Thursday 6 December 2012

Presiden parti mesti diberi hak buat keputusan muktamad

 dan ahli parti mesti patuh sebab beliau mempunyai rangkaian maklumat yang luas maka boleh buat keputusan yang tepat tentang ‘winnable candidates’, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

PATUHI ARAHAN PEMIMPIN... Diapit oleh kepimpinan UMNO Bahagian Kuantan - Dato' Wan Adnan yang juga Ketua (ke kanan Dato' Sri DiRaja Adnan); Dato' Hamid yang juga Timbalan Ketua (berbaju oren); Dato' Shafik Fauzan yang juga Naib Ketua (ke sebelah kanan Dato' Hamid); dan, Tengku Dato' Zulkifli yang juga Bendahari (kanan sekali); Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memberikan persidangan medianya yang banyak menyentuh mengenai politik khususnya berkaitan pemilihan calon untuk bertanding pada pilihanraya umum kelak, yang dijadualkan pada tahun depan selewat-lewatnya 28 April 2013. 


PADANG MPK 4, JALAN KEMUNTING, KUANTAN – Kepimpinan serta ahli parti UMNO diminta menghormati dan memberi hak membuat keputusan muktamad tentang calon pada pilihanraya umum akan datang kepada Presiden, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Ia kerana, Presiden parti yang juga Perdana Menteri, mempunyai rangkaian maklumat yang luas yang menerusinya, membolehkan beliau membuat keputusan tepat tentang calon khususnya yang boleh menang (winnable).

“… apa juga, Presiden parti mesti diberi (hak membuat) keputusan muktamad, sebab Presiden parti mempunyai rangkaian maklumat (yang luas). (Yang dengan itu) Presiden parti boleh buat keputusan yang tepat.

“Dan, seperti kata Presiden parti, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, ‘kita akan pilih ‘winnable’ candidates’, calon boleh menang (maka, akurlah),” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenainya pada persidangan media sempena Majlis Berkhatan, Bertindik dan Kenduri Rakyat 2012 lewat pagi Khamis, 6 Disember, di sini.
DIRENJIS-RENJIS, DIPILIS... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang merenjis air ke arah para peserta majlis berkhatan, disambut riang-gembira oleh semua.


SUNGGUHPUN SEPENGGAL TAPI TAK ‘WINNABLE’…

Mengulas lanjut tentang calon boleh menang, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “Pada saya, ‘winnable candidates’ ini – kalau sudah 10 penggal dia ‘winnable’ (sebagai calon kemudian kekal menjadi wakil rakyat), orang lain tak ‘winnable’… biarlah dia bertanding lagi (pada pilihanraya kali ini).

“Kalau misalannya dia tak ‘winnable’ (pada pilihanraya umum kali ini) walaupun (baharu) sepenggal (sebagai wakil rakyat), tak payahlah dia bertanding lagi. Bagi orang yang ‘winnable’,” katanya.

Sewajarnya kepimpinan dan ahli parti yang diberikan jawatan-jawatan seperti Menteri Kabinet, Menteri Besar negeri-negeri, ahli-ahli Exco Kerajaan-kerajaan Negeri ataupun wakil rakyat biasa kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, menerima apa sahaja keputusan Presiden itu.

Lalu beliau mengingatkan mereka tentang ucapan penggulungan Presiden pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu, 1 Disember lepas, yang merujuk kepada ahli-ahli parti seperti Cikgu Seman Deros, yang setia dan berjuang untuk parti tetapi tidakpun diberi apa-apa jawatan.

“Dia jadi guru sampai sudah (hingga pencen). Orang lain, ada (yang dilantik menjadi) ahli Majlis Daerahlah, wakil rakyatlah. Maknanya, kalau kita menganggap politik ini sebagai satu landasan untuk kita berjuang, kedudukan kita dalam parti (atau Kerajaan) itu tidak penting, tidak mustahak.


DITEPUNGILAH TAWAR... Peserta majlis berkhatan yang dirai bak pengantin, mempelai.


TUNGGU MASA NAK PAKAI 'BOOT' MANA DARIPADA 3-4 PASANG

“Tinggal lagi kalau dipilih oleh parti, ha, itu satu tanggungjawab. Kalau parti tak pilih kita, parti (akan) pilih orang lain. Kalau parti tak pilih orang lain, parti pilih kita (dan) kita jalankan tugas,” katanya.

“(Kalau) sampai masa pula, parti tak pilih kita (lagi, sesudah dipilih menduduki satu-satu jawatan), kita anggaplah sebagaimana sebelum kita dipilih (dahulu). (Maka) parti akan berjalan lancar,” kata Menteri Besar itu lagi.

Kepada soalan tentang senarai nama-nama calon yang Badan Perhubungan Negeri cadangkan, katanya, senarai pertama telah lama dihantarnya ke Ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

“Ibarat main bolalah… ‘boot’ dah simpan dah tiga-empat pasang. Tinggal lagi, ‘boot’ mana nak pakai sahaja, nak ambil,” katanya dan menambah agar kiasan yang diberikannya ini, dapat difahami dalam perspektifnya.

Beliau seterusnya menjawab tidak kepada soalan sama ada, ada dalam kalangan wakil-wakil rakyat di negeri ini yang telah menemuinya dan menyatakan kesediaan untuk tidak dicalonkan pada pilihanraya kali ini.


MERIAH DIBAWA BERARAK... Inilah sebahagian daripada 459 orang yang hendak dikhatan, dan 102 orang yang hendak ditindik, dibawa berarak ke tempat majlis di Padang MPK 4, lewat pagi Khamis itu.


KADANG-KADANG CAKAP LURUS TAK BERBALOI

“… dalam keadaan sekarang kalau misalannya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN atau wakil rakyat) termasuk saya, kita beritahu Perdana Menteri, ‘… kita ingin berundurlah dari (menjadi) ADUN ni.’

“(Sedangkan) orang melobi (untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat di kawasan-kawasan berkenaan) ramai ni. Ramai melobi ni. Tapi oleh sebab kita khabar begitu (untuk berundur), (dan) mungkin kita boleh menang (lagi jika dicalonkan semula), ‘out’… (akibat daripada kerja-kerja melobi tersebut).

“Maknanya, jika cakap lurus tu kadang-kadang tidak berbaloi. Yang menunggu sahaja ni ramai. Oleh sebab itu, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti . Dari dulu sampai sekarangpun, (sepatutnya ialah, jika) ‘awak (dipilih) bertanding, bertanding(lah). (Jika) tidak, tak pa…’

“Yang kita tak mahu ni, ‘Awak tak bertanding,’ (Mereka) terus marah, terus sabotaj parti. Kita kena ingat, orang ni walaupun seorang, dia ada pengikut dia juga. Walaupun tak kuat, dia (masih) ada pengikut dia. Ha, itu (akan menyebabkan) rosak parti,” katanya lagi.

Mengenai program lewat pagi Khamis itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata, majlis sebegini elok diadakan yang secara tidak langsung, turut dapat mengeratkan hubungan sesama Melayu serta dengan yang bukan Melayu.


SERONOK DISIRAMI AIR SEMBURAN BOMBA...  


ASPEK PSIKOLOGI DISEBALIK MAJLIS BERKHATAN  

Menurutnya, “… dari sudut psikologi – mereka ni diraikan supaya mereka hilang ketakutan, hilang rasa takut untuk berkhatan (dan bertindik). Bila diarak sebagai pengantin, diarak sebagai mempelai, mereka dapat bunga telur, ditepung tawar;

"Mereka dengan sendiri lupa yang mereka itu akan berkhatan (atau bertindik). Sedar-sedar dah sakit sahaja, sikit. Dan, ia juga dapat menghilangkan propaganda selama ini yang orang katakana, berkhatan ni teruk, parah , sakit – sebenarnya tidak”.

Seramai 459 anak-anak lelaki berusia antara 10 dan 13 tahun, menyertai majlis berkhatan tersebut, manakala lagi 102 anak-anak perempuan, bertindik. Mereka ditepung-tawarkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri sebelum disirami pancutan air oleh pasukan Bomba.

Antara yang turut hadir ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat dan Dato’ Shafik Fauzan Sharif; Dato’ Abdul Hamid Nazahar yang mewakili Kelab Putera 1Malaysia;

Yang Dipertua, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Dato’ Setia Perkasa Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad yang juga Pengerusi Bersama majlis ini dengan Encik Wan Solihi Wan Hasan; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato' Sufian Awang yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan; serta, Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara (JPN) negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar