Saturday 1 December 2012

Perhimpunan khusus suntik semangat hadapi pilihanraya


… kata Dato’ Sri DiRaja Adnan tentang Perhimpunan Agung UMNO 2012

'PAK LONG' BERSAMA-SAMA ANAK MUDA... Inilah perjumpaan ala-santai pagi Sabtu itu. Bahawa perjumpaan ini diadakanpun membukitkan semangat 'merangkuli' anak muda benar-benar dihayati dan diamalkan oleh kepimpinan kita. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini, duduk di sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan ialah Encik Ariff Yasir.
  

BILIK LABUAN, ARAS 5, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR“Perdana Menteri selaku Presiden parti, telah berjaya menjadikan Perhimpunan Agung ini sebagai satu perhimpunan khusus untuk menyuntik semangat bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang”.

Inilah kesimpulan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang bermula Khamis, 29 November dengan Ucapan Dasar Presiden, dan berakhir hari ini, Sabtu, 1 Disember di Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC ini.

“Rata-rata,” katanya, “Para perwakilan berasa teruja dengan ucapan (dasar Presiden) Dato’ Sri Najib dan lebih-lebih lagi saya yakin, seluruh rakyat Malaysia tertarik hati dengan satu perkara yang sangat mustahak;

“… yang menampakkan bahawa Perdana Menteri adalah seorang pemimpin yang prihatin, yang tawadduk, berjiwa besar, berlapang dada tapi pada ketika yang sama, bersedia untuk minta maaf bagi pihak parti dan Kerajaan yang mungkin telah melakukan kesilapan selama ini”.

Menurutnya yang juga Pengerusi, Barisan Nasional Negeri, “Saya yakin dan percaya, kenyataan ini adalah sangat menyentuh hati-sanubari seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja ahli UMNO dan ahli Barisan Nasional.

MEMOHON KEREDAAN ALLAH JUA... Dalam pada berperhimpunan, perwakilan masih tidak abaikan tuntutan ugamanya. 

Foto ini dirakam pada tengah hari Jumaat, 30 November di surau sementara, Aras 4, PWTC ini semasa para jemaah/perwakilan dan pemerhati sedang menunggu untuk menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Dato' Sri Jamil Khir Baharom. 

Sudah tentulah dalam kalangan jemaah ini ialah Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan negeri Pahang sendiri yang hadir berbaju Melayu, berkain pelekat, 'Pak Long Nan' kita.
     

SEMANGAT TERUJA BAGI HADAPI PILIHANRAYA UMUM

“Ini satu petanda yang baik dan saya berharap, kalau boleh kita semua akan meneruskan semangat yang teruja hasil daripada perhimpunan ini, untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang dengan lebih yakin”.  

Kata-kata ini diluahkan sebagai menjawab soalan wartawan pada persidangan media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil Kelab UMNO Luar Negara dan kepimpinan Majlis Mahasiswa Anak-anak Pahang (MAMPAN) pada pagi Sabtu, 1 Disember, di sini.

Antara yang turut hadir ialah Pengerusi, Kelab UMNO Tokyo, Encik Ariff Yasir Zulkafli, 23, pelajar kejuruteraan kimia dan biologi di Universiti Gunma, Jepun, yang pada perbahasan ke atas usul ucapan dasar Presiden, telah menarik perhatian dengan gaya penyampaiannya yang bersahaja dan ada kala syahdu, termasuklah menyanyikan lagu Warisan (Anak Kecil Main Api) yang kemudian dituruti sambil berdiri oleh seluruh perwakilan termasuk kepimpinan parti.

Mengenai perjumpaan ala-santai dengan golongan anak-muda ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang membahasakan dirinya ‘Pak Long’, mereka pada keseluruhannya begitu berminat mengenai soal-soal pemerintahan dan hal-hal politik negara.

“Mereka juga nampaknya, mengutamakan hal-hal yang ada kaitan dengan ‘good governance’, soal menghapuskan rasuah, salahguna kuasa, (serta soal) mengurangkan kadar jenayah. Dan ini adalah juga yang diberikan keutamaan oleh Perdana Menteri,” katanya.

AKSI BERSAHAJA TETAPI HEBAT, ANAK MUDA KITA... Inilah aksi Encik Ariff Yasir semasa sesi perbahasan. Oleh kerana 'kelurusannya', anak kelahiran Pokok Sena, Kedah ini sering diusik oleh 'ayahanda' dari negeri yang sama, Pengerusi Tetap, Tan Sri Badarudin Aminuddin.   


IDEALISME YANG DITONJOLKAN

Beliau yakin, golongan anak-muda ini turut tertarik dan tersentuh ‘hati-nurani’ mereka dengan program-program seperti Pogram Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).

“Kita kena ingat,” katanya, “Golongan pelajar muda ini adalah penuh dengan idealisme dan sikit-sebanyak parti kita mesti nampakkan juga idealisme itu dan ini telah ditonjolkan oleh Perdana Menteri. Banyak perkara yang ada kaitan dengan idealism, yang cuba diterjemahkan oleh Perdana Menteri untuk menjadi satu realiti”.

“Kita yakin dan percaya, berdasarkan kepada data yang dibentangkan dalam usul ekonomi semalam bahawa negara kita menuju ke arah landaasan yang betul. Banyak perkara yang nampaknya negara kita tidak jauh ketinggalan dengan negara-negara lebih maju daripada kita,” katanya lagi.

Kepada soalan mengenai segelintir pelajar yang menentang Kerajaan katanya, ia – sikap ‘anti-establishment’ dan ‘anti-government’, merupakan aliran biasa khususnya pada peringkat awal pelajar-pelajar ini berada di institusi-institusi pengajian tinggi.

Lama kelamaan bagaimanapun, oleh sebab mereka pelajar yang cerdik dan bijaksana katanya, akan dapat memikirkan tentang kebaikan yang Kerajaan lakukan lalu menyokongnya pula.

YANG TUA, YANG MEMERLUKAN, TURUT SAMA DIRANGKULINYA... Foto ini dirakam daripada paparan pada pameran oleh Utusan Melayu (M) Bhd di ruang legar utama, Aras 4, PWTC ini. Lihatlah betapa mesranya pemimpin nombor 1 negeri kita, dengan rakyatnya. 


MERANGKULI ANAK MUDA

“… dengan syarat, usaha-usaha seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri tadi, nampak kita merangkulkan mereka sekali. Asalkan mereka dirangkulkan, maka insya-Allah, bagaimana negatifpun pemikiran mereka (pada awalnya), mereka (akan memihak) sebelah kita akhirnya,” katanya.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya tentang peluang parti pembangkang DAP menyertai serta menang dengan lebih banyak kerusi di Pahang, termasuk dengan kemungkinan meletakkan calon Melayu untuk bertanding atas tiketnya.

Menurutnya, “Saya bukan takbur ya. Saya bercakap dengan mengingati bahawa Allah SWT maha kuasa. Dan kita ingat ya, ‘Wallah-huqoirun-maa-kirin’. Allah Ta‘ala sebaik-baik perancang, maha perancang.

“Di negeri Pahang ini, sayapun dah bagi tahu (Setiausaha Agung DAP, Lim) Guan Eng (yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang), dia (DAP) tak (akan) menang contohnya di Bentong. (Jika) DAP boleh menang di Bentong, MCA boleh gulung tikar sebenarnya. Tapi, ini tak akan berlaku.

“Jangan keluar separuh kenyataan saya ya, nanti silap faham. Saya menyatakan, DAP tak boleh bertapak di Pahang ini. ‘Barometer’nya, kalau DAP bolehlah menang (di) Bentong, Barisan Nasional gulung tikarlah terus.

YANG TAK AKAN BERLAKU DI PAHANG

“Sebab, pengundi Cina (lebih) ramai di Bentong. (Ber)makna. kalau Bentong DAP boleh menang, dia (DAP) boleh ambil Pahanglah. Ha begitu. Tapi, tak akan berlaku. Kita bukan takbur,” katanya lagi.

“Tak kiralah (calon yang diletakknya itu) Melayu ke, Cina, India, Orang Asli, mungkin angkasawan manapun; tak akan menang, Insya-Allah, orang Pahang lain… dia tak terima DAP. PASpun dia tak terima, (inikan) DAP pula,” katanya.
 – Khabar