Friday 30 November 2012

Perdana Menteri lancar RapidKuantan


… satu lagi produk/perkhidmatan ‘1Malaysia. Rakyat Didahulukan’, dan pula ditepati hanya selepas dua (2) bulan diumum/dijanjikan dalam pembentangan Bajet Negara 2013 pada Jumaat, 28 September.

'FLAGGING-OFF'... Dengan pelepasan ini oleh Perdana Menteri yang diiringi Tan Sri Muhyiddin, Dato' Sri DiRaja Adnan dan yang lain, maka terlancarlah sudah perkhidmatan bas bandar RapidKuantan ini. 


DATARAN, ARAS 4, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak hari ini melancarkan perkhidmatan bas bandar RapidKuantan, hanya selepas dua (2) bulan mengumumkan cadangan mengenainya dalam ucapan Bajet Negara 2013 pada Jumaat, 28 September lepas.

“Saya nak maklumkan bahawa ini satu lagi produk ‘1Malaysia. Rakyat Didahulukan’. Dan ini sebuah lagi janji ditepati,” katanya dalam ucapan spontan luar jadual 3-minitnya pada majlis pelancaran tersebut petang Jumaat juga, 30 November di sini.

“Hanya dalam tempoh dua bulan sahaja selepas diumumkan maka perkhidmatan bas Rapid untuk Kuantan, menjadi kenyataan, Insya-Allah.

“Mulai pada hari Isnin akan datang ini (3 Disember), bas ini akan memulakan perkhidmatannya dan akan memberi manfaat kepada setengah juta rakyat khususnya mereka yang tinggal di bandar Kuantan,” katanya lagi.

Jika pelancaran perkhidmatan bas bandar itupun sudah merupakan ‘hadiah’ buat penduduk Kuantan, satu lagi ‘hadiah’ turut diumumkannya hingga menyebabkan para hadirin yang dalam kalangan pemimpin dan perwakilan UMNO negeri Pahang yang menghadiri hari kedua Perhimpunan Agung UMNO ke-66 di sini, bertepuk tangan.     

PERASMIAN LOGO... Majlis inipun boleh dikatakan cepat dilakukan, pada Rabu, 3 Oktober atau tidak sampaipun seminggu selepas Perdana Menteri mengumumkan mengenainya (pada 28 September). 

Majlis ringkas ini diadakan di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan. Yang turut kelihatan bersama-sama Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Shahril (kiri) ialah Pengarah Kumpulan, SPNB, Ir Zohari Sulaiman (kanan sekali). 


PERKHIDMATAN BAS PERCUMA UNTUK SEBULAN

Dan satu lagi yang teristimewa saya nak maklumkan bahawa, perkhidmatan bas ini akan diberikan secara percuma untuk sebulan.

“Jadi dengan ini Insya-Allah, kita akan dapat memberi satu lagi perkhidmatan kepada masyarakat dan komuniti di Kuantan,” katanya yang juga Presiden UMNO yang meluangkan masa selepas bersolat Jumaat di surau sementara di sini, bagi menghadiri majlis ini.

Dalam ucapannya juga, Dato’ Sri Mohd Najib turut memaklumkan bahawa Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob akan melancarkan operasi perkhidmatan bas tersebut di Kuantan pada Isnin itu, dengan memandu sendiri bas berkenaan.  

“Pada hari ini Isnin ini, saya difahamkan Dato’ Nan, Menteri Besar Pahang, akan melancarkan dengan memandu bas tersebut,” katanya disambut sebutan serentak ‘Yaah…’ disusuli tepukan oleh hadirin.

“Sebab Dato’ Nan ada lesen memandu (PSV bas) yang disahkan oleh SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat). Ini bukan olok-olok. Ini diperolehi secara sah.

DATO’ NAN PANDU SENDIRI BAS TANDA JANJI DITEPATI

“Jadi beliau akan memandu bas ini pada hari Isnin sebagai tanda bahawa inilah bas yang kita telah janjikan untuk orang Kuantan,” kata Perdana Menteri lagi sambil menayangkan lesen tersebut yang dihulurkan kepadanya oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau kemudian mengucapkan terima kasih kepada SPAD serta entiti di bawahnya – Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB), kerana berjaya mengadakan perkhidmatan ini dengan menyediakan 32 bas, dalam tempoh masa dua (2) bulan yang dikatakannya ‘rekod jugalah’.

“Jadi, kalau kita dapat mandat yang baharu daripada rakyat (pada pilihanraya umum ke-13 kelak), banyak lagi yang kita boleh lakukan,” katanya.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan, yang turut hadir pada majlis ringkas itu sebelum kembali ke Dewan Merdeka untuk mengikuti perbahasan dalam Perhimpunan Agung ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar;

Begitu juga Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Pengangkutan Negeri, Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Pengerusi, SPNB, Tan Sri Ismail Adam; dan, Pengarah Urusan Kumpulan, SPNB, Dato’ Shahril Mokhtar. – Khabar