Sunday 9 December 2012

'Head turner, eye catcher'; serta perkhidmatan yang menyelesakan


… hasil pengalaman setengah hari menaiki bas RapidKuantan pada hujung minggu

RAMAINYA... Penumpang lebih selesa berada di bahagian depan bas, tidak di bahagian belakang yang perlu naiki dua (2) anak tangga untuk berada di atasnya. Foto ini dirakam di 'seat' paling belakang yang perlu naiki dua (2) anak tangga lagi. 

Namun, perjalanan dalam bas berhawa dingin dengan tempat duduk serta alat pegang atas kepala yang modern; membuatkan penumpang terasa senang dengannya. 
  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – ‘Head turner, eye catcher’; serta perkhidmatan yang menyelesakan bagi penumpang/penggunanya.

Inilah yang dapat dikatakan mengenai perkhidmatan bas bandar RapidKuantan kelolaan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB), setelah berpengalaman setengah hari menaikinya pada Ahad, 9 Disember.

Penulis katakan ‘head turner, eye catcher’ ialah kerana, sepanjang laluan bas-bas ini, orangramai tidak dapat tidak, akan pasti menoleh untuk melihat sambil bas-bas 10-meter panjang ini, melepasi mereka.

Menyelesakan pula ialah kerana, bas-basnya baharu, berhawa dingin dan pula, punat locengnya untuk ditekan penumpang bagi berhenti-turun di satu-satu hentian tepi jalan, adalah di lokasi yang mudah dicapai.

Sungguhpun begitu, dalam aspek ketepatan waktu dan laluan serta gelagat pemandu, masih perlu diperbaiki agar perkhidmatan bas bandar yang baharu ini, akan dapat meningkatkan ataupun mengekalkan keghairahan orangramai menggunakannya.

BERTAMBAH RAMAI, BERMULA KAMPUS UMP KE TERMINAL MAKMUR... Semakin ramai penumpang apabila bas melalui kampus UMP. Benar sangatlah permintaan Menteri Besar supaya 'route' sebegini diutamakan.  


AMBIL KESEMPATAN TAMBANG PERCUMA

Sementelah pula, mereka yang menaikinya ketika ini ialah yang mengambil kesempatan daripada tawaran tambang percuma sebulan antara 1 dan 31 Disember nanti. Apakah sambutan yang sama selepas berakhirnya tempoh itu kelak?

Berikut penulis rentetkan perjalanan setengah hari penulis dengan bas RapidKuantan ini;

7.06 pagi; Berjalan keluar tiga-beranak ke hentian bas berdekatan di Jalan Sultan Abdullah, berdepan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang yang di seberang jalan.

7.11 pagi; Tiba di hentian berkenaan. Sambil menunggu, sempat meninjau pondok hentian yang sedia terbina oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sejak sebelum perkhidmatan RapidKuantan wujud lagi. Ulasannya – menghampakan.

Persekitaran semak dengan daun-daun kering, tin minuman serta kulit-kulit durian! Tidak dapat duduk tetap di bangku simen yang disediakan sebab nyamuk halus lima-enam ekor asyik menghurungi badan khususnya lengan. Terpaksa bangun, mundar-mandir berjalan-jalan.

PEMANDU YANG AMBIL-KISAH... Selain meminta yang golongan lelaki berpindah ke bahagian belakang bas, pemandu yang ambil kisah ini (berbaju oren) turut meminta mereka terutamanya warga asing yang tidak kisahkan tempat duduk yang diutamakan kepada golongan ibu dan cacat anggota; supaya mencari tempat duduk lain agar tempat tersebut diduduki oleh mereka yang sewajarnya.  


TUNGGU LEBIH 30-MINIT

Oleh kerana penulis difahamkan, pengguna tidak akan menunggu lebih daripada 15 minit bagi menaiki sesebuah bas, jangkaan penulis ialah, bas akan tiba ke hentian ini paling lewat, 7.26 pagi (7.11 pagi + 15 minit). Namun tidak. Apabila melepasi tempoh tersebut, penulis mulai resah apatah lagi dengan hurungan nyamuk-nyamuk halus.

7.43 pagi; Selepas menunggu kira-kira 32 minit, baharulah bas Laluan 300 Kompleks Mahkamah (Kuantan) – POLISAS (Semambu) tiba. (Kompleks Mahkamah Kuantan terletak di Indera Mahkota 14 yang terpisah dengan Indera Mahkota 5 ini oleh Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan).

Ketika menaiki bas ini, cuma ada seorang penumpang di dalamnya. Perjalanan ini sungguh selesa .

7.53 pagi; Oleh kerana hari ini hari minggu agaknya, perjalanan adalah lancar, tiada kesesakan khususnya pada persimpangan Jalan Bukit Ubi yang dilalui, dengan Jalan Bukit Bay-route. Maka, 10 minit sahaja, sudahpun sampai di Terminal Makmur di Platform 2.

Sesampainya sahaja, terus ke Plantform 1 bersebelahan, hendak mengambil perjalanan ke Gambang menerusi Laluan 100 Terminal Makmur – Gambang (hujungnya ialah di Kolej Matrikulasi).

TIKET, YANG JIKA TIDAK LAGI PERCUMA KELAK, HARGANYA CUMA RM2... 


BAS TERASA TERSENTAP-SENTAP

7.56 pagi; Berlepaslah menuju ke Gambang, melalui Jalan Bukit Sekilau-Jalan Lim Hoe Lek-Jalan Bukit Ubi-Jalan Mahkota-Jalan Kuantan-Gambang. Laluan ini turut memasuki Perkampungan Sungai Isap, Bukit Rangin dan Permatang Badak, sebelum keluar semula ke Jalan Kuantan-Gambang melepasi persimpangan berlampu isyarat bersebelahan Masjid Hidayah.

Sungguhpun selesa, ulasan negatif ialah, pemanduan agak kasar dan dibawa agak laju. Apabila menghampiri lampu isyarat untuk berhenti, bas terasa tersentap-sentap mungkin juga kerana sistem brek yang masih baharu, yang belum mahir lagi pemandu dengannya.

Satu lagi ulasan negatif penulis ialah tindakan pemandu yang agak memeranjatkan. Di hentian Jalan Sungai Isap Damai 7, pemandu boleh menghentikan bas seketika semata-mata untuk membeli kuih-muih yang dijual di warung tepi jalan berkenaan! Jam penulis menunjukkan, beliau menghabiskan masa dua (2) minit untuk itu. Bukanlah sangat fasal dua (2) minit itu tetapi lebih kerana ‘tidak manis’nya gelagat sebegitu.
  
9.02 pagi; Setelah kira-kira 66-minit (atau sejam, enam (6) minit) perjalanan, termasuk memasuki kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP), sampailah di luar pintu masuk Kolej Matrikulasi Gambang.

Ketika ini, penulis yang tidak bersarapan pagi lagi, mulai terasa lapar dan kepala mula berdenyut-denyut. Ketika inilah juga, penulis segera menyedari betapa, mungkin betullah juga pemandu bas ini yang berhenti seketika membeli kuih-muihnya tadi.    

BAHAGIAN KHAS UNTUK ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)... Foto ini dirakam di atas bas Laluan '300 POLISAS' yang agak lengang dalam perjalanan kira-kira 7.43 pagi itu. Lihat cantiknya dan kemasnya peralatan. Semoga ia kekal khususnya tiada tangan-tangan gatal yang akan membikin tulisan-tulisan 'graffitti' padanya. 
  

LEGA DAPAT DUDUK DALAM BERHAWA DINGIN

Penulis tiga-beranakpun turun dari bas ini. Menunggu di tepi longkang berhampiran, bersedia untuk berpindah ke satu lagi bas yang sedia menunggu. Masih lagi bas Laluan 100 tetapi Gambang – Terminal Makmur.

Ketika menunggu, badan penulis sekali lagi dihurung nyamuk-nyamuk halus – cuma seekor-dua, tidak sebanyak di hentian bas di Indera Mahkota 5 tadi.

9.11 pagi; Pintu bas Laluan 100 Gambang – Terminal Makmur dibuka, maka naiklah kami ke dalamnya. Lega apabila pemandu turut menghidupkan enjin dan memasang penghawa dingin. Pun begitu, ada seekor nyamuk halus turut mengekori penulis dan berada di atas bas yang sama, kemudian hilang entah ke mana.  

9.17 pagi; Berlepaslah kami dari Kolej Matrikulasi Gambang ini, menuju ke Terminal Makmur, sekali lagi melalui Pekan Gambang – kampus UMP, semula ke Jalan Kuantan-Gambang, melepasi Taman TAS dan sesampainya berhampiran Permatang Badak/Perkampungan Sungai Isap, tidak pula bas ini memasukinya.

Yang nyata dalam perjalanan ini ialah, penumpang semakin ramai berbanding tadi. Yang ramai menaikinya ialah dalam kalangan pelajar Kolej Matrikulasi serta UMP, serta juga ‘nyonya, amoi dan ba’ dari pekan Gambang.

JANGANLAH ABAIKAN KEBERSIHAN... Kita faham dan turut bersetuju dengan maksud di sebalik ABAI ini - Asalkan Bukan ... diikuti dengan nama pemimpin utama parti pembangkang itu. 

Namun, ini tidaklah bermakna kita turut harus mengabaikan aspek kebersihan di tempat awam seperti di hentian bas berdepan SMK Tengku Panglima Perang ini. 

Sama-samalah kita menyalahkan diri - orangramai yang tidak kisahkan aspek kebersihan, pihak berkuasa tempatan pula tidak menyelenggara dengan baik dengan setidak-tidaknyapun, adakan tong sampah di sini.
   

BENAR SANGATLAH PERMINTAAN MENTERI BESAR

Dalam hal ini, benar sangatlah permintaan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob kepada SPNB mengenai keperluan untuk memberi perkhidmatan kepada laluan-laluan serta destinasi-destnasi ini.

10.31 pagi; Hanya selepas 74-minit (atau, sejam 14-minit), bas inipun tiba di Terminal Makmur. Berbanding dengan perjalanan ke Gambang tadi, dengan turut memasuki Perkampungan Sungai Isap-Bukit Rangin-Permatang Badak yang mengambil masa 66-minit; perjalanan ke Terminal Makmur ini tentulah agak lewat. Namun pemanduannya lancar serta ‘steady’, tidak seperti yang beli kuih-muih tadi.  

Setibanya di Terminal Makmur, yang segera dicari ialah restoran mamak di seberang sana berhampiran kompleks membeli-belah East Coast Mall. Maka puaslah penulis makan nasi briyani ayam goreng bersama-sama teh ais dan teh tarik. Oleh kerana kepala berdenyut, diambil dua (2) biji ‘panadol’, 40 sen sebiji, bersama-sama air.

11.20 pagi; Kembali ke Terminal Makmur, kali ini arah-tujunya ialah ke Teluk Chempedak. Ke platform 2, maka tunggulah ketibaan bas yang sepatutnya tertera pada Sistem Penerangan Awam (Public Information System), ‘200 Teluk Chempedak’.   

11.45 pagi; Tibalah bas Laluan 200 Teluk Chempedak berkenaan. Ramai juga yang hendak menaikinya seolah-olah berebut-rebut kecil. Dan, berlepaslah dengan melalui Jalan Bukit Sekilau-Jalan Lim Hoe Lek-Jalan Tun Ismail melepasi Kompleks Membeli-belah Megamall;

DI SINILAH TERBUANG, KESEDARAN SIVIK KITA... Prasarana kelas pertama, mentaliti kelas ketiga? 


15-MINIT PERJALANAN PULANG

Kemudian belok ke kanan mengambil Jalan Beserah, ke kiri memasuki Jalan Teluk Sisek, seterusnya, dari persimpangan berhampiran pasaraya Pantai Selamat, belok kiri memasuki Kubang Buaya, melepasi IKIP Advanced Skills Centre (IASC) dan Maktab rendah Sains Mara (MRSM)-Jalan Dato’ Bahaman berhampiran Medan Tok Sira-Jalan Tengku Muhamad, seterusnya ke Teluk Chempedak.

12.17 tengah hari;  Tibalah di Teluk Chempedak. Dari sini, turun dan menaiki bas yang sama yang akan kembali semula perjalanannya ke Terminal Makmur. Selain tempatan, yang ramai menaiki bas kali ini secara berkumpulan ialah warga asing yang penulis percaya, pekerja-pekerja Bangladesh yang dalam pakaian santai, bercuti-rehatlah agaknya.   

12.20 tengah hari; Bas Laluan 200 Teluk Chempedak-Terminal Makmurpun bertolak kembali, dengan mengambil laluan yang sama sepertimana ia tiba ke sini tadi.  

12.52 tengah hari; Kira-kira sentengah jam kemudian, tibalah di Terminal Makmur.   

1.05 petang; Mengambil semula bas Laluan 300 Kompleks Mahkamah, maka berlepaslah untuk perjalanan pulang.

1.20 petang; Dan kira-kira 15-minit, tibalah di hentian depan SMK Tengku Panglima Perang, Jalan Sultan Abdullah turun lalu berjalan kaki 5-minit untuk sampai ke kediaman penulis di sini. – Khabar