Wednesday 15 May 2013

'Qaplah Jingga'


… seperti diduga, puak pembangkang terus berdegil lalu tetap anjurkan perhimpunan tapi diminta alih dari ‘venue’ asal di padang, Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang, ke perkarangan Ibupejabat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jalan Beserah.

Kehadiran, menurut jangkaan Polis ialah kira-kira 5,000 orang, sebahagian besarnya belia Cina berpakaian serba-hitam termasuk yang tertera padanya lambang anti-Lynas.

Kenderaan yang kebanyakannya bernombor pendaftaran dari luar Pahang, diletak di bahu-bahu jalan bermula persimpangan Jalan Beserah-Jalan Tengku Muhammad berhampiran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), hingga menyesakkan lalulintas.  

SEBAHAGIAN KHALAYAK YANG HADIR... Foto ini dimuat-naik daripada foto yang sama tersiar dalam akhbar The Star, keluaran hari ini, Rabu, 15 Mei.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Seperti diduga, puak pembangkang terus berdegil lalu tetap menganjurkan perhimpunan pada malam tadi, Selasa, 14 Mei tetapi diminta alih dari tapak asal di padang, Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang, ke perkarangan Ibupejabat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Jalan Beserah, dekat sini.

Seperti diduga juga, kehadiran penyokong-penyokongnya boleh dikira ramai – menurut jangkaan Polis kira-kira 5,000 orang, dengan kira-kira 60 peratus daripadanya ialah belia-belia Cina atau kategori pengundi saluran 5 di pusat-pusat pengundian.

Seperti yang diminta, mereka mengenakan pakaian serba-hitam tanda bersetuju dengan tema tidak rasmi perhimpunan, ‘Blackout 505’, yang merujuk kepada bantahan terhadap keputusan hari pengundian pada Ahad, 5 Mei bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) lepas.

Dan pada awal-awal ucapan berdegar-degar 19-minitnya, ketua puak tersebut, Dato’ Sri Anwar Ibrahim telah memuji kehadiran semua dengan menggelar mereka sebagai ‘Great Malaysians’, yang kononnya berani untuk hadir pada malam itu.

Kemudian, mencurah-curahlah dakwaan rasuah yang dijuruskan terhadap Kerajaan yang ada khususnya Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, termasuklah yang sudah lapuk dan tidak dapat dibuktikan seperti pembelian kapal selam ‘Scorpene’ daripada syarikat di Perancis.

‘KEMENANGAN’ PUAK PEMBANGKANG DIROMPAK?

Mengenai PRU-13 sendiri, beliau ada menyebut betapa ‘kami menang pilihanraya, kamu (Barisan Nasional) rompak kemenangan kami’, lalu membangkitkan lagi perihal warganegara Bangladesh yang kononnya telah turut mengundi, hingga memberikan kemenangan kepada BN.

Yang ironinya, orang kanannya sendiri – Encik Rafizi Ramli, telahpun membuat kenyataan betapa puak pembangkang akan memfailkan petisyen ke mahkamah bagi membantah keputusan pilihanraya – ekoran kekalahan tipis mereka di tangan calon BN, di 27 kawasan seluruh negara.

Maka, perlukah lagi mereka menjelajah serta menjaja ke seluruh negara termasuk ke negeri ini, dengan membangkitkan kemarahan awam khususnya khalayak yang turut serta, yang sebahagian besarnya kaum Cina; terhadap Kerajaan yang ada? – Khabar