Tuesday 26 November 2013

RM30,000 seorang!!!


… pemberian sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada pasukan bolasepak Pahang yang menjuarai Piala Malaysia 2013.

“Kalau ada pihak yang mempertikaikan kenapa beri sikit sangat? Kita katakan RM30,000 bukan sikit.

“Tapi kalau ada yang mengatakan, kenapa beri banyak sangat? Sebenarnya, RM30,000 bukanlah hadiah untuk kita beri kepada pemain-pemain yang membawa balik piala ini.

“Sebenarnya, usaha gigih ini tidak dapat dinilai dengan wang ringgit – bukan sahaja (usaha gigih) pemain-pemain tetapi Presiden sendiri, YAM Tengku Muda Pahang. Tetapi, banyak tanda berlebih, sikit tanda ingat. Kalau sikit RM30,000 itu, tanda Kerajaan ingat kepada semua pemain-pemain,” kata Menteri Besar.

PELOPOR & PENDOKONG KEBANGKITAN BOLASEPAK NEGERI KITA... Kedua-dua tokoh negeri, YAM Tengku Muda Pahang dan Dato' Sri DiRaja Adnan, sedang melakukan 'pose' bersama-sama Piala Malaysia yang kita jadi juara buat kali ketiga selepas kejayaan tahun 1983 dan 1982; dan tahun ini.  

 
HOTEL ZENITH, KUANTAN – Kerajaan Negeri menetapkan pemberian RM30,000 seorang kepada para pemain dan mereka yang terlibat dengan pasukan bolasepak negeri, yang telah menjuarai Piala Malaysia 2013, pada malam ‘final’ 3 November lepas.

Berita baik ini diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, pada majlis makan malam meraikan kejayaan pasukan Pahang selaku juara, yang turut dihadiri YAM Tengku Muda Pahang, Selasa, 26 November di sini.

“Mulanya kita fikir, kalau RM10,000 sikit sangat. Kalau RM50,000 seorang banyak sangat.

“Jadi kita telah ambil jalan pertengahan iaitu, semua yang bertanggungjawab dan akan ditentukan oleh YAM Tengku Muda Pahang – pemain-pemain, pegawai-pegawai, termasuk yang mengangkat baldi air sebagainya, tukang balut, tukang urut semua; kita ambil keputusanuntuk beri RM30,000 seorang,” katanya yang serentak itu menderaikan tepukan gemuruh mereka yang hadir khususnya para pemain.

“Kalau ada pihak yang mempertikaikan kenapa beri sikit sangat, kita katakan RM30,000 bukan sikit.

UCAPAN LUAR TEKS 12-MINIT MENTERI BESAR KITA... 


BANYAK TANDA BERLEBIH, SIKIT TANDA INGAT

“Tapi, kalau ada yang mengatakan, kenapa beri banyak sangat? Sebenarnya, RM30,000 bukanlah hadiah untuk kita beri kepada pemain-pemain yang membawa balik piala ini.

“Sebenarnya, usaha gigih ini tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Bukan sahaja (usaha gigih) pemain-pemain tetapi Presiden sendiri, YAM Tengku Muda Pahang. Tetapi, banyak tanda berlebih, sikit tanda ingat. Kalau sikit RM30,000 itu, tanda Kerajaan ingat kepada semua pemain-pemain,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau berharap, para pemain khususnya, dapat memanfaatkan pemberian Kerajaan Negeri itu dan betapa jika dapat menjuarai lagi piala tersebut musim depan dan pula berasaskan kepada kemampuan Kerajaan Negeri, pemberian itu mungkin dilipat gandakan sama ada ‘double’ atau ‘tripple’.

Beliau turut mengingatkan para pemain supaya berusaha lebih bersungguh-sungguh serta akur betapa kejayaan yang dikecapi sekarang – selain dorongan dan bimbingan oleh  YAM Tengku Muda Pahang; ialah kerana pemupukan disiplin diri sendiri.

“Kejayaan kita (pemain-pemain) sebenarnya sikit-sebanyak, adalah disebabkan oleh pemain-pemain Pahang mempunyai disiplin, komitmen yang paling tinggi. Itu sebab kita berjaya,” katanya disusuli tepukan sekali lagi.

DI MEJA UTAMA... Selain YAM Tengku Muda dan Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan ialah Dato' Ishak serta beberapa ahli Exco Kerajaan Negeri di meja berhampiran. 


VISION’ YANG TERCAPAI

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan dalam apa juga bentuk yang difikirkan sesuai, bagi memastikan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang diterajui oleh YAM Tengku Muda Pahang, dapat menguruskan pasukan negeri dengan baik bagi menghadapi pelbagai pertandingan.

Pada awal ucapan luar teks 12-minitnya lagi, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah memberikan kata-kata pujian yang tinggi terhadap YAM Tengku Muda Pahang, yang disebutnya secara ‘single-handedly’ mengemudi pasukan bolasepak negeri ini ke arah kejayaan.

“Patik berasa sangat bangga dan pada ketika yang sama, sangat terharu kerana patik telahpun mengikuti kepimpinan YAM Tengku dalam Persatuan Bolasepak Negeri Pahang ini, sejak beberapa tahun yang lalu.

“Yang lebih membanggakan patik ialah, ‘vision’ atau pandangan jauh YAM Tengku kerana dengan pandangan jauh ini, ‘vision’ ini, maka hasrat untuk Pahang menjadi juara akhirnya tercapai, setelah menjadi juara kali pertama 1983, kemudian, kalau tak silap patik, 1992, akhirnya 2013.

“Patik katakan bahawa kejayaan ini sebenarnya boleh dikatakan ‘single-handedly’, ‘as a result of’ Tengku Muda punya kerja-kerja,” katanya disusuli tepukan gemuruh oleh para hadirin.

ANTARA PEMAIN-PEMAIN KEBANGGAN KITA... 


ANGKAT TABIK KEPADA YAM TENGKU MUDA PAHANG

Menurutnya, beliau telah mengikuti bagaimana YAM Tengku Muda Pahang menubuhkan pasukan peringhkat kelab – Shahzan Muda yang ketika itupun beliau sendiri agak ragu-ragu dengan keberkesanannya sementelah penubuhannya turut membebankan PBNP daripada segi kewangan dan pengurusan.

Bagaimanapun beliau mendapati, pandangan jauh YAM Tengku Muda Pahang terbukti berjaya dengan keupayaan menjadikan kelab Shahzan Muda sebagai ‘feeder’ serta ‘graduate’ kepada kesebelasan pertama pasukan negeri Pahang bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

“Dan akhirnya, pada tahun 2013, nyata sekali, pandangan jauh, perancangan dan juga ‘vision’ YAM Tengku telahpun membuahkan hasil dengan Pahang menjadi juara Piala Mayalsia,” katanya yang sederap itu dewan bertepukan gemuruh lagi.

“Oleh sebab yang demikian YAM Tengku, patik dengan rakan-rakan dalam Kerajaan, berasa sangat terharu, sangat terhormat, dan patik angkat tabik kepada YAM Tengku…,” yang disusuli tepukan lagi, “… kerana, sebenarnya sikit-sebanyak YAM Tengku, mewarisi kebijaksanaan Paduka Ayahanda, KDYMM Tuanku Sultan Pahang,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir pada majlis makan malam itu ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad; Setiausaha Kerajan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail yang juga Timbalan Presiden, PBNP;


Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Johari Husin; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Norzan Ahmad; wakil rakyat-wakil rakyat Kerajan; dan, Ketua Jurulatih pasukan, Encik Dollah Salleh. – Khabar