Monday 20 May 2013

MB dan para Exconya


… Barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) @ Exco Negeri dan portfolio diumumkan, dengan pengenalan Jawatankuasa Perpaduan Negeri yang Menteri Besar sendiri pengerusikan;

Menteri  Besar juga mempengerusikan Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Perhutanan dan Sistem Penyampaian Awam yang keanggotaannya ialah kesemua ahli MMK serta para ex-officio.

'ALL THE MB'S MEN, PLUS A WOMAN'... Dato' Sri DiRaja Adnan disamping para Exconya termasuk ex-officio; (duduk, dari kiri ke kanan) Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Norzan Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; Dato' Mohd Sharkar; Dato' Ir Mohd Soffi; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Mat Zara'ai Alias; dan, Dato' Wan Rosdy. 

Yang lain ialah (berdiri, dari kiri ke kanan) Encik Norol Azali; Dato' Shahaniza; Dato' Abu Bakar; Dato' Shafik Fauzan; Dato' Shahiruddin; Dato' Mohd Johari; dan, Syed Ibrahim. 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini mengumumkan 16 portfolio atau jawatankuasa bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pimpinannya.

Pengumuman ini dibuat pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas MMK Negeri – yang pertama selepas Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), pada tengah hari Isnin, 20 Mei, di sini.  

Portfolio-porfolio itu ialah Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Perhutanan dan Sistem Penyampaian Awam; Jawatankuasa Hal Ehwal Ugama Islam dan Pelajaran; Jawatankuasa Pelaburan dan Perindustrian;

Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli dan Kebajikan Masyarakat; Jawatankuasa Badan-badan Bukan Kerajaan; dan, Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri; yang kesemua enam (6) portfolio ini turut dipengerusikannya.

Berbanding portfolio lain, Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Perhutanan dan Sistem Penyampaian Awam dianggotai oleh kesemua ahli MMK Negeri termasuk ahli-ahli ex-officio yakni Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

SIAP-SEDIA, HADAPI MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan memberi 'pose' dalam senyuman yang menarik, sebelum bersedia hadapi media bagi mengumumkan portfolio untuk kesemua 10 ahli Exconya, termasuk untuk dirinya. 


DATO’ MOHD SHARKAR JAGA KEBUDAYAAN & PELANCONGAN

Portfolio-portfolio lain ialah, Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan yang dipengerusikan oleh Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin; Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar oleh Dato’ Ir. Mohd Soffi Abdul Razak;

Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran oleh Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail; Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industr Asas Tani oleh Dato’ Shafik Fauzan Sharif;

Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan oleh Dato’ Shahiruddin Ab. Moin; Jawatankuasa Hal Ehwal Felda oleh Dato’ Abu Bakar Harun; Jawatankuasa Belia dan Sukan oleh Dato’ Mohd Johari Hussain;

Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas oleh Encik Norol Azali Sulaiman; Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia oleh Dato’ Shahaniza Shamsuddin; serta,

Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas oleh Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Kesemua mereka dijangka hadir pada Mesyuarat MMK Negeri sebenar yang telah dijadualkan pada lusa, Rabu, 22 Mei, juga bertempat di tingkat 6, Kompleks Yayasan Pahang ini.   

EXCO KOMUNIKASI YANG LAMA BERTEMU YANG BAHARU... Dengan berpindahnya Dato' Mohd Sharkar ke portfoilio Kebudayaan dan Pelancongan; slotnya pada Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan ICT yang kini dikenali sebagai Komunikasi dan Multimedia, diambil-alih oleh wanita tunggal dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Shahaniza.  


TOKOH SEPERTI PROF AKAN ANGGOTAI J/K KHAS PERPADUAN

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, MMK Negeri akan berbincang seterusnya menamakan keanggotaannya kelak.

Setakat ini katanya, beliau telahpun mengenal pasti beberapa tokoh untuk dipertimbangkan bagi menganggotai jawatankuasa tersebut, yang termasuk dalam kalangan profesor dan ketua-ketua masyarakat.

Fungsi jawatankuasa ini katanya, ialah untuk melihat serta memenuhi keperluan masyarakat khususnya kaum Cina, yang tidak lagi diwakili dalam Kerajaan ekoran keputusan MCA mengenainya.

“No one will be sidelined and it is our responsibilities to look after every segments of the society including seats which we lost to the opposition,” katanya. – Khabar