Sunday 23 December 2012

Kerajaan prihatin - amalkan keterangkulan dengan ambil kira kebajikan semua golongan rakyat, kata Menteri Besar

Antara buktinya, penempatan semula penghuni flat PAKR Lapang Besar yang asalnya 128 orang, ke rumah teres Taman Kempadang Sejahtera, Kampung Pak Mahat yakni;

# Daripada menghuni flat sempit 2-bilik tidur, 1-tandas berharga RM25,000 yang dibayar secara sewa-beli;

ke rumah teres (landed property) selesa 3-bilik tidur, 2-tandas bernilai semasa RM170,000 secara percuma, dan diberi tunai RM10,000 pula lagi!  

# Penyewa gerai SUKMA milik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di kawasan yang sama, diberikan pampasan RM31,000 seorang X 26 penyewa.

PENERIMA MANFAAT DARIPADA BERBILANG KAUM... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali), Dato' Ir Mohd Soffi, Dato' Sri Tiew dan Dato' Chang, sedang mendengar penjelasan oleh seorang penerima yang merupakan penyewa asal gerai SUKMA Lapang Besar. 


TAMAN KEMPADANG SEJAHTERA, KAMPUNG PAK MAHAT, KUANTAN – Hanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri yang prihatin, yang mampu melaksanakan usaha ke arah memelihara malah meningkatkan kebajikan rakyat daripada pelbagai golongan.

Ini sepertimana terbukti pada proses penempatan semula 128 penghuni asal flat Lapang Besar dekat sini – flat sempit 2-bilik tidur, 1-tandas berharga RM25,000 seunit yang dibayar secara sewa-beli;

Ke rumah teres (landed property) selesa seluas 1,400 kaki persegi (20’ X 70’), 3-bilik tidur, 2-tandas bernilai semasa RM170,000 sebuah yang diberikan secara percuma, serta diberikan tunai RM10,000 pula lagi.

Inilah yang ditekankan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada ucapan luar teks 20-minitnya pada Majlis Penyampaian Cek Bayaran Pampasan dan Kunci Rumah kepada Penyewa-beli Flat PAKR dan Penyewa Gerai SUKMA Lapang Besar pagi Ahad, 23 Disember, di taman perumahan baharu ini.

“Yang penting pada hari ini tuan-tuan dan puan-puan sekelian, Kerajaan (BN Negeri terus memperlihatkan sikap) prihatin. ‘Inclusivity’, ‘inclusiveness’, kita ambil kira semua orang,” katanya.

MENJENGOK KE DALAM RUMAH CONTOH... Inilah rupanya ruang tamu di dalam rumah teres setingkat berkenaan. Menyelesakan... Sungguhpun tidak besar tetapi, ia masih lebih selesa daripada sekadar ruang sempit sebuah flat. Lagipun, ukurannya ialah 20' X 70' yang merupakan lebih daripada memadai bagi sebuah rumah teres. 


PROSES BERMULA SEJAK 2009 LAGI

“Perjumpaan hari ini,” tegasnya, “… bukan sebab pilihanraya (umum ke-13) sudah (hampir) datang. Ini (proses penempatan semula tersebut), belum pilihanraya lagi kita sudah ambil tindakan (sejak tahun 2009)”.

Asalnya, menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, Kerajaan Negeri telah membina flat berkenaan pada tahun 1980, kemudian siap dan mula diduduki oleh kesemua 128 penghuni pada Jun 1983.

Merekapun katanya, membuat bayaran bulanan secara sewa-beli untuk harga RM25,000 seunit flat tersebut kepada Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Perumahan, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sejak Ogos 2009 pula, Bahagian Perumahan tersebut telah menjalankan soal-selidik ke atas kesemua penghuni ini mengenai usaha untuk menempatkan semula mereka ke luar dari flat berkenaan.

Ia ekoran usaha kata Menteri Besar lagi, untuk membangunkan tapak asal tersebut dengan projek-projek komersil yang sepadan dengan lokasi di dalam bandar serta nilai hartanah di kawasan berkenaan.

KEMUDAHAN SURAU YANG TURUT DISEDIAKAN... Pemaju turut membina surau berkapisiti 100-jemaah dalam satu-satu masa ini. Bersebelahan surau ini ialah tempat mengambil wudhu yang turut dibina ruang luas bagi kemudahan memandikan jenazah. 


‘TAK ADA KERAJAAN BUAT MACAM NI’

Sejak Ogos 2009 lagi menurutnya, beberapa siri perjumpaan telah diadakan termasuklah pada Mac 2011, serta pada tahun ini iaitu pada bulan September, dan dua (2) kali pada bulan Disember ini.

Daripada perjumpaan-perjumpaan dan perbincangan-perbincangan yang telah diadakan, persetujuan dicapai agar kesemua penghuni di flat PAKR Lapang Besar, dipindahkan ke tapak baharu seluas 8.1 hektar (20 ekar) di Taman Kempadang Sejahtera ini.

“Pemajunya (Taman Kempadang Sejahtera) ialah syarikat Jasa Imani Sdn Bhd – syarikat yang sama yang telah membangunkan East Coast Mall, Putra Square dan SASICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di kawasan persekitaran flat Lapang Besar berkenaan).

“Daripada 128 penghuni asal flat PAKR Lapang Besar ini; 75 daripadanya bersetuju dengan tawaran percuma rumah teres setingkat, 3-bilik tidur, 2-tandas dilengkapi kipas, lampu, kabinet dapur dan jeriji besi pintu depan, serta wang tunai RM10,000.

“Tak ada Kerajaan (selain Kerajaan BN Negeri yang) buat macam ni. Carilah kerajaan (lain) dalam dunia ini,” katanya.

UNTUNG DICARI, KEBAJIKAN RAKYAT TETAP DIJAGA

Selainnya menurut Menteri Besar, 48 orang memilih untuk sekadar menerima pampasan wang tunai RM90,000; tiga (3) sudah meninggal dunia yang kini melalui proses undang-undang bagi menentukan pewaris untuk diserahkan pampasan RM90,000; dan, dua (2) lagi sudah terbatal perjanjian sewa-beli mereka sejak dahulu.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Negeri, Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak serta ahli-ahli jawatankuasanya atas kejayaan yang dicapai ini
   
Terima kash juga diucapkannya kepada Pengerusi Eksekutif, Jasa Imani Sdn Bhd, Dato’ Sri Tiew Kin Thin atas kerjasama baik yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri bagi menjayakan usaha penempatan semula tersebut.

Sambil tidak menafikan betapa, “… beliau (Dato’ Sri Tiew selaku ahli perniagaan, mesti) mementingkan keuntungan, tetapi beliau tidak lupa untuk menjaga kepentingan mereka yang terlibat.

“Kalau beliau untungpun, tak banyak (malah) mungkin beliau rugi di sini (dalam membangunkan Taman Kempadang Sejahtera ini serta menawarkannya secara percuma + pemberian pampasan-pampasan berkenaan). Kalaupun ada untung beliau dapat ambil, mungkin daripada pembinaan unit-unit baharu di kawasan yang ditinggalkan dahulu (di Lapang Besar) dan ini patut untuk beliau.

TAMBAH NILAI, DAN AMBIL PELUANG DARIPADANYA

“Sebab (dalam soal) pembangunan (hartanah) ini kita kena sesuai juga. Kalau kita terus adakan flat di kawasan Lapang Besar itu, maka ianya mungkin jadi satu perkara yang menyakitkan mata, dalam Bahasa Inggerisnya, ‘eyesore’ kepada orangramai.

“Biarlah di situ (di Lapang Besar dan sekitarnya) kita jadikan kawasan komersil . Yang pentingnya Dato’ Sri Tiew, dia ikut apa yang Kerajaan minta, untuk kita bantu kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.  

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan janji-janji manis puak-puak pembangkang termasuklah untuk memberikan tanah kepada generasi kedua dan ketiga Felda, dan juga bekas-bekas kakitangan Felda dan anggota pasukan keselamatan negara.   

“Kita ambil contoh Felda, kita (kata pembangkang menerusi tawaran mega 3+6 mereka) bagi semua orang. Tak cukup tanah tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Itu sebab Dato’ Sri Najib Tun Razak, berpakat dengan semua orang, pergi ‘listing’kan Felda tu.

“Tambah nilai dan kita ambil kesempatan daripada tambah nilai itu. Kalau nenek saya ada tanah satu (1) ekar, cucu ada 10 orang, harga RM100,000, (maka) dapat RM10,000 seorang (cucu-cucu berkenaan).

JANJI PEMBANGKANG, JANJI ‘MAT JENIN’

“Tapi kalau cucu dia cerdik, ada tanah satu (1) ekar dia buat 10 rumah banglo, (kemudian) jual (pada harga) RM1 juta satu, ada (dapat) RM10 juta. Jadi, cucu 10 orang dapat RM1 juta seorang.

“Mana (lebih) cerdik? Dapat RM10,000 (seorang) ke, (atau) dapat RM1 juta (seorang)?

“Begitulah juga tanah, tanah Felda ini, yang tak cukup hendak diberi kepada anak-anak Felda ini… Tapi pembangkang kata, ohh, kita akan bagi semua. Ini semua janji Mat Jenin…” tempelaknya.

Selain penyerahan cek bayaran pampasan kepada penyewa beli/penghuni flat berkenaan, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyampaikan bayaran pampasan masing-masing RM90,000 kepada yang berkenaan serta juga masing-masing RM31,000 kepada 26 penyawa asal gerai SUKMA Lapang Besar berkenaan.

Antara yang turut hadir selain Dato’ Ir Mohd Soffi dan Dato’ Sri Tiew ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Yang Dipertua MPK, Dato’ Zulkifli Yaakob; Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad; dan, wakil rakyat (BN – Teruntum), Dato’ Chang Hong Seong. – Khabar