Saturday 8 June 2013

Jangan buat kenyataan seolah-olah mengongkong hingga UMNO boleh dianggap tidak demokratik!



… saranan Dato’ Sri DiRaja Adnan, menyanggah kenyataan-kenyataan oleh pelbagai pihak meminta agar dua jawatan tertinggi dalam parti UMNO tidak dipertandingkan.  

Sambil itu beliau menegaskan, “Bukan pula dengan saya mengatakan demikian, saya tidak setia kepada Presiden, saya tidak setia kepada Timbalan Presiden, tidak…”

TEPAT KE SASARAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melakukan sepakan ke lubang gol ini ketika melawat ke gerai Kumpulan NSTP. Di belakang, sebelah kanan beliau ialah Encik Seelan. 


TAPAK KARNIVAL JOM HEBOH, PADANG MPK 2, KUANTAN – Bercanggah dengan kenyataan beberapa tokoh UMNO sebelum ini yang menyokong agar dua (2) jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tidak beberapa lama lagi;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meminta agar ahli-ahli UMNO diberi kebebasan untuk membuat pemilihan yang jika tidak, mereka akan dilihat seolah-olah dikongkong, lalu memberi gambaran tidak demokratiknya parti ini.

“Kalau kita ingin supaya orangramai melihat parti kita parti yang inklusif, lebih baik kita jangan buat kenyataan-kenyataan seperti ini (kenyataan-kenyataan yang menyokong agar dua jawatan tertinggi parti tidak ditandingi).

“Ianya (kenyataan-kenyataan itu) membawa maksud bahawa kita cuba bersifat otokratik. Presiden (dan) Timbalan (Presiden) sendiri tidak mengatakan mereka tidak mahu ditandingi. Tidak, tidak ada.

“Jadi, kenyataan-kenyataan ini saya ingat, menunjukkan bahawa UMNO sebuah parti yang eksklusif. Minta maaf saya cakap; siapa nak bertanding, bertanding. Sekarang, satu pencalonanpun jalan, bertandinglah. Menang tak menang, cerita lain,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

MESRA DENGAN PENGUNJUNG... Menjadi amalan dan lumrah beliau untuk bermesra dengan rakyat sepertimana mereka - pengunjung yang ditemuinya pada Karnival Jom Heboh ini. 


AGAR UMNO KEKAL RELEVAN

Beliau yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan mengenai pemilihan parti, pada persidangan media selepas melawat ke Karnival Jom Heboh anjuran Media Prima Bhd pada tengah hari Sabtu, 8 Jun di sini.

Sekiranya UMNO ingin kekal relevan dan dilihat terbuka hingga boleh mendorong golongan terpelajar dan yang muda menyertainya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, kenyataan-kenyataan sepertimana yang telah dikeluarkan, patut dihentikan.

Sementelah pula katanya, kenyataan-kenyataan sebegitu memberi gambaran seolah-olah pucuk kepimpinan parti cuba mengongkong serta mengehadkan hak ahli-ahli parti hingga UMNO dilihat sebuah parti yang eksklusif.

“Saya berpendapat, siapa sahaja nak jadi calon, sila. Dapat pencalonan, jalan… Bukan pula dengan saya mengatakan demikian, saya tidak setia kepada Presiden, saya tidak setia kepada Timbalan Presiden, tidak…,” tegasnya.  

“Kalau kita mula buat kenyataan (yang) berbagai-bagai, yang nampak seperti mengongkong (kebebasan ahli untuk memilih); kita (akan dilihat seolah-olah) tidak demokratik lagi!” katanya lagi.

MASAK APA TU?... Gelagat Dato' Sri DiRaja Adnan semasa mengunjungi satu daripada tapak/gerai yang disediakan. 


'MR POSTMAN'... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bersahaja - dengan topi di kepala, menunggang basikal yang pernah menjadi kenderaan utama para posmen kita di negara ini. 


SAMBUT BAIK PENGANJURAN JOM HEBOH

Ketika ditanya tentang kemungkinan beliau menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan pucuk kepimpinan parti kali ini khususnya pada jawatan lebih tinggi katanya, beliau telahpun berusia 63 tahun yang cuba menyelesaikan ‘tugas-tugas mana yang patut’.

“Saya tidak perlu lagi selain (sebagai ahli) MKT (Majlis Kerja Tertinggi),” katanya.

Pada persidangan media yang sama, beliau turut ditanyakan mengenai penganjuran Karnival Jom Heboh selama dua (2) hari – pada hari ini, Sabtu dan esok, Ahad, 9 Jun lalu menjawabnya secara positif.

Selain ia menjadi wadah menyatu-padukan rakyat berbilang kaum sungguhpun tidak dinafikan tentang majoriti pengunjung ialah Melayu; menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, carnival ini juga dapat member peluang kepada industry-industri kecil dan sederhana untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka.

Yang mengiringi Dato’ Sri DiRaja Adnan sepanjang tempoh beliau melawat ke gerai-gerai Karnival Jom Heboh ini ialah Ketua Pegawai Strategik, Media Prima Bhd, Encik Seelan Paul. 


MEMBETULKAN KEDUDUKAN, UNTUK MULAKAN KAYUHAN... Tertarik dengan basikal yang dipamerkan di depan gerai Pos Malaysia, Dato' Sri DiRaja Adnan tidak teragak-agak mencubanya, lalu kayuhlah beliau kenderaan dua roda itu, di sekeliling tapak karnival. – Khabar