Saturday 7 December 2013

Sumbangan RM500 bagi setiap keluarga terbabit banjir




… sebagai tanda kasih dan keprihatinan Kerajaan, kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak semasa menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-67  


PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan sumbangan RM500 kepada setiap keluarga terbabit banjir yang sedang mengalaminya ketika ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO serta Ahli Parlimen kawasan Pekan berkata, beliau turut berasa simpati dengan mereka yang terbabit banjir dibeberapa kawasan termasuklah di daerah-daerah negeri pantai timur seperti negeri Pahang dan Terengganu.

“Saya faham (akan ketidak selesaan mereka ) bila kena banjir sebab saya ahli parlimen kawasan yang selalu kena banjir. Saya tahu susah-payahnya, saya tahu penderitaan mereka.

“Sebagai tanda kasih dan  keprihatinan Kerajaan maka saya nak umumkan pembayaran RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam banjir,” katanya disusuli tepukan, semasa menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-67 petang Sabtu, 7 Disember di sini.

Selain beliau sendiri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Bencana Alam Negara katanya, telahpun melawati kawasan-kawasan banjir berkenaan.

ARAHAN BERSUNGGUH-SUNGGUH BERI BANTUAN

Dan Tan Sri Muhyiddin juga katanya, mengeluarkan arahan yang tegas kepada semua agensi Kerajaan yang berkenaan, agar dapat memberikan bantuan dengan bersungguh-sungguh kepada mangsa-mangsa banjir tersebut.  

Sehubungan itu, Dato’ Sri Mohd Najib menyambut baik persetujuan bank komersil – Malayan Banking Bhd (Maybank), untuk menangguhkan sementara pembayaran ke atas pinjaman-pinjaman yang ada diambil oleh mereka dalam kalangan mangsa-mangsa banjir.

Beliau seterusnya mengalu-alukan jika ada institusi kewangan lain yang mahu turut meneladani keputusan Maybank itu. – Khabar