Tuesday 10 December 2013

Kerajaan Negeri akan batal kelulusan tanah 250 ekar di Gambang kepada Waras Mekar



… atas alasan ia tidak memulakan projek selepas dua (2) tahun kelulusan diberi untuk projek pembangunan bercampur (rumah kediaman dan rumah kedai),

dan,

tidak menjelaskan bayaran premium tanah sebanyak RM20 juta sebagaimana syarat-syarat kelulusan, kata Menteri Besar.

“Kerajaan Negeri Pahang tidak akan membenarkan projek yang disebut sebagai 1Malaysia Spiritual Tourism City atau 1MST, dibuat di negeri Pahang Darul Makmur,” tegasnya.      


ALAMAYA, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kerajaan Negeri yang sejak 2 Oktober lepas lagi menafikan sebarang kelulusan tanah untuk membangunkan apa yang disebut 1 Malaysia Spiritual Tourism (1MST) City, hari ini mengumumkan akan membatalkan kelulusan tanah 250 ekar berkenaan kepada syarikat milik Bumiputara – Waras Mekar Sdn Bhd.

Pembatalan tersebut ekoran syarikat berkenaan (Waras Mekar Sdn Bhd) tidak juga memulakan projek pembangunan bercampur perumahan dan perkedaian sepertimana dipersetujui, selepas tempoh dua (2) tahun ia diluluskan.

Dan pula, syarikat yang sama masih tidak menjelaskan bayaran premium tanah seluas 250 ekar yang terletak di Gambang dekat sini, sebanyak RM20 juta sebagaimana syarat-syarat kelulusan.

Ini ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan malam ini, Selasa, 10 Disember.

Pengeluaran kenyataan ini dipercayai ada kaitan dengan desas-desus dalam media sosial, mengaitkan kelulusan Kerajaan Negeri terhadap projek 1MST tersebut yang tidakpun benar, dengan kejadian banjir teruk yang melanda negeri ketika ini.  

KENYATAAN AKHBAR SEPENUHNYA

“Kerajaan Negeri Pahang tidak akan membenarkan projek yang disebut sebagai 1Malaysia Spiritual Tourism City atau 1MST dibuat di negeri Pahang Darul Makmur,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam kenyataan itu lagi.

Berikut disiarkan sepenuhnya, kenyataan akhbar beliau;

“Pada bulan Mei 2011, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan tanah seluas 250 ekar di Gambang kepada sebuah syarikat Melayu, Waras Mekar Sdn Bhd, untuk tujuan pembangunan bercampur (membina rumah kediaman dan rumah kedai).

“Syarikat ini telah mencari rakan kongsi untuk tujuan ini. Salah sebuah syarikat yang dirundingi Waras Mekar ialah Enchant Acres Sdn Bhd dengan tujuan untuk pembangunan bercampur.

“Belumpun apa-apa persetujuan dicapai, Enchant Acres Sdn Bhd telah membuat iklan untuk mewujudkan 1Malaysia Spiritual Tourism City dan menjual lot-lot dengan tujuan mewujudkan satu tanah perkuburan untuk orang-orang bukan Islam khususnya orang Cina.

ORANGRAMAI TERTIPU DENGAN ENCHANT ACRES  

“Enchant Acres telah mengutip wang daripada bakal pembeli. Pihak Kerajaan Negeri menerima aduan daripada ADUN PKR (kawasan) Teruntum menyatakan beliau menerima aduan daripada ramai orang yang telah membayar wang membeli lot-lot kubur.

“Maknanya, orangramai ini telah ditipu oleh Enchant Acres Sdn Bhd. Ini jelas satu penipuan yang dilakukan oleh Enchant Acres Sdn Bhd. Pihak Waras Mekar Sdn Bhd telahpun membuat laporan polis terhadap Enchant Acres Sdn Bhd.

“Kerajaan Negeri akan membatalkan kelulusan kepada Waras Mekar Sdn Bhd atas alasan Waras Mekar tidak memulakan projek selepas dua (2) tahun kelulusan diberi dan tidak menjelaskan bayaran premium tanah sebanyak RM20 juta sebagaimana syarat-syarat kelulusan.

“Kerajaan Negeri Pahang tidak akan membenarkan projek yang disebut sebagai 1Malaysia Spiritual Tourism City atau 1MST dibuat di negeri Pahang Darul Makmur”. – Khabar