Saturday 22 June 2013

"Saya hanya menyatakan; Janganlah kita sibukkan sangat soal bertanding, tak bertanding. Kita parti demokratik," kata Dato' Sri DiRaja Adnan



… sambil terus konsisten dan menegaskan betapa, “Bukan saya tak menyokong Dato’ Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin”.

Ini ekoran kenyataan beliau pada Sabtu, 8 Jun lepas mengenai perkara yang sama, telah sengaja disalah-tafsirkan hingga dikatakan memberi tanggapan negatif terhadapnya.  

HADIAH BUAT TOKOH GURU KITA... Dato' Abdul Hamid riang disamping Menteri Besar kita, yang juga bekas seorang guru. Yang turut gembira, berdiri di sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan ialah Encik Rosdi. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, PEKAN – Sambil mengakui kenyataannya mengenai pucuk kepimpinan UMNO pada 8 Jun - atau dua Sabtu yang lepas, telah sengaja disalah-tafsirkan, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob terus tegas dan konsisten betapa;

“Saya hanya menyatakan; Janganlah kita sibukkan sangat soal bertanding, tak bertanding ni. Kita parti demokratik, itu saja. Bukan saya tak menyokong Dato’ Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin.

“Sebenarnya ‘emphasis’ saya pada masa itu ialah, jangan kita sibuk sangat soal bertanding, tak bertanding ini. Kita baharu lepas pilihanraya. Walaupun UMNO menambah kerusi (daripada) 79 (pada pilihanraya umum 2008) sampai 88, tapi kerusi kita Dewan Rakyat 133 sahaja.  

“Maknanya, penekanan saya ialah, jangan kita sibuk soal bertanding, tak bertanding,” katanya pada persidangan media sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri pagi Sabtu, 22 Jun di sini.

 Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, ditanya tentang kemungkinan kenyataannya pada 8 Jun telah disalah-tafsirkan hingga memberi gambaran negatif terhadapnya.

HADIRIN PAGI SABTU, DALAM KALANGAN GURU KITA... 


‘TAKKAN ORANG DI PAHANG TAK NAK DATO’ SRI NAJIB JADI PRESIDEN’

“Takkan orang di Pahang tak nak Dato’ Sri Najib jadi Presiden… tak nak Tan Sri Muhyiddin jadi Timbalan Presiden… Tak munasabah. Tapi ‘emphasis’ saya itu ialah, jangan kita sibuk menunjukkan seolah-olah kita tak demokratik. Itu saja,” tegasnya.

Beliau seterusnya menyoal balik mengenai siapa-siapakah yang difikirkan layak untuk menduduki kedua-dua kerusi tertinggi dalam parti UMNO itu jika tidak Dato’ Sri Mohd Najib dan Tan Sri Muhyiddin.

“Kita tetap menyokong Dato’ Sri Najib dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cuba, cuba sebut siapa yang boleh jadi Presiden, Timbalan Presiden. Cuba sebut.

“Buat masa ini, tak ada yang boleh jadi Presiden UMNO melainkan Dato’ Sri Najib Tun Razak, dan juga menjadi Timbalan Presiden UMNO melainkan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ulang-tegasnya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan menambah kata, tumpuan sekarang seharusnya dijuruskan kepada usaha untuk mengkaji tentang sebab-sebab rakyat tidak begitu memberikan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN).

MENDEPANI, RAKAN-RAKAN MEDIA KITA... 


‘TARSALAH BACA HATI ORANG’

Di Pahang sendiri katanya, UMNO bertanding di 31 kerusi Dewan Undangan Negeri dan menang 28 daripadanya. “Yang dua tu, kita nak tawan, tak boleh tawan – Beserah dengan Semantan. Yang ‘substantive’ kita kalah, Tanjung Lumpur. Yang lain, kita (UMNO) menang.

“Tapi tinggal lagi, kita tak boleh seronoklah. UMNO menang; yang MCA? Lapan bertanding, kalah enam. Gerakan, bertanding dua kalah dua. MIC, bertanding satu kalah satu.

“Apa maknanya? Jadi, itu yang kita hendak kaji sekarang ni, kenapa rakyat menolak kita (BN, di kawasan-kawasan berkenaan)? Itu mustahak,” katanya yang juga Pengerusi BN Negeri.

Sehingga kini katanya, beliau telahpun mengumpul ‘400 poin’ yang dilihatnya penyumbang kepada ketidak-penerimaan pengundi terhadap BN di kawasan-kawasan pilihanraya berkenaan.

“Antaranya?” tanya seorang wartawan kanan, lalu Dato’ Sri DiRaja Adnan menjawab, “Kita tak membaca hati orang. Kita tersalah baca hati orang. Orang bukan suka kita menunjuk-nunjuk, bergaya-gaya, berlagak-lagak.

NAIK 60 SEN PATUT, SELARAS DENGAN PBT DI NEGERI-NEGERI LAIN

“Pesanan Perdana Menteri dah khabar awal; jangan berlagak, jangan menunjuk. Tapi kita? Orang meluat tengok kita… Ha itu dia antara lainnya”.   
  
Beliau seterusnya memberitahu, beliau akan menemui masing-masing 14 Ketua UMNO Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian dan Ketua Puteri UMNO Bahagian; secara berasingan minggu depan.  

Hanya selepas pertemuan-pertemuan itu katanya, baharulah beliau akan memanggil dan mengadakan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri yang matlamatnya ialah bagi mengukuhkan lagi parti.  

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai keputusan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menaikkan kadar tiket letak kereta dalam kawasan pentadbirannya, daripada 45 sen sejam kepada 60 sen sejam, berkuatkuasa 1 Julai.

Kenaikan ini berpatutan dan pula selaras dengan kadar 60 sen yang sama yang telah dikenakan oleh pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara termasuklah yang dikuasai oleh parti-parti pembangkang selama ini.   

DATO’ ABDUL HAMID IALAH TOKOH GURU PAHANG 2013
  
Dan pula, adalah difahamkan bahawa, kadar 45 sen yang rendah malah paling rendah dalam kalangan PBT-PBT di seluruh negara, telah tidak dinaikkan sejak kira-kira tujuh tahun lepas lagi.

“Memanglah, kalau kita tak naik langsungpun tak boleh juga. Perlu juga naik,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Menaikkan kadar ini perlu untuk kita (MPK) buat belanja pengurusan sebagainya. Tinggal lagi yang mustahaknya ialah, masa. Sebelum pilihanraya, kalau kita naikkan, kita (akan) kalah pula pilihanraya.

“Sekarang ni, kita tak naik(pun), kita ‘kalah’ juga. Baiklah kita naikkan. Tapi, kenaikan itu bukan tidak berpatutan… Bukan soal pendapatan untuk MPK sangat. Tapi, masalah kesesakan lalulintas, itu yang mustahak,” katanya.

Sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri itu, Dato’ Abdul Hamid Mohd Shah telah dinamakan sebagai Tokoh Guru Pahang 2013 dan disampaikan hadiah oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan kepadanya.

Isteri kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan – Datin Sri DiRaja Junaini Kassim yang juga seorang guru, mengiringi suaminya ke sambutan ini. Antara yang turut hadir ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun; Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali; wakil rakyat, Dato’ Sheikh Mohd Fauzi Sheikh Ali (BN – Peramu Jaya); serta, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Encik Rosdi Ismail. – Khabar