Wednesday 4 December 2013

Pulang segera ke kawasan, tolong mangsa banjir!!!



… arahan Menteri Besar kepada wakil rakyat-wakil rakyat Barisan Nasional (BN)  – negeri mahupun parlimen, serta ketua-ketua UMNO Bahagian di kawasan-kawasan terbabit banjir 

LAWAT-TINJAU KE PUSAT PEMINDAHAN MANGSA BANJIR DI SEKOLAH RENDAH KEBANGSAAN CHUNG CHING... 

SEBUAH LOKASI, KUANTAN – Wakil rakyat-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) – negeri dan parlimen, serta ketua-ketua UMNO Bahagian di kawasan-kawasan terbabit banjir di negeri ini, diarah segera kembali ke kawasan masing-masing bagi membantu mangsa-mangsa bencana itu.

Arahan ini dikeluarkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dalam pada wakil rakyat-wakil rakyat berkenaan dan ketua-ketua UMNO Bahagian, sudah berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sedang berlangsung sekarang.

“… saya arahkan semua ketua-ketua bahagian, ahli-ahli parlimen dan juga wakil rakyat Barisan (Nasional) (segera pulang) sebab itu kerja kita, menolong orang. Kerja Pakatan Rakyat (PR) mencaci orang sahaja, tak boleh ikut sangat.

“Kita dah minta dia orang (wakil rakyat-wakil rakyat BN dan ketua-ketua UMNO Bahagian) balik ke kawasan masing-masing,” katanya di sini, pada persidangan media selepas melawat-tinjau ke kawasan-kawasan terbabit banjir di daerah Kuantan ini pada petang Rabu, 4 Disember.

Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri sepatutnya berada di Kuala Lumpur sejak semalam, bagi mengikuti beberapa acara sebelum bermulanya PAU dengan perasmiannya oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pagi esok, Khamis, 5 Disember.

MENAIKI TRAK TENTERA... 


BERKORBAN, DEMI RAKYAT-JELATA DILANDA BENCANA

Namun, ini terpaksa dikorbankannya lalu terus berada di Kuantan ini semata-mata bagi menyaksikan kelancaran pengurusan bencana banjir itu lalu dapat turut meringankan beban mangsa.

Dan semasa lawat-tinjaunya hari ini dengan menaiki trak tentera, beliau masih sempat menghulurkan bantuan dengan memastikan seorang ibu sarat mengandung bersama-sama dua (2) anaknya, diselamatkan dengan dibawa menaiki bot milik seorang penduduk kampung di situ. 

Sehingga kini, ribuan mangsa yang dalam kalangan rakyat-jelata, terbabit dengan bencana banjir yang setakat ini telah melanda lima (5) daerah iaitu Rompin, Pekan, Kuantan, Maran dan Jerantut.    

Menerusi lawat-tinjaunya hari ini jugalah, beliau telah membangkitkan keperluan agar penilaian semula dilakukan ke atas beberapa perkara termasuklah dalam pengurusan pusat-pusat pemindahan mangsa banjir.

Antara alternatif yang dicadangkan ialah menjadikan pangkalan-pangkalan tentera serta kem-kem polis di bawah Pasukan Gerak Am (PGA) di daerah ini, dijadikan sebagai pusat-pusat pemindahan menggantikan sekolah-sekolah.

CADANG JADIKAN PANGKALAN/KEM TENTERA/POLIS SEBAGAI PUSAT PEMINDAHAN 

“Dan saya telah beritahu Perdana Menteri, saya bercadang menjadikan pangkalan tentera dan juga pangkalan PGA untuk dijadikan pusat pemindahan, bukan sekolah lagi. Sebab, sekolahpun telah ditenggelami air sebagainya.

“Kita akan cuba aturkan ‘centralized cooking’. Maknanya, kita minta askar (dan) polis masak, kemudian itu kita akan hantar dalam ‘polystyrene bag’. Sebab orang terlampau ramai, dan ramai belum makan ni. Saya sangat susah hatilah memikirkan perkara ini,” katanya.

Selain pusat-pusat pemindahan di sekolah-sekolah terbabit menghadapi masalah logistik, ada pula kejadian apabila guru besar sekolah tidak membenarkan kelas-kelas di sekolahnya digunakan hingga memaksa beliau sendiri terpaksa berhubungan dengan pengarah pendidikan negeri untuk meleraikan masalah tersebut.

“Sepatutnya perkara seperti ini tidak timbul. Janganlah ikut buku sangat… Sayapun telah memberitahu Perdana Menteri, ‘standard’ yang ditetapkan oleh Ketua Audit Negarapun tak dapat dipatuhi.

“Saya terpaksa beli barang-barang (keperluan mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan) sekarang ini. Nak percaya, percayalah. Kalau tak percaya kepada Menteri Besar, nak percaya kepada siapa lagi?” katanya.

PERDANA MENTERI BERI LAMPU HIJAU ‘GO AHEAD’

Adalah difahamkan, kata-kata Menteri Besar ini merujuk kepada teguran dalam laporan Ketua Audit Negara sebelum ini yang mempertikaikan kewajaran Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) Negeri menyimpan stok barangan keperluan untuk mangsa-mangsa di pejabatnya di sini.

Ekoran itulah pada tahun ini, JKM Negeri tidak lagi menyimpan stok tersebut lalu apabila berlaku bencana banjir kali ini, JKM Negeri baharu membuat tempahan yang mengambil masa bagi memastikan tempahan itu diperolehi untuk edaran kepada mangsa di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di daerah ini.

“Jadi, kita akan buat semua benda ini dan Perdana Menteri kata ‘go ahead’. Oleh sebab itu kita akan, pada pukul 4 ini, kita telah panggil semua panglima-panglima , komander-komander pangkalan termasuk polis, PGA dan juga Tentera Laut, Darat, Udara; kita akan bincang,” katanya. – Khabar