Sunday 23 June 2013

Arahan tutup sekolah di Kuantan dan kawasan-kawasan terjejas jerebu, esok!


JEREBU DI KUANTAN... Dari atas Hotel Zenith, melihat ke arah Kompleks Membeli Belah East Coast Mall (ECM) yang berdepanannya.  


SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu, ditutup bermula esok.

Berita yang dikutip daripada BERNAMA melaporkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan para pelajar ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuantan yang mencecah paras tidak sihat hari ini.

“Kalau kita tengok keadaan (jerebu) hari ini memang teruk... Jarak penglihatanpun makin kurang, nak bernafaspun sudah tidak selesa. Bayangkan kalau anak-anak kita ke sekolah esok, ini boleh membahayakan kesihatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian SASICC, Hotel Zenith dan Menara Zenith yang disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang tengah hari Ahad, 23 Jun di sini.

Menurut laman web Jabatan Aalam Sekitar (JAS), setakat 11 pagi ini, IPU dua (2) kawasan di Kuantan dilaporkan mencatat bacaan tidak sihat iaitu Balok Baharu, 149; dan Indera Mahkota, 107.

Laporan berita yang sama juga menyebut, Pemangku Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Rosdi Ismail menjelaskan bahawa, arahan penutupan itu membabitkan 120 sekolah menengah dan rendah di daerah ini.

JEREBU DI PEKAN... Foto ini dirakam dalam perjalanan pulang dari Pekan ke Kuantan, selepas hadir pada Sambutan Hari Guru peringkat negeri, pada tengah hari Sabtu, 22 Jun.
KDYMM TUANKU MENYEMPURNAKAN PERASMIAN... KDYMM Sultan Pahang, diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, serta Pengerusi Eksekutif, Jasa Imani Sdn Bhd, Dato' Sri Tew Kim Thin; sedang menyempurnakan majlis perasmian tengah hari Ahad itu. – Khabar