Thursday 8 November 2012

Beri peluang Lynas buktikan ia berwibawa, labur dalam bidang yang mustahak kepada negara

… kata Menteri Besar sebagai reaksi kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) beroperasi, menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang sudah diterimanya.

KETEGASAN DAN KONSISTENANNYA, DIKAGUMI... Ketegasan dan konsistennya beliau dalam mendepani serta menangani secara 'pull the bull by the horn' terhadap satu-satu isu di bumi Pahang ini, amatlah dipandang tinggi sepertimana tegas dan konsistennya beliau dalam isu Lynas.

Foto ini dirakam ketika Dato' Sri DiRaja Adnan hadir pada perjumpaan serta berdialog dengan ketua-ketua jabatan persekutuan pada petang Selasa, 9 Oktober di bangunan Wisma Persekutuan, bersebelahan Wisma Sri Pahang, Kuantan.   

Pada perjumpaan-perjumpaan seumpama inilah, soal ketegasan dan konsistennya beliau dapat terus dipelajari, lantas dikagumi oleh mereka yang berinteraksi dengannya.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meminta agar kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) milik Lynas Malaysia Sdn Bhd, diberi peluang untuk membuktikan ia sebuah syarikat yang berwibawa.

Dan pula, ia – dengan jangkaan pelaburan keseluruhannya RM2,300 juta yang daripadanya, kira-kira RM1,300 juta telahpun dibelanjakan setakat ini bagi pembinaan dan operasi kilangnya di Gebeng, dekat sini; dapat melabur dalam bidang yang mustahak untuk negara.

Ini merupakan harapan Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam reaksinya kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada Khamis, 8 November yang membenarkan LAMP untuk beroperasi selepas menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang telah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) beri, oleh tiga penduduk Kuantan.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam penghakimannya dilaporkan berkata, injunksi itu ditolak kerana ia bukan sahaja melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta AELB, tetapi juga Lynas sebagai responden ketiga.

“Keseimbangan ekuiti perlu diputuskan bukan sahaja antara pemohon (penduduk Gebeng) dan MOSTI serta AELB, tetapi juga Lynas sebagai pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam keputusan kes ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). 

ASASNYA SOAL EKONOMI, JADI ISU ALAM SEKITAR, POLITIK, UNDANG-UNDANG

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, isu Lynas pada asasnya merupakan isu ekonomi, kemudian menjadi isu alam sekitar, bertukar menjadi isu politik dan akhirnya menjadi isu undang-undang.

“Banyak masa, tenaga, wang telah habis dengan sia-sia. Banyak kajian telah dijalankan. Ramai pakar-pakar telah membuat rumusan.

“Dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini, elok kita beri peluang Lynas membuktikan ia sebuah syarikat yang berwibawa dan melabur dalam bidang yang mustahak untuk negara.

“Dan boleh memberi pulangan kepada syarikat selain memberi peluang ekonomi kepada pekerja, rakyat setempat, negeri dan negara keseluruhannya,” katanya yang selama ini amat konsisten dalam pendiriannya yang positif mengenai isu Lynas ini.

Berikut ialah teks penuh reaksinya itu, sepertimana yang turut disalurkan kepada media-massa tempatan;

TEKS PENUH REAKSI MB

“Isu Lynas pada asasnya adalah isu ekonomi. Ia kemudian menjadi isu alam sekitar. Ia bertukar kemudian menjadi isu politik. Akhirnya ia menjadi isu undang-undang.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Banyak masa, tenaga, wang telah habis dengan sia-sia. Banyak kajian telah dijalankan. Ramai pakar-pakar telah membuat rumusan.

“Dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini, elok kita beri peluang Lynas membuktikan ia sebuah syarikat yang berwibawa dan melabur dalam bidang yang mustahak untuk negara,

“Dan boleh memberi pulangan kepada syarikat selain memberi peluang ekonomi kepada pekerja, rakyat setempat, negeri dan negara keseluruhannya. Terima kasih.”  - Khabar