Monday 15 April 2013

Kerajaan yang wajib ditukar ialah Kerajaan yang zalim



… tapi, adakah kita (Kerajaan yang ada pimpinan BN) zalim? Adakah rakyat kebuluran, dibiarkan? Orang susah ditinggalkan?

Adakah kepentingan, kebajikan kelompok-kelompok yang patut dapat perhatian, tidak diberi perhatian oleh Kerajaan?

Persoalan-persoalan yang Menteri Besar lontarkan agar rakyat dapat menilai serta menghargai peranan positif Kerajaan dalam mentadbir negara dan negeri, demi kesejahteraan rakyat juga.

UCAPAN LUAR TEKS 19-MINIT MENTERI BESAR... Senyuman terus terukir di bibirnya pada majlis yang beliau tiba tepat, 8.30 malam sungguhpun hanya kira-kira 6.45 petang tadi, beliau baharu pulang ke Kuantan dari Menara Dato' Onn, Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur kerana menghadiri majlis penyerahan/penerimaan watikah untuk calon-calon BN bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak. 

Dan pada kira-kira 10 pagi esok, Selasa, 16 April, beliau harus pula hadir untuk menyampaikan watikah-watikah berkenaan, kepada calon-calon yang telah dipersetujukan.    


BRIGED TENGGARA, PASUKAN GERAK AM (PGA), KEM GALING, KUANTAN – Sambil mengakui betapa Kerajaan yang wajib ditukar ialah Kerajaan yang zalim, namun Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengajak rakyat memikirkan tentang segala kebaikan yang Kerajaan Barisan Nasional (BN) laksanakan demi kesejahteraan mereka.

Ini beliau timbulkan sebagai merujuk kepada saranan pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang, yang mengajak rakyat supaya menukar atau mengubah Kerajaan yang ada kepada yang diperintah oleh mereka.

Sedangkan katanya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk melakukan penukaran atau perubahan tersebut, yang tidaklah semudah, “… tukar barangan, tukar kereta, mudah. Tukar baju, tukar seluarpun mudah. Tukar khemahpun mudah. Tukar pegawai memerintahpun mudah. Tukar MBpun mudah.

“Tapi, bukan tukar Kerajaan,” katanya dalam ucapan luar teks 19-minitnya pada program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia pada malam Isnin, 15 April, di sini dengan kehadiran khalayak kira-kira 3,000 orang dalam kalangan anggota PGA dan keluarga mereka .

“Kerajaan yang wajib ditukar ialah Kerajaan yang zalim,” katanya, lalu membangkitkan persoalan, “… adakah kita (Kerajaan BN yang ada sekarang) zalim? Adakah rakyat kita kebuluran, dibiarkan? Orang susah ditinggalkan.

MENYUMBANG KEPADA YANG MEMERLU DAN YANG SEWAJARNYA... Masih zalimkah Kerajaan yang ada pimpinan BN? ...yang menerusi rekod panjang perkhidmatannya, tidak pernah menghampakan rakyat, sebaliknya, terus menjagai kebajikan demi kesejahteraan mereka.   


TUMPUAN KEPADA RAKYAT, SEJAK DAHULU HINGGA SEKARANG

“Adakah kepentingan, kebajikan kelompok-kelompok yang patut dapat perhatian, tidak diberi perhatian oleh Kerajaan?”  

Sedangkan katanya, pentadbiran Kerajaan BN yang ada sentiasa memberikan tumpuan kepada keperluan rakyat sepertimana terserlah dalam pembentangan Bajet Negara setiap tahun, selain rancangan pembangunan lima tahunnya.    

“Bahkan dari dahulu lagi sampai sekarang, kita memberikan tumpuan dan perhatian kepada rakyat sehinggakan pada setiap tahun, ada (pembentangan) Bajet. Setiap lima tahun (pula), ada rancangan lima tahun; semata-mata untuk memberikan faedah kepada rakyat,” katanya lagi.

Dengan menjuruskan kepada Briged Tenggara, PGA, Kem Galing ini sendiri katanya, keadaannya dahulu tidaklah sepertimana hari ini yang mempunyai segala kemudahan lalu menyelesakan kehidupan harian anggota dan keluarga mereka.  

“… sejak tahun 2009, dengan kemudahan sedia ada itu menyebabkan kita (anggota-anggota PGA) dapat bertugas dengan selesa. Kalau kita bertugas di sempadan, kita pergi memburu penyeludup-penyeludup di sempadan; kita tahu anak-isteri kita tinggal dengan selesa di sini, dijaga dengan baik.

MARI MENJAMU...


PEMBANGUNAN DITERUSKAN OLEH KERAJAAN, KERAJAAN YANG PRIHATIN

“Ini semua menunjukkan bahawa, proses pembangunan ini diteruskan oleh Kerajaan dan Kerajaan yang prihatin. Kalau Kerajaan ini zalim, seperti yang berlaku di luar negara (adakah boleh diperolehi sepertimana sekarang?)” katanya lagi.

Para pegawai dan anggota PGA pula menurutnya, harus sedar betapa perkhidmatan yang mereka sumbangkan bukan sahaja demi memelihara keluarga, malah, demi mempertahankan negara.

Sehubungan itu beliau meminta mereka tidak mudah mempercayai tohmahan-tohmahan yang telah dilempakan terhadap Kerajaan BN yang ada, termasuklah menerusi dunia ‘cyber’ ketika ini.

Antara yang turut hadir ialah Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Mat Zara’ai Alias; ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat; Ketua Polis Pahang, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani; tuanrumah, Komander Briged Tenggara, PGA, Kem Galing, Dato’ Azizan Abu Sa’at; Pengarah, Jabatan Penerangan, Encik Mohd Sabri Abdullah; dan, Pengarah, Jabatan Penyiaran Negeri, Encik Zubad Ibrahim. – Khabar