Wednesday 2 January 2013

Tidak berbaloi dan mengarut; 'gula-gula' untuk mengabui mata!!!

Luas ladang milik Felda Plantations seluruh negara = 353,245 hektar
Jumlah anak-anak Felda generasi kedua sahaja        = 700,000 orang

Pembangkang mahu ladang ini diagih-agihkan kepada seluruh anak Felda generasi kedua dan ketiga, serta bekas kakitangan Felda dan anggota-anggota pasukan keselamatan negara.

Maka, jika diagih-agihkan kepada anak-anak Felda generasi kedua sahajapun, seorang akan memperolehi keluasan tidak ekonomikal – cuma 0.5 hektar (1.23 ekar), tidak seperti diperolehi oleh generasi pertama seluas 4.05 hektar (10 ekar) tanah ladang dan 0.1 hektar (1/4 ekar) tanah kediaman.

Keluasan ini tentu semakin kecil jika ia mahu turut diagih-bahagikan lagi kepada anak-anak generasi ketiga Felda, serta bekas kakitangan Felda dan anggota-anggota pasukan keselamatan.

CONTOH TAMBAH-NILAI; DARI PONDOK KE BANGLO INDAH... Inilah rumah peneroka - Encik Razali Baharuddin di alamat No. 366, Jalan Bunga Anggerik, Felda Kemasul, Bentong. Rumah Encik Razali inilah yang dalam ucapan 48-minit bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Bicara Tokoh pagi Rabu, 5 Disember lepas di sana, telah menyebut, "Rumah dia (Encik Razali) cantik sekali. Tak serupa pondok yang Kerajaan buat dulu".

Tun Dr Mahathir dan Dato' Sri DiRaja Adnan sebelum majlis tersebut, telah dibawa berkunjung untuk sarapan dan menukar baju di rumah Encik Razali ini. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidak berbaloi dan pula mengarut; ‘gula-gula’ yang sengaja di‘tabur’ bagi mengabui mata orangramai demi meraih sokongan pada pilihanraya.   

Inilah yang boleh dikatakan mengenai janji manis pembangkang untuk mengagih-agihkan keseluruhan tanah milik Felda Plantations di seluruh negara, kepada generasi kedua dan ketiga, serta bekas kakitangan Felda dan anggota-anggota opasukan keselamatan. 

Janji manis ini sepertimana tercatat dalam apa yang mereka kenali sebagai ‘Tawaran mega 3+6’ jika mereka dapat mengambil alih pemerintahan negara pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Menurut perangkaan, luas tanah milik Felda Plantations yang tidak berpeneroka di suluruh negara ketika ini ialah kira-kira 353,245 hektar. Diagih-bahagikan dengan kira-kira 700,000 anak-anak Felda generasi kedua sahaja;

Maka, setiap seorang anak generasi kedua berkenaan akan memperolehi keluasan yang tidak ekonomikal – cuma 0.5 hektar (1.23 ekar), yang pastinya sukar menyamai apatah pula menandingi pulangan daripada 4.05 hektar (10 ekar) tanah ladang milik generasi pertama yang merupakan ayahanda/bonda mereka.

SAMBUTAN HEBAT PENEROKA KEPADA PEMIMPIN KESAYANGAN KITA... Dengan segala 'gula-gula' yang ditaburkan puak-puak pembangkang; tidak mungkin dapat mempengaruhi para peneroka kita sepertimana sambutan hebat yang mereka berikan pada Majlis Bicara Tokoh di Felda Kemasul pagi Rabu, 5 Disember itu.


PAJAKAN TANAH 99-TAHUN KEPADA FELDA PLANTATIONS

Dan, keluasan 0.5 hektar (1.23 ekar) ini baharu melibatkan kira-kira 700,000 anak generasi kedua Felda.

Jika turut melibatkan anak-anak generasi ketiga seramai kira-kira 100,000 orang lagi, dan bekas kakitangan Felda dan anggota pasukan keselamatan mungkin beberapa puluhan ribu lagi; berapa luaskah tanah setiap orang akan perolehi?

Di Pahang – negeri terbesar yang mempunyai rancangan tanah (115 buah) dan juga peneroka Felda generasi pertama (seramai 43,123), terdapat kira-kira 270,000 anak-anak generasi kedua sedangkan keluasan tanah yang dipajak 99-tahun kepada Felda Plantations ialah 143,584 hektar.

Yang bermakna, anak-anak generasi kedua ini sahajapun, akan memperolehi kira-kira 0.53 hektar (1.309 ekar) – keluasan yang masih lagi tidak ekonomikal, yang boleh memberikan pulangan yang sewajarnya.

Inilah juga sepertimana yang disebutkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dalam ucapan penangguhan 28-minitnya, pada hari terakhir, petang Selasa, 11 Disember bagi mesyuarat ketiga, penggal kelima, Dewan Undangan Negeri ke-12 di Wisma Sri Pahang dekat sini.

TANAH TAK CUKUP UNTUK GENERASI KEDUA, KETIGA…

Kesemua 42 wakil rakyat, termasuk empat (4) dari pembangkang; menghadiri persidangan enam (6) hari bermula Isnin, 3 Disember itu (rehat pada Sabtu, 8 Disember dan Ahad, 9 Disember) – dikatakan yang terakhir sebelum PRU-13.

“Mereka (puak-puak pembangkang) menyatakan kalau mereka menawan Kerajaan Persekutuan, mereka akan menempatkan peserta Felda Plantations di kalangan warga generasi kedua (serta ketiga dan bekas kakitangan Felda dan pasukan keselamatan).

“Ini tidak praktikal. Tidak praktikal. Tak cukup tanah... Tanah yang dimiliki oleh Felda Plantations itu , kalau kita agih-agihkan kepada generasi kedua Felda (sahajapun, masih), tak cukup,” katanya. \

“Serupalah dengan negeri Pahang ini,” tambahnya. “Keluasan tanah 3.6 juta hektar, lebih kurang 8,000 ekar. Kalau kita agihkan kepada 1.5 juta rakyat Pahang, semuanya akan duduklah, atas Gunung Tahan, atas tebing sungai.

“Kemudian itu tak ada tanah (lagi, tinggal pula) atas pokok duduk sekali. Sebab, (keluasan) tanah yang boleh digunakan ataupun ‘useable land’ di Pahang ialah seluas 100,000 hingga 200,000 hektar (sahaja).  

NILAI TAMBAH DENGAN SENARAIKAN FGVH

“Maknanya, kalau kita bagi (agih-agihkan) sama banyak, tak boleh cukup. Begitu juga Felda Plantations ini. Tapi kita kesian, orang yang mudah kena tipu mungkin dia percaya. Kalau tanah Felda Plantations ini diberikan kepada semua generasi kedua Felda, tak boleh dapat macam sekarang, 10 ekar seorang,” katanya lagi.

Oleh itulah juga katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak sering menekankan keperluan untuk memberikan nilai-tambah kepada sesuatu perkara yang boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai orang.

Perdana Menteri turut memberikan contoh bagaimana jika hendak menceburkan diri dalam perniagaan ‘kedai kopi’, ia hendaklah dilakukan dengan kelainan serta mempunyai elemen nilai-tambah kepadanya.

“Dan Perdana Menteri memikirkan, langkah terbaik (untuk memberi nilai tambah kepada ladang milik Felda Plantations seterusnya turut dimanfaati oleh para peneroka Felda) ialah dengan menyenaraikan FGVH (Felda Global Ventures Holdings Bhd),” katanya. - Khabar