, ramai. Tapi untuk kebenaran mencagar tak ramai.

“Yang terlepas daripada peneroka Felda ke bukan waris, ada terlepas (atas) sebab-sebab tertentu. Contoh, terbukti berhutang. Ada satu kes kita luluskan. Dia berhutang, ambil duit orang (hingga perlu jual tanah berkenaan untuk langsaikan hutang),” katanya lagi.

Dalam ucapan luar teksnya itu juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulangi saranan dan pesanan yang acapkali diluahkannya, agar rakyat termasuk para peneroka, tidak terpengaruh dengan gesaan oleh pembangkang untuk menukarkan Kerajaan.

YANG MENGGANTI TAK AKAN SEBAIK YANG DIGANTI

“Ada orang kata, ‘Ohh… cukuplah lima (5) tahun, (maka perlu) tukar (Kerajaan, daripada yang ditunjangi oleh Barisan Nasional dengan yang lain). Jangan... Bukan senang menukar ni,” tegasnya.

Beliau lalu memberikan analogi menarik mengenainya, yang sungguhpun penuh kelucuan tetapi menepati maksud yang hendak disampaikan tentang betapa yang diganti tetap lebih baik daripada yang mengganti.   

“Perhatilah keadaan… Yang mengganti, jarang lebih elok daripada yang kena ganti. Tamsillah kepada yang lain-lain. Mati laki (suami), tukar (kepada suami) yang lain. Boleh (pula) cakap dengan jiran-jiran, anak-anak saudara ‘Oh… Tak adalah laki baru Mak Long’. ‘Ha, ngapa?’ ‘Tak serupa Pak Long awak dulu’,” yang disambut gelak ketawa oleh para hadirin.

“Mati pula bini (isteri), cari pula bini (isteri) baru,” Dato’ Sri DiRaja Adnan meneruskan tamsilannya. “‘Macam mana Bang, bini baru?’ ‘Emmm, tak lawan kakak awak dululah…’”, yang menyebabkan hadirin tertawa lagi.  

“Ini betul ni. Saya, masa saya kecil-kecil main bola, 12, 13 tahun. Kita hormat orang tua. Nampak nenek saya turun dari bas, dia nak balik melintas padang, saya pergi ‘Ha, datang mana Wan?’. ‘Datang Bentong’.

JANGAN TUKAR-TUKAR TAK TENTU ARAH

“‘Wan, Wan baru ni kahwinkan?’ ‘Ha yalah. Kenapa pula awak nak tahu?’, dia macam marah-marah sukalah, dia kahwin. ‘Macam mana Aki baru Wan?’ ‘Huh! Panaskan badan bolehlah…’,” yang disambut ketawa lebih besar oleh hadirin sekelian.

“Begitu jugalah, esok (menjelang pilihanraya umum nanti),” kata Dato’ Sr DiRaja Adnan, “(Jika) undi pembangkang, pembangkang jadi Kerajaan baharu kita menyesal. ‘Oh, Barisan juga bagus…’ Kita ni… JKKK, wakil rakyat, kerja kita menjaga kawasan.

“Ingat ya. Benda yang mengganti tak sama dengan yang diganti. Janganlah tukar-tukar tak tentu arah. Benda lain boleh, boleh cuba. Yang ini (mengenai cubaan menukarkan Kerajaan) jangan cuba-cuba,” tegas Menteri Besar itu lagi.      

Antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Isnin itu ialah wakil-wakil rakyat , Encik Fadil Osman (BN – Kamayan) dan Enck Norol Azali Sulaiman (BN – Guai), serta Pegawai Daerah, Dato’ A.Rahman Hamzah;

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Azizan Omar; Pengurus Besar, Felda Wilayah Mempaga, Encik Jahya Janal; dan tuanrumah, Pengerusi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Tementi, Encik Ahmad Wok.

Pada majlis yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan meluluskan perutukan RM5,000 bagi maksud tempahan  pakaian seragam untuk anggota-anggota kumpulan dikir barat yang telah membuat persembahan mereka pada awal majlis tersebut. – Khabar