Tuesday 29 January 2013

"Ketahuilah batas sempadan masing-masing agar tidak cerobohinya," titah tegas KDYTM Tengku Mahkota Pahang


… berkaitan isu gesaan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Injil berBahasa Melayu yang titah Baginda juga;   

“Menterjemahkan God atau Lord dengan Allah sangat bertentangan dengan nilai ilmiah dan tatacara terjemahan. Apatah lagi beberapa prinsip ketuhanan yang ada dalam ajaran Islam sangat berbeza dari perspektif Kristian”.

TITAH 18-MINIT BAGINDA TUANKU... Dengan diiringi di atas pentas oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Muhammad Safian; KDYTM Tengku Mahkota menyampaikan titah-ucapan  tegas Baginda mengenai isu kalimah 'Allah'


HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Acara rasmi pagi Selasa, 29 Januari di sini ialah Majlis Pelancaran dan Penyampaian Dana Tabung Palestin-Gaza di hotel milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini.

Namun, oleh kerana heboh diperkatakan tentang isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam kitab Injil berBahasa Melayu, KDYTM Tengku Mahkota Pahang turut menyentuh mengenainya dalam titah-ucapan 18-minit Baginda semasa menyempurnakan Majlis tersebut.

“Mereka yang berkenaan,” titah Baginda, “Mesti mengetahui batas sempadan masing-masing agar tidak menceroboh sempadan tersebut, bagi mengelak wujudnya pra-sangka antara satu sama lain.

“Keharmonian negara mestilah dipelihara oleh semua pihak,” tegas Baginda dan menambah betapa golongan – baik pemimpin masyarakat, ahli politik, badan NGO atau ketua agama; mesti memahami sensiviti agama dan bangsa masyarakat majmuk negara ini.

Sehubungan itu, Baginda turut menegaskan betapa Islam sebagai agama negara, mesti dihormati dengan turut memastikan mana-mana hak yang khusus bagi agama itu tidak sepatutnya dicerobohi.

TURUT LANCARKAN 'WAQAF WATER 4-GAZA'... Bersempena majlis pagi Selasa itu, KDYTM Tengku Mahkota turut melancarkan program kebajikan Waqaf Water 4-Gaza.  


KALIMAH ‘ALLAH’ TAK BOLEH DITERJEMAH DALAM MANA-MANA BAHASA

“Kalimah 'Allah' merupakan kalimah khusus yang tidak boleh diterjemah dalam mana-mana bahasa di dunia. Ianya adalah penamaan khas bagi Allah sahaja,”titah Baginda.

“Menterjemahkan God atau Lord dengan Allah,” titah Baginda lagi, “… sangat bertentangan dengan nilai ilmiah dan tatacara terjemahan. Apatah lagi beberapa prinsip ketuhanan yang ada dalam ajaran islam sangat berbeza daripada perspektif Kristian”

Menurut titah Baginda juga, ‘Allah’ dalam ajaran Islam bermaksud Maha Esa, yang tidak beranak mahupun diperanakkan serta tiada sama dengan makhluknya seperti disebut dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud;

“Katakanlah Wahai Muhammad. Allah itu Esa, Allahlah tempat bergantungnya seluruh makhluk, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tiada sesuatupun yang setara denganNya”.

KDYTM Tengku Mahkota seterusnya menitah-sebut tentang betapa perbuatan mensyirikkan ‘Allah’ seperti penggunaannya pada yang tidak sewajarnya, merupakan ‘sebesar-besar dosa dalam Islam.

PERSEMBAHAN PENTOMIN... Majlis turut diserikan dengan pentomin 11-minit bertajuk 'Silence is betrayal' atau 'Senyap itu pengkhianatan'. 


BOLEH UNDANG KEMARAHAN, KETEGANGAN ANTARA AGAMA

Lalu Baginda mempersoalkan; “Apakah kita boleh menerima bila mereka menterjemahkan ‘Allah’ ada anak,  ‘Allah’ bersifat sebagaimana makhluk, ‘Allah’ digambarkan dengan sifat yang tidak layak baginya?

“Tentulah ini akan mengundang kemarahan, ketegangan antara agama. Ini merupakan penyalah gunaan nama ‘Allah’ yang akan pasti berlaku sekiranya dibenarkan terjemahan God atau Lord dengan Allah,” titah Baginda.

Dan Baginda terus berhujah bagaimana sepanjang pengetahuan Baginda, tiada  ‘Bible’ dalam mana-mana bahasa sekalipun termasuk Bahasa Tamil atau Cina, yang menterjemahkan God atau Lord dengan ‘Allah’.

“Kenapa ‘Bible’ Bahasa Melayu sahaja yang diterjemahkan dengan Allah. Pastinya ini akan mengundang pelbagai prasangka. Oleh yang demikian, menghindarkan keadaan ini daripada berlaku adalah lebih baik, demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara,” titah Baginda. 

Baginda seterusnya merujuk kepada negeri Pahang ini sendiri yang sejak tahun 2008 lagi, telah memutuskan bahawa kalimah ‘Allah’ dan beberapa lagi istlah, tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

PENDERMA TERBESAR... Wakil daripada sebuah syarikat perlombongan emas di Selinsing, Lipis kelihatan sedang menyampaikan cek olok-olok bernilai RM200,000 - penderma terbesar pada Majlis tersebut. 


MAJLIS FATWA KEBANGSAAN TURUT BUAT KEPUTUSAN

Ketidak bolehan itu pula ialah sama ada dalam bentuk penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, penerbitan sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik.

Ini menurut-titah Baginda lagi, ialah sepertimana termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam No.5 tahun 1989 dan lain-lain istilah agama islam adalah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Selain daripada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada Muzakarah ke-82 antara 5 dan 7 Mei 2008 titah Baginda lagi, turut mengeluarkan fatwa bahawa kalimah ‘Allah’ tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

“Dan adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalah gunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Disamping, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 16 Mei 1986 memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu ‘Allah’, ‘solat’, ‘kaabah’ dan ‘baitullah’ tidak dibenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam,” tegas Baginda.

SESI FOTO BERKUMPULAN... Para penderma sedang bersesi foto berkumpulan bersama-sama KDYTM Tengku Mahkota; serta Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri. 


BERDIRI TEGUH PERTAHANKAN KALIMAH ‘ALLAH’

“Justeru itu, saya menyeru seluruh umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur khasnya dan di Malaysia amnya, untuk berdiri teguh mempertahankan kalimah ‘Allah’ dan kalimah lain yang dinyatakan (yang) tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam sama ada dalam media elektronik atau media cetak.

“Pihak lain seharusnya mengambil perhatian serta menghormati sensiviti agama masing-masing agar kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama ini tidak tergugat,” titah KDYTM Tengku Mahkota lagi.

Mengenai Majlis pagi itu, Baginda yang mencetuskan penganjurannya bertitah, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan sebaliknya, sentiasa ditindas dan tidak mempunyai ruang untuk mendapatkan hak mereka.

Sungguhpun kuasa-kuasa besar dunia menyedarinya namun titah Baginda, tiada usaha yang benar-benar serius dilaksanakan atau satu rancangan berkesan dilakukan untuk menyelamatkan Palestin.

“Sekatan demi sekatan telah dilakukan di sempadan laut dan daratan oleh Israel, menambahkan lagi penderitaan mereka. Rakyat Palestin terpaksa membina terowong-terowong bawah tanah bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. 

HADIRIN DAN HADIRAT... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah ketua-ketua organisasi Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Dato' Lias Mohd Nor (berbaju merah); dan Pengurus Besar, Yayasan Pahang (YP), Dato' Saariah Saad. 
  

KEPRIHATINAN PM HARUS DICONTOHI

“Dilema kesengsaraan Palestin ini akhirnya mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di merata pelusuk dunia yang bertujuan membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin,” titah Baginda.

Baginda seterusnya menitah-nyatakan kesyukuran ekoran komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Perdana Meneri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang turut melakukan lawatan kemanusiaan ke sana 23 Januari lepas.

“Keperihatinan YAB Perdana Menteri kita itu seharusnya menjadi contoh dan pendorong kepada kita semua untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Saya berharap usaha murni negara kita ini akan mendapat perhatian pihak terlibat serta dunia demi merealisasikan keamanan di bumi Palestin,” titah Baginda lagi sambil menyebut tentang inisiatif Baginda menitah-cadangkan Majlis pagi Selasa ini.

“Dan Alhamdulillah,” titah Baginda, “… saya merasa amat bangga dengan sambutan yang begitu menggalakkan , dimana begitu ramai penyumbang yang tampil, terdiri daripada individu, agensi-agensi kerajaan, syarikat perbadanan kerajaan dan syarikat swasta serta orang ramai melalui tabung masjid;

RM1.1 JUTA TERKUMPUL

“Secara sukarela menghulurkan sumbangan kepada Dana Tabung Palestin-Gaza ini. Jumlah kuitipan tabung masjid sahaja telah berjaya dikumpul RM117,118.10 manakala jumlah keseluruhan ialah RM1.1 juta.

“Ini menunjukkan bahawa kita semua terutamanya rakyat negeri Pahang ini, sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

“Saya berharap, usaha ini akan diteruskan ke seluruh daerah di mana Pegawai Daerah hendaklah mengadakan usaha seumpamanya, bagi membolehkan orangramai terus menyumbang kepada tabung ini,” titah Baginda.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir yang juga Penasihat, Perdana Global Peace Foundation (PGPF);

Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai; Presiden Haluan Palestin, Prof Madya Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman; serta kenamaan-kenamaan dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar