Friday 4 January 2013

Usahasama Pahang/Wilayah Ningxia majukan industri halal di Gambang

… mahu raih pasaran halal dunia yang tumbuh kira-kira RM7.46 juta juta (trillion) setahun, menerusi MoU antara ECERDC dengan Biro Industri Ringan dan Tekstil Ningxia   

PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA... Apa yang diperkatakan oleh Encik Wang (di sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan) diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh gadis kakitangan ECER (kanan sekali) selaku pengacara majlis. 


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Pahang akan berusahasama dengan Wilayah Autonomi Ningxia Hui, Republik Rakyat China, dalam memajukan industri halal di Taman Industri Halal Gambang dekat sini.

Ke arah itu demi meraih pasaran halal dunia yang tumbuh kira-kira RM7.46 juta juta (trillion) setahun, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Biro Industri Ringan dan Tekstil Ningxia (NLTIB).

Bersaksikan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha, Biro Promosi Pelaburan, Wilayah Autonomi Ningxia Hui, Encik Wang Jing; MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dengan Timbalan Ketua Setiausaha, Biro Pembangunan Industri Tekstil, wilayah berkenaan, Encik Ma Liting pada pagi Jumaat, 4 Januari, di sini.

Berbanding Pahang – berkeluasan 3.6 juta hektar dengan 1.5 juta penduduk; Wilayah Autonomi Ningxia Hui yang terletak di sebelah utara-tengah Negara China, seluas 6.6 juta hektar dengan 5.62 juta penduduk, 35.8 peratus atau 2.01 juta daripadanya ialah Muslim kaum Hui.

Ketika mengulas mengenai MoU ini pada persidangan media bersama, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengalu-alukannya, termasuk menyambut baik kehadiran Encik Wang – beliau sendiri seorang Muslim kaum Hui, ke negeri ini.

SEPAKAT BAWA BERKAT... Sesi foto berkumpulan. Dengan termeterainya MoU ini maka akan terlaksanalah impian untuk memajukan industri halal di negeri, negara dan rantau ini. 


UMP TERLIBAT DALAM R&D KELUARKAN LEBIH BANYAK PRODUK HALAL

“Kedatangan rombongan dari Ningxia ini yang diketuai oleh Encik Wang Jing dan rakan-rakannya, adalah untuk kita majukan lagi Taman Industri Halal Gambang ini,” kata Menteri Besar.

Bagi memantapkan lagi usahasama itu, beliau menyarankan agar Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, turut dilibatkan dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkenalkan lebih banyak produk halal di Taman Industri Halal Gambang tersebut.  

“Saya jangka, kita mampu memperkenalkan lebih banyak lagi produk halal (menerusi penglibatan UMP) yang mampu menarik pasaran – nilainya besar sekali (yakni) pada tahun 2011, nilai eksport produk halal negara ialah RM35,400 juta (RM35.4 bllion) atau kira-kira 5.1 peratus daripada nilai eksport Malaysia.

“Besar kemungkinan, dengan usahasama antara kedua-dua negeri dan wilayah ini, terdapat sinergi di sana; kita akan mampu menarik pasaran yang lebih, yang mungkin lebih besar daripada 5.1 peratus itu,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata, betapa dengan kedatangan rombongan pelabur dari Wilayah Autonomi Ningxia Hui ini membuktikan lagi tentang iklim pelaburan yang positif di negeri Pahang ini.

INILAH WILAYAH AUTONOMI NINGXIA HUI... Ningxia ialah satu (1) daripada hanya lima (5) wilayah yang diberikan kuasa autonomi (bebas) oleh Kerajaan China, dan pula, oleh kerana bilangan penduduk Muslim yang ramai, dilantik oleh Kerajaan negara  itu bagi membangunkan industri halal di sana.  


PELABUR TERUS MELABUR DI KUANTAN

“Sekurang-kurangnya kedatangan mereka ini membuktikan bahawa Malaysia terutamanya Pahang, terutamanya Kuantan; (masih) didatangi oleh pelabur-pelabur. Maknanya, Kuantan akan terus membangun,” katanya.

Pada persidangan media yang sama, Encik Wang – memulakan dengan salam, ‘Sarlare-mare-lare-kom’, mengesahkan Wilayah Ningxia Hui ialah asasnya wilayah Muslim yang dilantik oleh Kerajaan China untuk membangunkan industri halal di negara tersebut.

Oleh kerana Malaysia termasuk Pahang telah diiktiraf sebagai negara yang dipandang tinggi dalam pengeluaran produk halal khususnya dalam aspek persijilannya kata Encik Wang, maka Pahang dipilih untuk menjalinkan MoU berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menjemput Menteri Besar untuk berkunjung ke Ningxia bagi melihat kemajuan yang telah dicapai dalam membangunkan industry halal di wilayah autonomi tersebut.

Yang turut hadir pada majlis pagi Jumaat ini ialah Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-Pen), Dato’ Mahadiah Mohamed; Naib Canselor UMP, Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim; serta lagi enam (6) anggota rombongan Wilayah Autonomi Ningxia Hui termasuklah penolong kepada Encik Wang, Encik Wu Baocai. – Khabar