Saturday 23 March 2013

Sambutan hebat, 'electrifying' rakyat Pahang buat Perdana Menteri!!!


... senario menggalakkan bagi Barisan Nasional (BN) menghadapi dan menang besar pada pilihanraya umum ke-13.

Perdana Menteri turut umumkan peruntukan RM100 juta untuk atasi masalah kesesakan lalulintas dan banjir kilat di bandar Kuantan ini.

Juga bakal bina 20,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri ini.

SINGGAHAN KE 'BOOTH' YAYASAN PAHANG... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan gembira semasa mengikuti persembahan kanak-kanak ini ketika melawat ke 'booth' Yayasan Pahang (YP) sempena program JJD siri terakhir ini. 

Selain Tok Puan Indera Datin Sri Rosmah dan Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengurus Besar YP, Dato' Saariah Saad (sebelah kanan Tok Puan Indera Datin Sri Rosmah). 


PADANG MPK 2, KUANTAN – Rakyat Pahang memberi sambutan hebat kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang berada di negeri ini sehari suntuk pada Sabtu, 23 Mac kerana hadir merasmikan beberapa program.

Dengan sambutan hebat serta ‘electrifying’ ini, memberikan senario positif kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di negeri ini, untuk menghadapi seterusnya menang besar pada pilihanraya umum akan datang.   

Bermula dengan program sosio-ekonomi untuk golongan memerlukan – Rimbunan Kasih pada sebelah pagi di Tanjung Besar, Lipis; disusuli program untuk belia, 1M4U pada awal petang di Pekan; jengahannya ke majlis anjuran Gabungan Persatuan Cina Pahang di Stadium Darul Makmur bersebelahan, yang turut dihadiri oleh pelakon terkenal dari Hong Kong, Jackie Chan;

Sehinggalah kemuncaknya dengan kehadiran beliau bagi melabuhkan tirai Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) – yang terakhir selepas pertama kali dianjurkan di Batu Pahat, Johor pada April 2012, pada sebelah malam, di sini.

Kesemuanya menampakkan sambutan hebat rakyat dalam kalangan pelbagai latar sama ada kaum, ugama, usia mahupun mata pencarian dengan bukan setakat kehadiran mereka yang puluhan ribu, malah memberikan tindak-balas baik kepada apa yang Perdana Menteri ucapkan.

KHALAYAK JJD DI BAWAH KHEMAH... 


KUANTAN SEBAGAI DESTINASI AKHIR JJD TEPAT

Inilah juga yang turut mendorong Perdana Menteri dan juga Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang berucap pada majlis-majlis berkenaan, memberikan pujian tinggi kepada mereka.

Pada awal ucapan 29-minitnya lagi di sini, Dato’ Sri Mohd Najib berkata; “Saya lihat, begini ramainya yang berhimpun pada malam ini, maka tepatlah kita pilih Kuantan, Pahang sebagai tuanrumah kepada majlis terakhir dalam siri Jelajah Janji Ditepati”, yang disambut sorakan gembira hadirin.

Malah, pada bahagian-bahagian tertentu ucapannya, pertanyaan beliau mengenai sesuatu perkara telah disambut serentak dengan jawapan yang memuaskan oleh kalangan khalayak sekelian.

“Oleh kerana majlis ini majlis terakhir (dalam siri JJD), saya akan mengetuai Kerajaan Barisan Nasional untuk meminta mandat baharu daripada rakyat. Saya nak tanya, orang Kuantan dah bersedia?” yang disambut, “Sudah…”.

“Saya nak tanya, orang Pahang dah bersedia?” yang sekali lagi dijawab, “Sudah…”.

'GRAND FINALE'... Sesuai dengan acaranya - terakhir daripada siri-siri JJD, pertunjukan bunga api turut diselitkan sebagai antara acara kemuncaknya.  


SEMANGAT NAK HADAPI PILIHANRAYA SUDAH MELUAP-LUAP

“Kita tunggu sahaja, bila lagi? Tak sabar-sabar lagi. Semangat kita dah meluap dah sekarang. Kita semua pendekar-pendekar belaka. Kita tidak akan berundur seincipun.

“Selagi kita belum menang, kita akan berjuang berhabis-habisan, pastikan kejayaan Kerajaan Barisan Nasional yang ada pada hari ini,” kata Dato’ Sri Mohd Najib yang disambut dengan sorakan, “Ya…”.

Oleh kerana orang Pahang khususnya di Kuantan ini yang menurutnya ‘baik-baik belaka’, Dato’ Sri Mohd Najib mengumumkan keputusan untuk memberi peruntukan RM50 juta kepada Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan, untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas di bandar ini.

Bagi usaha untuk menangani seterusnya mengatasi masalah banjir kilat di bandar ini juga, beliau mengumumkan peruntukan lagi RM50 juta kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakannya.

“Saya nak serah RM50 juta lagi kepada Kerajaan Negeri. Buatlah. Gunakan duit RM100 juta tu sebaik-baiknya. Kita nak bantu, kita nak laksanakan yang terbaik untuk rakyat,” kata penuh semangat Perdana Menteri lagi.

TANDATANGANI PLAK 'RIMBUNAN KASIH'... Dalam ucapan 22-minitnya sempena pelancaran program Rimbunan Kasih di Tanjung Besar, Lipis pada sebelah pagi, Dato' Sri Mohd Najib turut memuji kecepatan Kerajaan Negeri pimpinan Dato' Sri DiRaja Adnan membangunkan projek sosio-ekonomi melibatkan 70 peserta dalam kalangan yang memerlukan, tinggal dalam unit-unit rumah KOTO berkonsepkan sistem IBS dan bekerja di ladang-ladang berteknologi tinggi berdekatan dengan dibayar gaji bulanan RM1,000. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Shukry (dua dari kiri).  


JANJI BN DITEPATI

“Percayalah. Bila kita janji, janji kita di…?,” yang sekali lagi disambut khalayak, “Tepati”.  

“Oleh itu bila sampai masanya kita adakan pilihanraya. Bila parlimen dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertuan Agong nanti, kita akan minta mandat daripada rakyat berdasarkan bahawa janji-janji kita telah ditepati.

“Tapi percayalah. Perjalanan kita ini masih jauh lagi. Sebab jika kita hendak jadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi, ia tak boleh makan masa setahun, dua tahun.

“Janji kita bila? Janji kita pada tahun 2020 nanti. Sampai tahun 2020 nanti, pada masa itulah saya berharap Kerajaan kita dapat mengisytiharkan sebagai sebuah negara maju.

“Tetapi, sebelum kita dapat sampai pada tahun 2020, kita kena melangkah satu jambatan yakni jambatan pilihanraya yang akan datang. Kalau kita menyeberang jambatan itu, dapat kita pintas ke sebelah sana, saya yakin dan percaya, dengan mandat baharu itu, Kerajaan akan melakukan yang le…bih baik lagi.

ANAK-ANAK RIMBUNAN KASIH DENGAN PERALATAN MODERN... Foto ini dirakam ketika anak-anak peserta Rimbunan Kasih mengikuti kelas komputer di Pusat Pembelajaran yang turut disediakan di bawah program sosio-ekonomi di Tanjung Besar ini. 


AKAN TERUS BEKERJA BERSUNGGUH-SUNGGUH

“Kita akan bekerja bersungguh-sungguh. Janji (untuk) ditepati lima tahun (akan datang), insyaAllah, Malaysia akan bersinar sebagai negara yang berjaya dan keunggulan Malaysia akan terserlah nanti,” katanya.

Selain isteri kepada Perdana Menteri sendiri, Tok Puan Indera Datin Sri Rosmah Mansor dan Dato’ Sri DiRaja Adnan, antara yang turut hadir pada majlis-majlis sehari suntuk hari Sabtu ini ialah, ahli-ahli kabinet dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri;

Ketua Pengarah, Jabatan Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Shukry Mohd Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Muhammad Safian Ismail; dan, Pengarah, Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), Dato’ Zulki-fly Osman. – Khabar