Wednesday 18 December 2013

Merdeka 'tak' Centre 2


… analisis kita pula mengenai kedangkalan kaedah penyelidikan Merdeka Centre.

KAEDAHNYA DIPERTIKAIKAN... Bolehkah dengan jumlah responden yang kecil berbanding 28 juta rakyat negara ini mahupun 1.5 juta penduduk Pahang, menyumbang kepada ketepatan hasil penyelidikannya?

 
NOTA EDITOR :

Berikut disiarkan kembali bahan berita yang asalnya disiarkan pada 24 Januari lepas (2013). Ia berdasarkan pengalaman ‘1st hand’ penulis dengan kakitangan pusat penyelidikan ini yang ketika itu dikatakan, sedang membuat penyelidikan mengenai pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Ini mungkin juga boleh dijadikan pedoman dalam  pada kita disogokkan dengan jumpaan terbaharu pusat yang sama, yang telah dikutip dan disiarkan oleh portal berita pembangkang, satu daripadanya menguar-uarkan – dengan sandaran cuma 1,005 responden;

Betapa kononnya hampir separuh rakyat negara ini (hanya berdasarkan jawapan oleh 1,005 orang responden tersebut) menyatakan negara kita bergerak ke arah yang salah, dan, betapa populariti Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak telah jatuh kepada ‘a new low’ kira-kira 52 peratus pada bulan Disember ini.      


 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Jika orang utara kata; ‘Otak hang tak centre’, ia merujuk kepada seseorang yang dikatakan sebagai tidak siuman atau tidak berapa ‘betul’.

Apabila penulis menempelak Merdeka Centre – firma penyelidikan pendapat (ENG: An opinion research firm) sebagai Merdeka ‘tak’ Centre, ia bermaksud, ada yang tidak kena pada kaedah penyelidikan mereka.

Yang daripada kaedah penyelidikan yang tidak kena inilah juga, memberi kesan kepada analisis seterusnya kesimpulan tidak tepat mengenai sesuatu perkara oleh firma ini sepertimana yang telah terbukti selama ini.

Baharu petang tadi, Khamis, 24 Januari, penulis menerima panggilan daripada yang tertera pada skrin telefon – ‘Unknown Number’. Oleh kerana biasanya yang sebegini ialah panggilan daripada ‘Big Boss’ maka bersegeralah penulis menjawab, sungguhpun sudah berwuduk untuk menunaikan solat Asar.

Rupa-rupanya bukan daripada ‘Big Boss’ tetapi daripada seorang bersuara gadis, memperkenalkan diri daripada Merdeka Centre, mahu bertanyakan katanya 20 soalan, mengenai negeri Pahang.

CUMA 1,000 RESPONDEN BERBANDING 1.5 JUTA RAKYAT PAHANG?

“Ok,” kata penulis. “Tapi sebelum itu, berapa ramai responden yang ‘you’ nak kena dapat ni?” tanya penulis yang dijawabnya tanpa ragu-ragu, “1,000 orang”.

“1,000 sahaja? Kita ada 1.5 juta penduduk Pahang. Takkanlah dengan 1,000 orang (yang tak sampaipun 1 peratus atau lebih tepat, 0.06 peratus) maka pendapat 1,000 orang ini boleh mewakili 1.5 juta penduduk negeri ini?” tanya penulis lagi.

“Katalah apa yang saya nak jawab kepada soalan ‘you’ ni, adalah sepenuhnya berbeza daripada apa yang akan dijawab oleh 999 lagi responden lain. Adakah ini bermakna kesimpulan you nanti ialah 99.9 peratus penduduk Pahang mempunyai pendapat yang berbeza sama sekali daripada saya?” tanya penulis lagi.

“Saya cuma disuruh tanya soalan Encik,” jawab gadis Merdeka Centre berkenaan, lalu penulispun bersimpati dan memintanya memulakan sesi pertanyaan menurut soalan-soalan yang telah disedia-bekalkan kepadanya.

Pada peringkat awal sepertimana biasa, persoalan berkisar kepada latar belakang penulis seperti umur, pendapatan bulanan keluarga; menjalar kepada persoalan tentang tarikh mula mengundi pada pilihanraya serta parti manakah pilihan penulis ketika itu.

‘SEMESTINYA TETAP UNDI BN’

Kepada soalan tentang masihkah parti yang penulis undi itu akan kekal menjadi pilihan pada pilihanraya umum kali ini, dengan segera penulis menjawab, “Sudah semestinya tetap undi BN, sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen”.

Selepas daripada inilah, soalan-soalan yang ditanyakan lebih bersifat ‘leading questions’ dan pula menjurus kepada ‘semuanya yang tidak betul sahaja’ mengenai Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri pimpinan BN dan responden jika tidak berhati-hati, tentu akan terjerumus untuk mengiyakannya.

Misalnya, ada soalan yang ditanyakan meminta penulis memilih dua (2) sahaja daripada tujuh (7) perkara yang tidak baik tentang Kerajaan BN. Jawab penulis, “Tidak satupun” yang segera cuba diperbetulkan oleh gadis tersebut, “Tak boleh Encik. Encik kena pilih dua (2)”.

“Kalau begitu, jawapan saya, ‘Tidak satupun daripada ketujuh-tujuh perkara’. Jadikan ia sebagai tambahan, sebagai perkara kelapan (8),” kata penulis mengarahkan, entah diakurkannya ke tidak.

Penulis lebih terhidu tentang sifat ‘leaning’ (yang sudah tentunya bukan terhadap Kerajaan BN) firma penyelidikan ini apabila tiba kepada soalan berkaitan isu-isu semasa, dan sekali lagi meminta penulis memilih dua (2) daripada tujuh (7) isu tersebut yang dianggap lebih menjadi perhatian penulis.

‘TIDAK SATUPUN’

Kata penulis, “Tengok. Semua ketujuh-tujuh isu ini you kutip daripada apa yang dimainkan oleh pihak pembangkang sedangkan sebenarnya, ia bukan isu di negeri ini. Jawapan saya, nombor lapan (8), ‘Tidak satupun’”.

Elemen mengadu-dombapun penulis terasa apabila ada soalan yang menanyakan pendapat penulis mengenai kepimpinan negeri BN yang ada, dan apakah pula pendapat penulis dengan beberapa tokoh lain dari BN yang sama, yang nama-nama tersebut sering sengaja diuar-uarkan oleh puak-puak pembangkang.  

Akhirnya gadis itu meminta penulis seolah-olah membuat ‘summary’ kepada apa yang hendak penulis katakan maka katalah penulis antara lainnya, “Mohon Merdeka Centre buat kajian lebih profesional lagi dengan soalan-soalan bersifat lebih ‘neutral’ dan benar, lalu tidak menyebabkan orang seperti saya was-was kepadanya”.

Sama-samalah kita nantikan ‘outcome’ kepada penyelidikan terbaharu oleh Merdeka Centre ini, dengan berasaskan kepada cuma 1,000 responden termasuklah kakitangan kerajaan seperti penulis ini.

Dan ‘outcome’ ini penulis percaya, pasti segera dilaku dan diumumkan sebelum pilihanraya umum ke-13 ini, yang tarikh akhir sah-laku Parlimen kita ialah pada 28 April ini. – Khabar