Tuesday 7 January 2014

Terminal kelas 1, jalan kelas 3

KEBANGGAAN KITA... Bahagian luar yang menarik, Jengka Sentral kita.  


BANDAR TUN ABDUL RAZAK, MARAN – Kunjungan ke bandar ini yang dahulunya dikenali Bandar Jengka Pusat, tentu membanggakan dengan melihat tersergam indah dan beroperasinya terminal pengangkutan awam Jengka Sentral.

Bernilai kira-kira RM10 juta dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), projek yang bermula Ogos 2011 telah siap dan mula beroperasi pada suku terakhir tahun lepas.

Dibina di atas tapak lama stesen bas yang dirobohkan, Jengka Sentral 2-tingkat dengan kemudahan sepasang ‘escalator’ ini berkeluasan 46,000 kaki persegi atau menyamai saiz empat (4) buah gelanggang futsal.

Selain petak-petak untuk bas dan teksi, antara kemudahan lain yang terdapat padanya ialah tempat menunggu awam yang selesa serta lot-lot kedai dan medan selera berhawa dingin, serta sebuah gelanggang boling yang dijangka dibuka bulan depan.

Tahniah tentunya kita berikan kepada ECERDC terutamanya Sekretariatnya yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jebasingham Issace John serta para pegawai dan kakitangannya.

BAHAGIAN DALAM YANG BERSIH LAGI MODERN... Foto ini dirakam kira-kira 8 pagi Selasa, 7 Januari. Kelihatan seorang pengguna hendak menempah tiket bas bagi perjalanan ke destinasinya. Aspek penyelenggaraan tentu akan dititik-beratkan demi mengekalkan kebersihan khususnya. 


PROJEK-PROJEK KECIL TURUT JADI TUMPUAN SEKRETARIAT ECERDC

Selain peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan disalurkan menerusinya bagi membangunkan projek ini, ia (Sekretariat ECERDC) juga dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaannya.

Selain projek Jengka Sentral ini, Sekretariat ECERDC juga terlibat dalam membangunkan projek bernilai RM2.66 juta – Anjung Selera Jengka, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada Isnin, 4 Jun 2012 lagi.

Dan, Sekretariat ECERDC juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek-projek kecil termasuklah menaik-taraf jalan-jalan, balai raya serta perparitan di kawasan-kawasan berkenaan dalam kawasan Jengka yang dahulunya di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).

Dengan perlaksanaan projek-projek ini, akan dapat mensejahterakanlah penduduk di sini yang dianggarkan kira-kira 50,000 orang, 10,000 daripadanya sahaja ialah komposisi pelajar yang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Khazanah Alam yang berdekatan.

Dalam pada itu, tentu banyak lagi yang harus dilakukan oleh Sekretariat ECERDC dan satu daripadanya ialah dengan berusaha sedaya-mungkin, untuk menaikkan taraf jalan kira-kira 50 KM antara persimpangan Kampung Awah-Bandar Tun Abdul Razak-Simpang Jengka 8, khususnya antara persimpangan Plaza Tol Chenor ke sini, kira-kira 25 KM.

JALAN YANG BERTAMPAL-TAMPAL... Sungguhpun tidak dinafikan, ada juga jajaran di laluan dari persimpangan Plaza Tol Chenor-Bandar Tun Abdul Razak ini yang diturap tetapi hanya untuk beberapa jarak sahaja. 

Yang kekal ialah sempit dan beralun-alunnya, serta ada jaraknya yang ditampal-tampal manakala yang lain, berlubang-lubang hingga membahayakan pengguna terutamanya yang berkenderaan dua-roda. 
  

PERUNTUKAN RM50 JUTA DI BAWAH RMK-10?

Jalan dua-lorong sedia ada bukan sahaja sempit, beralun-alun menurut muka bumi kawasan yang dilalui, malah ada sesetengah kawasan yang dilalui jalannya berlubang-lubang khususnya di bahagian-bahagian sebelah kiri-kanannya.       

Ada laporan berita menyebut, peruntukan RM50 juta telah diminta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik-taraf jajaran Kampung Awah-Bandar Tun Abdul Razak- Simpang Jengka 8 ini di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) yang akan tamat kira-kira dua (2) tahun sahaja lagi.

Sekretariat ECERDC hendaklah serius berbuat sesuatu dalam hal ini. Bukanlah sangat untuk menjaga imej Bandar Tun Abdul Razak yang sering dikunjungi oleh ibubapa kepada 10,000 pelajar UiTM Kampus Khazanah Alam dari serata pelosok negara;

Tetapi lebih kepada soal keselamatan dan keselesaan penggunanya, yang dalam kalangan pelbagai latar kaum, usia dan punca pendapatan.

Sekretariat ECERDC tentunya tidak boleh terus tertumpu kepada projek-projek ‘glamour’ atau berperanan seumpama ‘event manager’ sahaja (itupun di'outsource' dengan yuran tertentu kepada pihak 'consultant'), demi mendapatkan KPI yang baik daripada Kerajaan Persekutuan. – Khabar