Tuesday 30 April 2013

Majoriti rakyat tak terpengaruh dengan slogan 'Ubah/Tukar'


… ‘Tak payahlah’ ialah jawapan kepada slogan pembangkang, ‘Ini kalilah’

TANDATANGAN BERHARGA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menandatangani plak perasmian sambil yang lain menyaksikan. Berkeluasan lantai 1,000 kaki persegi di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan boleh memuatkan antara 40 dan 50 pengunjung pada satu-satu masa; perpustakaan ini ialah ehsan sumbangan CSR, TNB yang menyumbang RM300,000 untuk kerja-kerja pembinaannya.


PERPUSTAKAAN DESA, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Majoriti rakyat tidakpun terpengaruh dengan slogan atau seruan ‘Ubah/Tukar’ yang diuar-uarkan menerusi bahan-bahan cetak pilihanraya puak-puak pembangkang.

Sungguhpun ada yang terpengaruh, ia cuma segelintir, kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menjawab soalan wartawan tentang sejauh manakah slogan ‘Ubah/Tukar’ telah mempengaruhi rakyat.

“Saya perhatikan pada keseluruhannya, majoriti rakyat, mereka tidak terpengaruh. Tetapi, ada segelitintir yang agak terpengaruh sebab slogan itu memang sedap. Bunyi sedap.

“Slogan zaman Perang Dunia II, paling sedap slogan Goebbellah, slogan Hitler. Ia akan gunakan apa sahaja. Teringat saya zaman Allahyarham Presiden Sukarno, beliau juga banyak menggunakan slogan. Dan sekarang ni, dengan Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau seterusnya berkata betapa sesedap manapun slogan yang diutarakan, ‘tapi orang tak mati dengan slogan, tak boleh kenyang dengan slogan’ lalu beliau cadangkan pula jawapan kepada ungkapan pembangkang, ‘Ini kalilah’ dengan ‘Tak payahlah’.

POTONG RIBEN... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Encik Nasharuddin (kiri sekali); Ir Abdul Aziz (dua dari kanan), dan Puan Faridza (kanan sekali). Dengan bahan bacaan pelbagai tajuk berjumlah 11,000 naskah, perpustakaan desa ini tentu akan dimanfaati sepenuhnya oleh penduduk Simpang Pelangai.


TUNGGU SAHAJALAH 5 MEI, HARI MENGUNDI

Sehubungan itu juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan sarankan agar rakyat tunggulah sahaja tarikh 5 Mei ini yang tinggal tidak beberapa hari lagi, untuk mengundi bagi menentukan kepimpinan Kerajaan.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga diminta mengulas lanjut tentang isu yang diperbesar-besarkan oleh puak pembangkang, berkaitan rumah pangsa di Bukit Tinggi, Bentong yang sudah siap tetapi pemaju, enggan serahkan kunci kepada mereka.

Ia ekoran perselisihan tercetus antara pemaju berkenaan dengan Kerajaan Negeri berhubung dengan tanah yang harus diberikan kepada pihak pemaju sebagai ‘subsidi bersilang’ ekoran siapnya rumah pangsa berkenaan.     

“Kerajaan kata, kamu patut dapat banyak ini cukuplah. Tapi kata pemaju pula, ‘Eh, kami kena (dibayar lebih) banyak ini kerana kami keluar duit banyak ini’. Yang itu (menjadi) pertelingkahan, itu sahaja.

“… dalam petelingkahan itu, yang menjadi mangsa ialah pembeli-pembeli rumah. Kita sebagai Kerajaan yang prihatin, kita tidak mahu menyusahkan ralyat tetapi pada ketika yang sama, kita juga tidak mahu nampak seolah-olah kita menggunakan kuasa kuku besi untuk menindas pemaju.

'WORKOUT'... Memenuhi aturcara seharian lagi yang sibuk. Jika sebelah paginya, Dato' Sri DiRaja Adnan berada di Yayasan Pahang (YP), Kuantan kerana pelbagai urusan termasuk menemui dan berbincang hal pilihanraya dengan tiga-empat calon BN; sebelah petangnya perlu berada di Simpang Pelangai, Bentong kerana merasmikan perpustakaan desa dan sebelum itu, menyampaikan dividen akhir bernilai RM22.17 juta kepada peserta Felcra seluruh negeri;

Sebelah malamnya pula hadir pada Malam Mesra Bersama Warga Penjara di Dewan Perdana, Kompleks Penjara Bentong di Mempaga. Selain makan malam, beliau juga diminta merasmikan gimnasium yang turut terletak dalam dewan ini. Kelihatan, beliau sedang mencuba satu daripada peralatan yang terdapat dalam gimnasium ini. 


KUNCI SERAH KEPADA KERAJAAN, KEPADA PEMBELI

“Jadi, kita berunding untuk menyelesaikan amaun yang sesuai (yang di‘bayar’ dengan menawarkan tapak tanah di tempat lain yang nilainya kira-kira sama dengan kos yang pemaju tanggung dahulu),” katanya lagi.

Hasil perundingan jugalah menurutnya, pemaju bersetuju untuk menyerahkan kunci-kunci rumah berkenaan kepada Kerajaan Negeri, kemudian akan diserahkan kepada pembeli berkenaan pada majlis di Bukit Tinggi juga, esok.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mahadiah Mohamad; Pengurus Besar, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Wilayah 2, Ir Abdul Aziz Majid;

Penghulu, Mukim Pelangai, Encik Nasharuddin Ahmad yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Penasihat perpustakaan desa ini; Pengurus Besar, TNB Pahang, Dato’ Shahiruddin Mohd Simin; dan, Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Puan Faridza Jaafar. – Khabar