Friday 20 December 2013

Lagi bantuan dan sumbangan untuk mangsa banjir




… kata Perdana Menteri pada majlis penyerahan bantuan RM500 – yang pertama selepas pengumuman mengenai bantuan itu pada Sabtu, 7 Disember; kepada mangsa-mangsa banjir daerah Temerloh.

TILAMPUN DAPAT... Seorang daripada mangsa banjir kelihatan lega setelah menerima sumbangan termasuklah tilam (di belakangnya) dan dapur. Selain Perdana Menteri, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri DiRaja Adnan; Dato' Abdul Azeez; dan, wakil rakyat parlimen (BN - Rompin), Dato' Sri Jamaluddin Jarjis. 


PERKARANGAN, MASJID ABU BAKAR, TEMERLOH – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak berada di sini, pagi Jumaat, 20 Disember bagi menyampaikan sumbangan RM500 kepada mangsa-mangsa banjir daerah Temerloh ini.

Penyampaian ini ialah yang pertama bagi negeri-negeri dilanda banjir baru-baru ini, sejak beliau yang juga Presiden UMNO, umumkan tentangnya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu, 7 Disember di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Duni Putera (PWTC), Kuala Lumpur.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, antara yang turut hadir pada majlis penyampaian ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Shahidan Kassim; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; serta, Presiden, Kelab Putera 1Malaysia, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim.        

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) antara lain melaporkan tentang kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan bagi membuat sumbangan yang lebih kepada mangsa-mangsa banjir.

Menurut Perdana Menteri, beliau sedar betapa sumbangan RM500 kepada setiap keluarga adalah belum memadai ekoran kebanyakan mangsa banjir mengalami kerugian yang besar akibat bencana berkenaan.

SUMBANGAN RM5 JUTA KERAJAAN NEGERI PULA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada Tabung Bencana Negeri yang diterima oleh Dato' Sri Muhammad Safian sambil Perdana Menteri menjadi saksi. 
 

PM SANGAT PRIHATIN TERHADAP MANGSA BANJIR

“Saya sangat prihatin terhadap permintaan mangsa-mangsa banjir di seluruh negara terutamanya di Pahang.

“Saya sendiri lihat keadaan di (Perkampungan) Sungai Isap, Kuantan. Saya lihat (kesan-kesan) air banjir hingga ke bumbung, sampai tiga hari. Saya dapat bayangkan kerosakan yang terpaksa dialami oleh setiap keluarga,” beliau dipetik sebagai berkata.

Perdana Menteri juga dilaporkan sebagai berkata, betapa menurut jangkaannya, setiap keluarga di perkampungan tersebut yang teruk terjejas banjir, mengalami kerugian antara RM25,000 dan RM30,000.

“Daripada segi kerugian kewangan, sumbangan Kerajaan (Persekutuan sebanyak RM500) perlu ditingkatkan. Kita perlu lihat kepada sumber tambahan. Hari ini, kita menjalankan program khas oleh Kelab Putera 1Malaysia,” katanya.

Program khas yang dimaksudkan, sepertimana kata Dato’ Abdul Azeez pula, ialah sumbangan peralatan seperti tilam, bantal serta dapur yang masing-masingnya berjumlah 29,921 buah (tilam); 59,842 butir (bantal) dan 29,921 buah (dapur).

ANTARA RAMAINYA KHALAYAK, MAJLIS PAGI JUMAAT INI... 


TABUNG HAJI TURUT MENYUMBANG

Dato’ Abdul Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji, turut menyebut tentang sumbangan lembaga tersebut yang termasuklah masing-masing 10,000 helai kain sarung, kain batik, tudung dan sejadah.

Selepas majlis tersebut, Dato’ Sri Mohd Najib yang diiringi Dato’ Sri DiRaja Adnan dan yang lain, menunaikan solat Jumaat bersama-sama dengan para jemaah. – Khabar