Saturday 26 January 2013

"Berapa banyak Kerajaan (lain) yang jalankan tanggungjawab bantu rakyat sebagaimana Kerajaan BN jalankan tanggungjawab kita?"


… persoalan dilontarkan oleh Menteri Besar bagi menempelak puak-puak pembangkang yang asyik meremeh-temehkan pelbagai usaha Kerajaan membantu rakyat, dengan menganggapnya sebagai tanggungjawab sesebuah Kerajaanlah untuk melakukannya.     

SEORANG DEMI SEORANG DISAMPAIKANNYA SENDIRI... Dato' Sri DiRaja Adnan menyampaikan sendiri bantuan tersebut kepada setiap seorang daripada kesemuanya 1,319 pelajar dan murid dari dua buah sekolah bersebelahan ini. Di sebelahnya (terlindung) ialah Dato' Phang yang membantu menyampaikan buah limau - sempena Tahun  Baharu Cina yang bakal jelma, kepada mereka. 


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN (SMK) SEMAMBU, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menempelak puak-puak pembangkang yang sering meremeh-temehkan pelbagai usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat, dengan menganggapnya sebagai tanggungjawab Kerajaanlah untuk melakukannya.

“Memang kita boleh katakan ini merupakan tanggungjawab Kerajaan, seperti juga kita katakan tanggungjawab ibubapa (terhadap menjaga dan memelihara kebajikan anak-anaknya),” katanya.

“Tapi,” menurutnya, “Berapa ramai orang yang menjalankan tanggungjawab? Berapa banyak Kerajaan (lain) menjalankan tanggungjawab sepertimana Kerajaan kita menjalankan tanggungjawab kita?

“Soal ‘ini tanggungjawab, itu tanggungjawab’ (Kerajaan), tak perlu dibangkitkan. Yang penting ialah, sejauh mana seseorang yang diberikan tanggungjawab itu menjalankan tanggungjawabnya,” tegasnya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada 954 pelajar sekolah ini dan 365 murid sekolah rendah bersebelahan – Sekolah Kebangsaan (SK) Air Putih pada pagi Sabtu, 26 Januari di sini.

SETIA MENANTI... Kelihatan sebahagian daripada pelajar SMK Semambu yang daripada 954 orang, 55 peratus ialah Melayu; 43 peratus Cina; dan, dua (2) peratus India. Penantian merekapun tidak lama kerana pada 10.15 pagi, Menteri Besarpun tiba itupun setelah mengadakan perjumpaan 'over breakfast' di sebuah hotel di bandar Kuantan dengan beberapa wakil Orang Asli.   


KERAJAAN BN YANG BERTANGGUNGJAWAB

Beliau mengulas lanjut pada persidangan media 18-minitnya itu tentang perkara yang sama yang turut diperkatakan dalam ucapan luar teks 25-minitnya, di hadapan para pelajar dan murid berkenaan disertai ibubapa mereka, sebelum itu.

“Dan kita (Kerajaan BN) telah melaksanakan tanggungjawab kita. Ini (penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100) salah satu bantuan yang diberikan.

“Bukan tujuan kita untuk membangkit-bangkit, mengungkit-ungkit. Tapi kita kagumlah sebab setiap keluarga itu, ada sahaja bentuk bantuan yang diberikan oleh Kerajaan yang mereka pilih,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau turut membertahu betapa, wang yang Kerajaan kutip melalui cukai yang dikenakan ke atas orang perseorangan atau syarikat, di‘pulangkan semula’ kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan.

“Ini mustahaknya satu sistem iaitu orang yang wajar dicukai ,dicukai kemudian hasilnya di‘pulangkan’ kepada rakyat untuk dinikmati oleh semua pihak.

PELBAGAI KAUM DAN BUDAYA, TAPI, TETAP 1MALAYSIA... Pelajar-pelajar SMK Semambu ini sedang membuat persembahan tarian yang turut menarik perhatian Menteri Besar. 


MENGURUS NEGARA BUKAN MUDAH SEPERTI MEMETIK JARI

“Ini penting. Mentadbir, mengurus negara bukanlah semudah kita memetik jari di tangan, tidak. Ia perlukan kebijaksanaan, kebolehan untuk menyusun, mengatur dan yang pentingnya, setiap yang direncanakan itu dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Beliau juga ditanya tentang soal nilai (values) yang turut disentuh dalam ucapannya, dengan membuat rujukan khusus kepada peristiwa kehilangan selama seminggu sejak 16 Januari adik enam (6) tahun, William Yau Zhen Zong yang kemudian ditemui mati di sebuah jeti dekat Pelabuhan Kelang, petang Khamis, 24 Januari.    

“Saya sebenarnya hari semalam, saya menitiskan air mata bila baca kisah William (ditemui mati) sebab perkara ini, perasaan ini, sebenarnya (soal berkaitan) sejagat. Kita melihat William sebagai sebagai anak kita, cucu kita, waris kita.

“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku melainkan kalau ada unsur-unsur jenayah. Mungkin William telah dicampak ke sungai, dibiarkan lemas, kita tidak tahu. Terpulanglah kepada pihak polis untuk menyiasat,” katanya.

Dalam peristiwa ini yang dikaitkannya dengan soal nilai katanya, ialah ekoran semakin kurangnya sikap prihatin dalam masyarakat sekarang yang dilihat lebih menjurus kepada soal untuk ‘mencari kehidupan, mencari wang ringgit’.

NILAI MULIA DENGAN BERSIKAP PRIHATIN

Beliau memberikan contoh bagaimana beliau pernah terserempak sebuah keluarga dalam kenderaan dengan dua daripada anak mereka mengeluarkan kepala daripada tingkap di tempat duduk penumpang bahagian belakang, tanpa disedari kedua-dua ibubapa tersebut.

Kejadian itu katanya, tidak dibiarkan lalu mengejar dan merapati kenderaan tersebut kemudian menyedarkan kedua-dua ibubapa berkenaan tentang gelagat merbahaya anak-anak mereka.

“Fasal apa? (Sebab) prihatin. Kalau tak prihatin, biar dialah…,” katanya. “Siapa nak dipersalahkan. Memanglah emak-ayah cuai tapi kita yang melihat mesti menegur perbuatan itu,” katanya lagi.

Yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu itu ialah wakil rakyat-wakil rakyat Dato’ Phang Tsu Ming (BN – Semambu) dan Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum); serta Pengetua sekolah ini, Encik Chan Kok Wai; dan, Naib Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah yang sama, Encik Abdul Rahim Mohd Ali. – Khabar