Monday 3 December 2012

RapidKuantan dapat sambutan!!!


# Membawa purata 6,400 penumpang sehari dalam tempoh dua (2) hari operasi rasminya bermula Sabtu, 1 Disember.

# Cetusan idea Perdana Menteri sejak Ogos lagi, sekaligus menafikan ia ekoran desakan ahli parlimen pembangkang yang diibaratkan ‘jikapun ayam tidak berkokok, hari tetap siang’  

MENELITI 'GAJET'... Pemandu kehormat kita sedang meneliti 'gajet' sebelum memulakan pemanduan. 


BILIK TETAMU, STADIUM DARUL MAKMUR, KUANTAN – Perkhidmatan bas RapidKuantan cetusan idea Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk bandar ini.

Dalam tempoh dua (2) hari bermulanya operasi sejak Sabtu, 1 Disember, purata 6,400 penumpang sehari menaikinya, sepertimana diumumkan pada Majlis Pelancaran Operasi RapidKuantan pada pagi Isnin, 3 Disember, di Terminal Makmur yang berhampiran.  

Sehubungan itu, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang bercakap pada persidangan media di sini kemudian, menafikan perkhidmatan bas tersebut oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB), ialah atas usaha dan desakan seorang ahli parlimen pembangkang di sini.

“Inilah kerja dia,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan sebagai reaksi kepada soalan/makluman seorang wartawan, betapa ahli parlimen berkenaan ada mengakui tentang konon peranannya sehingga terlaksanalah operasi RapidKuantan ini.

“Semua dia nak menonjol ke depan. Sebenarnya, ini adalah idea, inisiatif YAB Perdana Menteri. Lebih kurang dalam bulan lapan (8, atau Ogos) lagi. Kemudian itu, Perdana Menteri minta adakan kertas dan dimesyuaratkan,” katanya.

SELAMAT TIBA... Dengan berhati-hati, Dato' Sri DiRaja Adnan menjuruskan pemanduannya sebelum menghentikan bas berdepan Stadium Darul Makmur. 

Tepatilah sudah janjinya, sepertimana turut diumumkan oleh Dato' Sri Mohd Najib ketika melancarkan perkhidmatan ini di PWTC tentang Dato' Sri DiRaja Adnan akan memandu bas ini. 


RAPIDKUANTAN LANCAR HANYA SELEPAS DUA BULAN DIUMUMKAN

Dan sepertimana umum ketahui, pengumuman mengenai perkhidmatan bas bandar ini dibuat oleh Perdana Menteri dalam ucapan Bajet Negara 2013 pada petang Jumaat, 28 September.

Disusuli kemudian, tidak sampaipun seminggu, pengenalan logo RapidKuantan yang dirasmikan oleh Menteri Besar pada Rabu, 3 Oktober di Kompleks Yayasan Pahang di sini;

Dan kira-kira dua (2) bulan sahaja, dengan pelancarannya oleh Perdana Menteri pada petang Jumaat, 30 November di dataran, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur;

Sehinggalah kepada operasi sebenarnya pada Sabtu, 1 Disember dan pelancaran operasinya di Terminal Makmur pada Isnin, 3 Disember ini.

Maka tidak hairanlah, apabila Dato’ Sri DiRaja Adnan mengumpamakan apa yang didakwa sebagai peranan ahli parlimen berkaitan dengan RapidKuantan ini yang ‘Jikapun ayam tidak berkokok, hari tetap siang’.

UCAPAN PERASMIANNYA... Antara yang turut hadir dan kelihatan dalam foto ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Sri Wan Razali Wan Mahussin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; serta Dato' Ir Mohd Soffi (kanan sekali). 


HARAP RAKYAT BERI SOKONGAN KEPADA RAPIDKUANTAN

Mengulas lanjut tentang perkhidmatan bas bandar ini yang diberikan secara percuma untuk tempoh sebulan seperti yang Dato’ Sri Mohd Najib turut umumkan semasa melancarkannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata;

“Bagi Laluan 1 dan 2, angka dua-tiga hari yang lepas menunjukkan laluan ini boleh menyumbang kepada Prasarana (SPNB) untuk membayar gaji, kemudian itu kendalian; maksudnya membiayai kos operasi.  

“Tetapi nampaknya Laluan 3 ini ia tidak ‘menguntungkan’. Bermakna Laluan 1, Laluan 2 boleh secara tidak langsung ‘cross-subsidy’, boleh menanggung Laluan 3.

“Tapi saya berharaplah, walau apapun, rakyat akan memberikan sokongan dan sikit-sebanyak Prasarana (SPNB) akan dapat sikit keuntungan selain daripada dapat memenuhi kos pengendalian ataupun kos operasi”.

Laluan 1 Gambang – Termnal Makmur sejauh 41.4 km meliputi antara lain Kolej Komuniti/Kolej Matrikulasi – Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang – Taman TAS – Perkampungan Sungai Isap – Hospital Tengku Ampuan Afzan – Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 – Bangunan LKPP – Terminal Makmur.

ULASAN LANJUT PADA PERSIDANGAN MEDIA... 


RAPIDKUANTAN TAK GANGGU KHIDMAT TEKSI ‘AIRPORT’

Laluan 2 Indera Mahkota 1 – Teluk Chempedak sejauh 18.4 km ialah antara lain Indera Mahkota 1 – Masjid Tengku Ampuan Afzan, Jalan IM 1/1 – Pasaraya Tunas Manja, Indera Mahkota 2 – Kompleks Penyayang Kuantan, Jalan Bukit Setongkol 16 – Perkampungan Cenderawasih, Jalan Bukit Setongkol 12 – Bangunan RISDA, Jalan Haji Junid – Terminal Makmur – Berjaya Megamall, Jalan Tun Ismail – KOSMA Boutique Hotel, Jalan Teluk Sisek – Kolej Antarabangsa IKIP, Jalan Kubang Buaya – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jalan Dato’ Bahaman – Klinik Kesihatan Bukit Pelindung, Jalan Tengku Muhamad – Teluk Chempedak.

Laluan 3 Kompleks Mahkamah Kuantan – Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Semambu sejauh 21 km ialah antara lain Kompleks Mahkamah Kuantan, Indera Mahkota 14 – Wisma Belia, Jalan Sultan Abdullah – Asrama Kolej Shahputera, Jalan Bukit Ubi – Terminal Bas Sementara, Jalan Bukit Ubi – Pasaraya The Store, Jalan Tun Ismail – Terminal Makmur – East Coast Mall, Jalan Dato’ Lim Hoe Lek – SKM, Jalan Haji Ahmad – Sekolah Kebangsaan Galing, Jalan Beserah – Pasaraya Tunas Manja, Jalan Air Putih – Pasaraya Eng Hong, Jalan Air Putih – Kilang Leong’s Art, Jalan Seri Setali – Perusahaan Otomobil Kedua (PERODUA), Jalan Perindustrian Semambu 5 – POLISAS.

Mengenai cadangannya kepada SPNB agar RapidKuantan turut memberikan perkhidmatannya ke kawasan penempatan persekitaran Lapangan terbang Sultan Haji Ahmad Shah di Kampung Pandan, katanya, ia adalah atas permintaan penduduk di sana.

Dalam pada itupun kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pemandu-pemandu teksi dan limosin yang menyediakan perkhidmatan bagi penumpang-penumpang ke dan dari lapangan terbang tersebut, meminta agar RapidKuantan tidak memasuki kawasan tersebut hingga boleh menjejaskan perkhidmatan mereka.

“Kita faham… Mereka sebenarnya mencari makan dengan membawa, mengendalikan penumpang di lapangan terbang. Itu sebab saya secara kuatlah, menyokong supaya RapidKuantan masuk semula ke kawasan lapangan terbang tetapi tidak masuk ke terminal, tidak masuk untuk mengambil atau menurunkan penumpang-penumpang kapalterbang.

SEBAHAGIAN LAGI PENUMPANG... Termasuklah pegawai-pegawai kerajaan serta golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). 


PEMEGANG LESEN PSV BAS DAN JUGA LESEN PENERBANGAN

“Penumpang-penumpang kapalterbang biarlah dikendalikan oleh teksi dan juga limosin dan penduduk sekitar kampung berkenaan akan dikendalikan oleh pihak RapidKuantan,” katanya.

Selepas melancarkan operasi RapidKuantan di terminal Makmur sebelum persidangan media ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang memiliki lesen PSV bas yang sah, telah mengambil kesempatan memandu bas RapidKuantan sepanjang 10 meter ini melalui beberapa laluan sebelum ke sini.

Lalu, beliau yang juga memunyai lesen penerbangan yang sah, telah ditanya tentang pengalamannya itu yang menurutnya, ini bukanlah pertama kali beliau melakukannya. Ada tiga-empat kali sebelumnya.

“Sebenarnya, dalam apa juga yang kita cuba, kita mesti berhati-hati. Kita jangan ‘over-confident’. Langkah pertama ialah kita perhatikan, apa tugas, fungsi ‘gajet’ (yang ada di depan kerusi pemandu). Kemudian baharu kita teruskan pemanduan.

“Sungguh menyeronok dan memberangsangkan,” katanya dan menambah, “Pengalamannya menyeronokkan tetapi mungkin agak membimbangkan bagi sesetengah penumpang tadi,” katanya.

ANTARA YANG TURUT JADI PENUMPANG

Antara mereka yang menjadi penumpangnya ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri termasuk Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Pengangkutan Negeri, Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak; dan, Pengarah Urusan, SPNB, Dato’ Shahril Mokhtar;

serta, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, tidak ketinggalan ialah juga isterinya, Datin Sri Junaini Kassim serta anakanda perempuan, Yang Azizah bersama-sama anakandanya atau cucunda Dato’ Sri DiRaja Adnan. – Khabar