Sunday 27 October 2013

Penduduk Lembah Tembeling terus nikmati pembangunan


@ Projek jalan tar RM121 juta sepanjang 22 km menghubungkan Kampung Tuit ke Kampung Pagi kini sudah 60 peratus siap

@ Peruntukan RM280 juta juga diperolehi daripada Kerajaan Pusat bagi pembinaan jalan sambungan lagi 35 km dari Kampung Pagi ke Kampung Bantal.

@ Projek pembiakan ikan ‘sturgeon’ bagi penghasilan telur ikan atau ‘caviar’ untuk pengeksportan, dengan pelaburan RNM120 juta oleh Felda Global Ventures (FGV)

@ Kerajaan Negeri luluskan Projek Agropolitan, termasuk pembinaan 639 unit rumah 3-bilik, 2-bilik air

@ Atas permintaan wakil rakyatnya, Kerajaan Negeri setuju peruntukkan kira-kira 450 ekar tanah SKC milik PKNP, untuk aktiviti-aktiviti ekonomi yang keuntungannya diberi kepada para peserta

APABILA MENTERI BESAR MENJALA... Ditemani antara lain Dato' Wan Amizan (bertopi putih), Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menebarkan jala di Sungai Pengau, cabang kepada Sungai Tembeling yang di luar sana. 

Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan bersempena lawatan sehari-suntuk Menteri Besar ke Hulu Tembeling pada hari minggu itu. 


KAMPUNG PAGI, HULU TEMBELING, JERANTUT – Penduduk Lembah Tembeling khususnya dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Tahan di sini, akan terus menikmati pembangunan dengan terlaksananya pelbagai lagi projek di sini.

Projek-projek itu ialah bagi pembinaan jalan tar sepanjang 22 km bernilai RM121 juta, menghubungkan Kampung Tuit ke Kampung Pagi ini yang kini sudahpun 60 peratus siap;

Pembinaan satu lagi projek jalan tar sepanjang 35 km bernilai RM280 juta menghubung-sambungkan Kampung Pagi ini ke Kampung Bantal;

Projek pembiakan ikan ‘sturgeon’ bagi penghasilan telur ikan atau ‘caviar’ untuk pengeksportan, dengan pelaburan RNM120 juta oleh Felda Global Ventures (FGV);

Kerajaan Negeri pula meluluskan Projek Agropolitan bagi manfaat sosio-ekonomi peserta/penduduk, termasuk pembinaan 639 unit rumah 3-bilik, 2-bilik air;

SEBAHAGIAN JALAN YANG AKAN DITAR DAN DILEBARKAN... Inilah bahagian akhir Jalan Kampung Tuit-Kampung Pagi, yang bukan sahaja akan ditar tetapi akan turut dilebarkan. 
  

MENTERI BESAR TINJAU PEMBINAAN JALAN KAMPUNG TUIT-KAMPUNG PAGI

Dan, atas permintaan wakil rakyatnya, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan kira-kira 450 ekar tanah SKC milik PKNP, untuk aktiviti-aktiviti ekonomi yang keuntungannya diberi kepada para peserta/penduduk.

Perkara-perkara ini diuar-uarkan dalam ucapan-ucapan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan wakil rakyat, Dato’ Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN – Tahan) pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar dengan penduduk gugusan kampung Hulu Tembeling pada tengah hari Ahad, 27 Oktober, di Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, di sini.

Sebelum itu, perjalanan darat kira-kira sejam dari Kuala Tahan ke sini dengan kenderaan pacuan 4-roda oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, turut menyaksikan beliau meninjau kemajuan pembinaan jalan tar Kampung Tuit-Kampung Pagi, yang asalnya ialah laluan lori pengangkut balak. 

Dalam ucapan luar teks 26-minitnya pada Majlis Ramah Mesra itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan memuji Dato’ Wan Amizan, yang menerusi usaha kerasnya, berjaya membawa beberapa projek pembangunan biayaan Kerajaan Persekutuan, ke Dewan Undangan Negeri kawasan Tahan ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana projek jalan bertar RM121 juta menghubungkan Kampung Tuit ke Kampung Pagi ini dapat dijayakan, yang asalnya tercetus katanya, “… sebenarnya sejak (wakil rakyat kawasan ini ialah) Allahyarhamha, Kak Long Kamariah lagi, disambung oleh Chu Rahimah; disambung pula oleh Ustaz Ahmad Jaafar.  

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 26-MINITNYA...

DATO’ WAN AMIZAN SUSUN SEMULA USAHA DAPATKAN PROJEK

“Mula lagi, memanglah pada setiap Dewan Undangan Negeri masa itu saya jadi ADUN biasa, lepas itu jadi Exco kemudian itu menjadi Menteri Besar; isu pembangunan di Tahan terutamanya hal jalan ini, dibawa setiap masa.

“Tapi Alhamdulillah, bila YB Dato’ Wan Amizan menjadi wakil rakyat, beliau telah menyusun semula projek ini dan beliau telah menggunakan daya usaha sendiri – pergi ‘memanjat’ ke Kementerian, pergi ‘memanjat’ ke EPU, Unit Perancangan Ekonomi (di Jabatan Perdana Menteri). Berjumpa Perdana Menteri.

“Akhir-akhirnya, beliaupun mendapatkan surat dari Menteri Besar. Saya tak sangka, rupa-rupanya surat Menteri Besar yang dibawa oleh Dato’ Wan tadi, rupanya laku. Lepas dapat surat itu baharulah terlaksana projek ini dan orang yang patut berterima kasih antara lain ialah (kepada) bekas Menteri Kemajuan Wilayah ketika itu Tan Sri Aziz Shamsuddin,” katanya yang serentak itu diikuti tepukan oleh para hadirin sekelian.

“Terima kasih kepada Dato’ Wan kerana menyusun. Terima kasih kepada MB kerana keluarkan surat,” katanya disambut tepukan lagi sambil beliau tegaskan tentang perlunya penduduk dan JKKK bekerjasama dengan wakil rakyat mereka, yang boleh memudah dan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan ini.

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas lanjut mengenai projek jalan Kampung Tuit-Kampung Pagi yang kadar siapnya kini ialah kira-kira 60 peratus.

DARI 'ANGLE' SEBERANG SUNGAI... Lagi aksi Menteri Besar kita sedang menebarkan jala, serta berjaya juga mendapat seekor-dua ikan lampam bersaiz sederhana besarnya.

DENGAN ADANYA JALAN, TAHAN DAPAT DIBANGUNKAN LAGI

“Dengan adanya rangkaian jalanraya ini insyaAllah, kawasan ini boleh dibuka lagi dan satu masa juga (kelak), akan ada jalan yang menghubungi Jerantut ke Sungai Lembing (di Kuantan). Itupun dalam ‘pipeline’ juga, dalam perancangan,” katanya.

Kepada permintaann Dato’ Wan Amizan dalam ucapannya sebelum itu, supaya sebuah Rancangan Tanah Kelompok diwujudkan yang boleh dimanfaati oleh para penduduk sebagai peserta katanya, Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan permintaan tersebut.

“Kita telah bersetuju supaya pihak PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang) yang telah diluluskan kawasan Sijil Kebenaran Mencari-gali (SKC), untuk menyerahkan balik kepada Kerajaan tanah seluas 450 ekar, dengan tujuan untuk diberikan kepada orang kampung untuk aktiviti pertanian dan lain-lain,” katanya.

Selain Dato’ Wan Amizan, yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri 1, Dato’ Mohd Ridzwan Mohd Tahar; Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Mahadiah Mohamad; Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Dato’ Zulki-fly Osman; Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Syed Abdul Mutalib Mohd Hassan; dan Ketua Eksekutif, PKNP, Dato’ Lias Mohd Nor.

DALAM PERJALANAN PULANG... Dari jeti Kampung Pagi, untuk kembali ke Kuala Tahan dengan menaiki bot panjang 40 kuasa kuda, menempuhi lima (5) jeram termasuk yang agak 'adventurous', Jeram Panjang dan Jeram Dedari. Perjalanan menghiliri Sungai Tembeling ini mengambil masa kira-kira 40-minit untuk tiba ke destinasi. – Khabar