Sunday 9 December 2012

Sederhana tapi meriah, perasmian Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-16 Pahang 2012


# Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merasmikannya, yang turut disertai oleh isteri bekas Perdana Menteri selaku Penaung, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah.

# Sukan Paralimpiad Malaysia ke-16 antara 9 dan 14 Disember ini ialah yang terbesar dalam sejarah penganjurannya, melibatkan 2,537 atlit dan pegawai dari 15 kontinjen negeri.

# OKU di Pahang bertuah ekoran keputusan Kerajaan Negeri naikkan bantuan kebajikan bulanan daripada RM70 ke RM300 berkuatkuasa 1 Januari lepas (2012), kata pengacara majlis yang juga seorang OKU, Cik Ras Adiba Radzi.

MERASMIKAN... Bersama-sama Tun Jeanne (berskaf di kepala) serta isteri, Datin Sri Junaini Kassim dan Dato' Wan Adnan (terselindung), Dato' Sri DiRaja Adnan menekap tangan ke bola kristal tanda merasmikan Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-16 Pahang 2012 ini. 


STADIUM TERTUTUP SUKPA, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merasmikan Sukan Paralimpiad ke-16 Pahang 2012 yang menyaksikan penyertaan atlit dan pegawai terbesar dalam sejarah penganjurannya – 2,537 orang dari 15 kontinjen negeri!

Majlis perasmian yang turut disertai oleh isteri bekas Perdana Menteri, Tun Jeanne Abdullah selaku Penaung, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dianjurkan secara sederhana tetapi meriah, berlangsung pada petang Ahad, 9 Disember, di sini.

Antara yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat;

serta, wakil kepada Menteri Besar Perlis, Encik Jamil Saad; wakil kepada Ketua Menteri Sarawak, Dato’ Fatimah Abdullah, wakil kepada Ketua Menteri Sarawak; dan, Presiden MPM, Dato’ Zainal Abu Zarin.

Dalam ucapan perasmian luar teks 12-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyatakan penghargaannya atas kesudian Tun Jeanne hadir pada petang hari minggu ini.

MENGHARAP PADA KONTINJEN KITA... Wakil rakyat, Dato' Zaili Besar (BN - Panching) yang mengetuai kontinjen 270-atlit negeri kita, sedang menyilakan seorang daripada atlit untuk bersama-samanya di barisan depan semasa mengabil tempat selepas melakukan perbarisan lintas-hormat. 


ANGKAT TABIK DAN TOPI KEPADA ATLIT PARALIMPIAD

“Saya juga mengalu-alukan kesemua yang hadir, termasuklah Presiden dan ahli-ahli exco Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan yang lebih-lebh lagi, saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran saudari-saudari peserta-peserta Sukan Paralimpiad Malaysia kali ini,” katanya disusuli tepukan.

“… saya angkat tabik dan angkat topi, memberikan pengharaan yang setinggi-tingginya kepada semua atlit yang dapat mengambil bahagian kali ini,” Menteri Besar lagi yang sederap itu diberikan tepukan.    

Sambil itu, beliau juga berterima kasih atas kepercayaan Kerajaan Persekutuan memilih Pahang sebagai tuanrumah Sukan Paralimpiad ini, lanjutan daripada penganjuran Sukan Malaysia XV Pahang 2012 Julai lepas.

Seterusnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan memuji Dato’ Wan Adnan yang atas kepimpinan dan kerja-kerasnya, berjaya memastikan Sukan Paralimpiad Malaysia ke-16 Pahang 2012 ini dianjur dan dilaksanakan.

“Kita akan terus membantu golongan Orang Kelainan Upaya di Pahang. Sebagai contoh, kita telahpun menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri, daripada RM70 kepada RM300,” katanya yang disambut tepukan sekali lagi.

SERAH-MENYERAH OBOR KEJOHANAN... 


NAIK BANTUAN KEPADA RM300, JUMLAH OKU TURUT NAIK KEPADA 4,300 ORANG

“Kalau dahulunya, Kerajaan Negeri memberi bantuan (bulanan) RM70, Kerajaan Persekutuan, (bantuan bulanan) RM300; tetapi mulai 1 Januari 2012, bantuan kebajikan masyarakat ini telah kita naikkan dari RM70 (sebulan) kepada RM300 (sebulan).

“Bermakna di negeri Pahang, tidak akan ada lagi orang yang menerima bantuan kurang daripada RM300 (sebulan),” katanya sambil menambah betapa dengan kenaikan tersebut, berlaku juga pertambahan bilangan yang menuntutnya sungguhpun boleh dipertikaikan kelayakan mereka.

Sebelum ini, pertama kali Dato’ Sri DiRaja Adnan menyebut tentang kenaikan empat (4) kali ganda itu ialah semasa merasmikan Sambutan Hari OKU peringkat negeri pada pagi Selasa, 13 Mac lepas di Temerloh.

Ketika itu, jumlah keseluruhan OKU yang dikira layak untuk menerimanya ialah 4,000 orang sepertimana yang dimaklumkan oleh Pengarah, JKM Negeri, Dato’ Shamsiah Hussin kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Namun kini, jumlah itu bertambah kepada 4,300 orang. Ini bermakna, tambahan lagi RM989,000 atau hamper RM1 juta (RM230 X 4,300 orang) atau keseluruhannya kira-kira RM1.29 juta sebulan (RM300 X 4,300 orang) yang perlu Kerajaan Negeri peruntukkan bagi maksud pembayaran bantuan kebajikan ini.

OKU RAKAM RAKAN-RAKAN ATLIT OKU NEGERINYA... Inilah aksi seorang OKU (cacat tangan, dengan kudung kedua-dua belah tangannya) yang juga atlit acara 'petanque, merakamkan saat-saat bersejarah perarakan masuk kontinjen negerinya - Perlis. Dan negeri 'Singa Utara' itu bakal menjadi hos bagi sukan yang juga, juga Sukan Malaysia bagi edisi tahun 2014 kelak. 


‘ARREARS’ SUDAH DIBAYAR DALAM DUA PERINGKAT

Oleh kerana tarikh berkuatkuasanya dikebelakangkan kepada 1 Januari (2012) sepertimana kata Menteri Besar itu, maka golongan ini dibayar tunggakan (arrears) yang dikira sejak tarikh itu juga.

Dan ini, sepertimana janji-janji Kerajaan yang sentiasa ditepati, telah dibayar dalam dua (2) peringkat iaitu sebelum bulan puasa, Julai lepas dan menjelang Hari Raya Aidil Fitri, sebulan selepasnya.  

'RAKAN-RAKAN OKU SAYA'... Inilah kata-kata oleh Pengacara Majlis pada petang Ahad itu, bekas personaliti TV3, Cik Ras Adiba Radzi yang lumpuh kedua-dua kakinya. Kata-kata ini diungkapkannya pada permulaan majlis, mengalu-alukan kehadiran semua.

Selepas menyila kemudian mendengar ucapan luar teks 12-minit Dato' Sri DiRaja Adnan, yang diulasnya ialah mengenai kenaikan bantuan kebajikan bulanan bagi OKU yang menurutnya, bertuahlah para OKU di negeri ini. – Khabar