Sunday 30 December 2012

Pelihara disiplin, saran Dato' Sri DiRaja Adnan kepada anggota RELA

… sementelah RELA, pasukan sukarela dengan keanggotaan yang semakin besar,
seramai 3.01 juta orang   

MENTERI BESAR DENGAN KHALAYAK RELA... 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob melahirkan kebimbangan tentang aspek disipilin dalam kalangan anggota-anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang semakin ramai, kira-kira 3.01 juta orang.

Sehubungan itu, beliau yang juga berpangkat Kolonel Kehormat dalam pasukan itu, menyarankan agar anggota-anggota RELA terus memelihara disiplin termasuk dalam aspek pakaian.

“Apabila kita mempunyai sedemikian rupa banyaknya (jumlah keanggotaan), ada satu perkara nanti yang mungkin timbul ialah tidak adanya disiplin sebab, kita adalah pasukan sukarelawan. Kita bukan anggota tentera atau polis.

“Kita ini di bawah pasukan sukarelawan. Kalau terlepas pandang, kita kurang disiplin;maka keberkesanan pasukan akan terjejas. Sebab itu saya berharap di negeri Pahang ini, walaupun kita ramai ahli tetapi kita mesti pastikan disiplin itu dijaga dengan rapi.

“Salah satu disiplin itu ialah (dalam aspek) ‘uniform’. Ini menampakkan disiplin,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada Program Perhimpunan RELA Negeri Pahang bersama Menteri Besar yang dihadiri kira-kira 3,000 anggota, petang Ahad, 30 Disember di sini.

ANGGOTA RELA DALAM KALANGAN ORANG ASLI... Berlilitan di kepala ini ialah anggota RELA Orang Asli kita, dari daerah Bera. 


ANGAN-ANGAN DATO’ SRI DIRAJA ADNAN TENTANG RELA

“Saya berangan-angan pada satu masa, bercita-cita untuk lihat, pasukan RELA di negeri Pahang khususnya, akan dilengkapkan dengan ‘uniform’ , pakaian seragam yang benar-benar seragam – dari baju, seluar, kasut, stoking, sampailah beret,” katanya lagi disusuli tepukan gemuruh tanda persetujuan oleh para hadirin.

Dalam pada itupun katanya, beliau difahamkan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dan juga Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Hishamuddin Hussein, telahpun mengambil maklum mengenainya.

“… dan saya difahamkan, ianya dalam proses pelaksanaan. Insya-Allah, kita tunggu sahajalah nanti,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau melahirkan rasa terkejutnya apabila mengetahui betapa ramainya keanggotaan RELA, 3.01 juta orang di seluruh negara yang daripadanya, 1.85 juta ialah Relawan, selebihnya 1.16 juta ialah Relawati.

Di Pahang sendiri katanya, terdapat 207,800 anggota RELA iaitu, 133,117 merupakan Relawan dan lagi 74,683 ialah Relawati.

MELIMPAH... Oleh kerana kehadiran yang begitu ramai hingga memenuhi setiap ruang, kerusi; sebahagiannya dengan rela hati duduk bersila di atas lantai di bahagian depan Dewan ini. Begitulah ramainya...  


WUJUDKAN KESEIMBANGAN KAUM DALAM RELA

“Hanya kita tengok sini dari segi kaum, nampaknya orang Melayu (lebih) ramai masuk Rela (iaitu kira-kira) 77.5 peratus. (Kira-kira) 12.6 peratus (ialah) Cina; Orang Asli, 4.8 peratus; India, 4.4 peratus; (dan) lain-lain kaum, 0.7 peratus.

“Saya berharap di negeri Pahang ini, kita dapat tingkatkan supaya lebih ramai lagi kaum-kaum yang lain (selain Melayu, agar dapat turut) menyertai RELA,” katanya.

“Saya ucapkan terima kasih banyak kepada pegawai dan anggota RELA di Pahang ini, yang telahpun memberikan khidmat-bakti, tidak jemu. Dan hari ini, kita pergi ke mana sahaja, mesti ada orang topi kuning (anggota RELA),” katanya lagi mengakhiri ucapan yang disusuli tepukan.

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengulas lanjut kepada ucapannya khususnya tentang keperluan anggota-anggota RELA untuk berdisiplin serta mempunyai pakaian seragam yang lengkap.

Selain itu beliau menambah, anggota-anggota RELA seharusnya didedahkan dengan latihan-latihan yan sesuai selain mengikuti ceramah-ceramah khususnya yang berkaitan dengan ancaman keselamatan.

MELAYANI MEDIA... 


TIGA (3) JUTA ANGGOTA BOLEH KUMPUL RM3 JUTA

Dengan keanggotaan yang ramai juga katanya, ia dapat menjadi landasan yang  baik ke arah menjayakan aspek-aspek kebajikan yang berkaitan dengan anggota-anggota RELA sendiri.    

“Kita bayang(lah), tiga (3) juta ahli RELA seluruh Malaysia. Katalah berlaku apa-apa hal (ke atas sesama anggota RELA yang memerlukan bantuan), satu (1) orang (keluar) belanja RM1 sahaja bagi (beri) kepada orang berkenaan, (sudahpun terkumpul) RM3 juta,” katanya.

Antara yang turut hadir pada petang hari minggu itu ialah Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aziz; serta beberapa anggota Exco Kerajaan Negeri;

Wakil kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Abdul Hamid Nazahar; Ketua Pengarah RELA, Dato’ Mustafa Ibrahim; dan, Pengarah RELA negeri, Encik Razali Ahmad. – Khabar