Saturday 30 November 2013

Membanggakan; Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub ialah johan Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2013!



… hadiah kemenangan RM50,000 dan trofi disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin   

JUARA, KEBANGGAAN KITA...


KAMPUNG GALI TENGAH, RAUB – Kampung Peruas, Ulu Dong dekat sini telah membanggakan kita rakyat Pahang, apabila diumumkan sebagai johan Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2013.

Penyertaan kampung ini dengan projek pelancongan desa, telah menewaskan sembilan (9) penyertaan lain yang telah disenarai-pendekkan bagi anugerah tertinggi tersebut, selain daripada sembilan (9) lagi yang lain di peringkat zon.

Dengan kemenangan ini, Kampung Peruas – yang diterokai dan diduduki sejak 1890-an dalam kawasan seluas kira-kira 478 hektar dan kini mempunyai seramai 508 penduduk, membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diiringi oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato’ Sri Mohd Shafie Apdal pada pagi Sabtu, 30 November di sini.

Menurut maklumat yang disediakan oleh pihak urusetia Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2013, projek pelancongan desa merupakan ‘taruhan’ Kampung Peruas dalam penyertaan mereka kali ini.

WAJAH RIANG PEMIMPIN KITA...


PELANCONGAN DESA DENGAN ALAM SEKITAR TERPELIHARA

“Dengan sungai yang cantik, berjeram dan kualiti air bersih serta dingin dan ditambah dengan hutan yang kaya dengan flora dan fauna menjadikan Kampung Peruas sangat popular dalam sector pelancongan.

“Projek ini telah bermula pada tahun 2007 dengan mengetengahkan Pusat Rekreasi Pulau Chekas dalam Anugerah Ilham Desa.

“Pada tahun 2009, melalui Program Pelan Tindakan Desa, Kampung Peruas memberi fokus dalam aspek pelancongan. Melalui program ini, Kampung Peruas telah mewujudkan Kompleks Pelancongan Pulau Chekas dengan membangunkan sebuah pusat penginapan yang lengkap dengan kemudahan seperti chalet, bilik mesyuarat, surau, dewan terbuka, astaka, pondok kawalan dan kemudahan memasak.

“Melihat sektor ini semakin mendapat tempat, Kampung Peruas meluaskan komitmen pelancongan melalui program ‘homestay’”.      

Tempat kedua dimenangi oleh Kampung Parit Warijo, Batu Pahat, Johor dengan projek ternakan kambing, arnab dan pengeluaran baja organik, dan menerima hadiah wang tunai RM40,000 serta trofi.

APABILA PEMIMPIN NO 2 NEGARA KITA BERUCAP... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini tekun mendengar ucapan Tan Sri Muhyiddin ialah Dato' Alexander.


UCAPAN LUAR TEKS 23-MINIT TPM

Manakala ketiga oleh Kampung Batu 26, Kulim Bandar Baharu, Kedah dengan projek alat penetasan unggas, dan menerima hadiah wang tunai RM30,000 serta trofi.

Sebelum itu, dalam ucapan luar teks 23-minitnya, Tan Sri Muhyiddin antara lain telah menyebut tentang kepentingan rakyat khususnya di luar untuk berinovasi dan berkreativiti, yang akhirnya dapat turut meningkatkan pendapatan mereka.

Semasa negara kita mencapai kemerdekaan dahulu katanya, ia hanya bergantung kepada dua (2) sumber kekayaan iaitu bijih timah dan getah yang jika diteruskan kebergantungan sebegitu hingga kini, negara ini mungkin kekal miskin sepertimana negara-negara lain.

Beliau memberikan contoh beberapa negara di Afrika dan Asia, yang di sebalik telah merdeka lebih lama daripada negara kita, tetapi tidak dapat dibangunkan dengan secara yang tersusun dan terancang.

Ini termasuklah negara-negara yang pada peringkat awal dahulu, adalah hampir sama tahap pencapaian mereka dengan negara kita tetapi kini katanya, negara kita pula yang telahpun jauh meninggalkan mereka.

ANTARA KEPIMPINAN NEGERI YANG TURUT HADIR... Yang turut kelihatan ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin; Dato' Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Dato' Wan Rosdy Wan Ismail; Dato' Norol Azali Sulaiman; wakil rakyat, Dato' Abdul Aziz Kiram (BN - Batu Talam); Dato' Ismail; wakil rakyat-wakil rakyat parlimen, Dato' Abdul Rahman Mohamad (BN - Lipis) dan Encik Mohd Nazlan Idris. 


MALAYSIA NEGARA MEMBANGUN PALING MAJU

“Kita sudah berada di barisan hadapan dan Malaysia sudah menjadi antara negara membangun yang paling maju sekali di dunia pada hari ini, Alhamdulillah,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Menerusi wawasan yang dikemudikan oleh kepimpinan Kerajaan yang ingin melihat negara kita setanding dengan negara-negara lain katanya lagi, pelbagai usaha dan langkah diambil dengan tidak lagi terlalu tertumpu kepada sector-sektor tradisional.

“Kita merancang dan dengan perancangan itu serta didokong dan disokong oleh rakyat-jelata terutamanya yang berada di kawasan-kawasan luar bandar, hari ini, Malaysia sudah berubah wajah.

“Malaysia sudah tidak seperti dahulu. Malaysia tidak lagi merupakan sebuah negara yang dikenali sebagai negara pertanian sahaja tetapi sudah berubah wajahnya menjadi sebuah negara perindustrian baharu.

“Negara yang tidak hanya maju dalam sektor pertanian sudah berkembang, masuk dalam sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan, industri gas dan juga lain-lain sektor seperti pelancongan , pembinaan dan sebagainya.

HADIRIN DAN HADIRAT SEKELIAN... Di bawah 'marque tent' yang luas inilah berteduhnya para hadirin daripada hujan yang turun sepanjang majlis berlangsung, yang bagaimanapun, tidak menjejaskan perjalanan serta kemeriahan majlis pagi Sabtu itu.


INILAH MAKSUD INOVASI, KREATIVITI

“Maka, inilah yang dimaksudkan dengan inovasi. Inilah yang dimaksudkan dengan kreativiti iaitu dengan kebijaksanaan kepimpinan kita melihat ke hadapan walaupun sumber negara kita waktu awal agak terbatas dan terhad. Malahan hasil kita di peringkat awal tidak sebanyak mana.

“Tetapi dengan kebijaksanaan, dengan kepemimpinan, dengan ilmu, dengan pengetahuan dan dengan ada sikap berani untuk meneroka ke depan walaupun kita tidak mengetahui apakah cabaran-cabaran yang mendatang, maka hari ini, Malaysia sudah berubah wajah.

“Tengok sahajalah contohnya negeri Pahang dahulu, negeri Pahang pada hari ini. Raub dahulu, Raub pada hari ini, jauh berbeda, berkat sokongan rakyat dan Kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional ini,” katanya.

Beliau seterusnya menyebut tentang pentingnya pembangunan menyeluruh Kerajaan laksanakan yang sekaligus menidakkan cakap-cakap jika ada, tentang tumpuan Kerajaan sekadar hendak memajukan kawasan-kawasan yang sudah sedia maju khususnya di bandar-bandar, hingga meminggirkan luar bandar.

“Itu bukan dasar kita. Sebab itu kita tubuhkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang dipimpin oleh seorang tokoh UMNO yang berkaliber, Dato’ Sri Shafie Apdal ini, (yang) telah memaju dan membangunkan sektor luar bandar menjadi sektor yang dinamik, sektor yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara kita.

JUGA KERANA ADA KEBERANIAN KEPIMPINAN

“Dan ini adalah kerana adanya keberanian dikalangan kepimpinan dan sokongan daripada masyarakat luar bandar untuk bekerjasama dengan Kerajaan supaya kita dapat majukan kawasan-kawasan kita sebagai kawasan yang berpotensi, kawasan yang boleh menjana hasil pendapatan yang tinggi dan boleh meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya lagi.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan dan Dato’ Sri Mohd Shafie; yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Alexander Nanta Linggi; Pengerusi, Jawatankauasa Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahiruddin Ab Moin yang juga wakil rakyat kawasan itu (BN – Dong); serta, Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Dato’ Ibrahim Mohamad; Ketua Pengarah, Institut Kemajuan Desa (INFRA), KKLW, Encik Hasnan Hassan, serta, Pegawai Daerah Raub, Dato’ Ismail Mohd Ali. – Khabar