Tuesday 18 March 2014

Guna biodiesel sawit B5 = kurang bahan api petroleum; meningkat permintaan kelapa sawit = harga kukuh = manfaat pekebun kecil termasuk peneroka



… sempena pelancaran oleh Menteri Besar, inisiatif penggunaan biodiesel sawit wilayah timur dan utara, sekaligus menyempurnakannya peringkat Semenanjung Malaysia.  

MENGISI 'B5' KE DALAM KENDERAAN... Lokasi; sebuah stesen minyak milik Bumiputera di Jalan Beserah, Kuantan yang di seberang jalan sana ialah hotel milik sepenuhnya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini. 

'Thumbs up' tanda bagus, daripada Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Amar Douglas Uggah; yang disertai sama oleh lainnya.   

HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob melancarkan insiatif penggunaan biodiesel sawit wilayah timur dan utara, sekaligus menyempurnakan inisiatif itu untuk seluruh Semenanjung Malaysia pada pagi Selasa, 18 Mac di sini.

Yang turut bersama beliau pada majlis ini ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Amar Douglas Uggah Embas; Pengerusi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dato’ Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad;

Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC: Ministry of Plantation Industry and Commodity), Dato’ Sri Nurmala Abdul Rahim; serta, Ketua Pengarah MPOB, Dato’ Dr Choo Yuen May.

Antara intipati yang diperolehi daripada majlis pagi Selasa ini antara lainnya ialah;

Penggunaan adunan biobahan api sawit bersama diesel melalui Program B5 kini diperluaskan ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia, yang membuktikan komitmen Kerajaan ke arah penggunaan biobahan api yang dihasilkan daripada minyak sawit.

Penggalakan penggunaan biodiesel sawit B5 dalam negara juga ialah usaha Kerajaan bagi mengurangkan penggunaan bahan api petroluem yang mencemarkan, menerusi peningkatan kesan gas rumah hijau (GHG: GreenHouse Gas).

ADUNANNYA IALAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang diberi penerangan mengenai adunan yang menghasilkan biodiesel sawit B5. 

PENYELIDIKAN SEJAK TAHUN 1980-AN              

Kajian oleh penyelidik MPOB sejak tahun 1980-an, berjaya membangunkan teknologi pengeluaran biodiesel sawit B5 adalah menepati piawaian antarabangsa.

Adunan biodiesel sawit B5 telah melalui proses kajian dalam tempoh yang panjang dan menyeluruh, meliputi aspek teknikal dan prestasi enjin, serta tahap pelepasan karbon dioksida yang membuktikan biobahan api sawit sesuai diadun dengan diesel petroleum.

Pertambahan dalam penggunaan biodiesel sawit B5 dalam negara akan meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah, yang dihasilkan oleh sektor perladangan dan pekebun kecil di seluruh negara.

Ini akan menstabilkan harga minyak sawit di pasaran, di samping memberi kesejahteraan ekonomi dan peningkatan pendapatan para pengusaha tanaman sawit, terutamanya pekebun kecil termasuk peneroka Felda.

Sehingga kini, keseluruhan 478 stesen minyak di Pahang, Terengganu dan Kelantan (wilayah timur) serta 789  buah di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis (wilayah utara) sudah mula menjual biodiesel sawit B5 ini.

DOA BUAT MH370... Dalam pada melancarkan biodiesel sawit B5, nasib pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang dan masih tidak dapat dikesan masuk hari ke-11 hari ini; tetap tidak dilupakan. 

WILAYAH TIMUR GUNA 100,000 TAN SETAHUN BIODIESEL SAWIT

Penggunaan biodiesel sawit di kedua-dua wilayah timur dan utara ini ialah kira-kira 100,000 tan setahun, sekaligus menyumbang kepada penjimatan penggunaan diesel petroleum kira-kira 115.7 juta liter setahun.

Di Pahang, sehingga akhir tahun lepas (2013), keluasan tanaman sawit mencatat peningkatan sebanyak 38 peratus kepada 710,195 hektar berbanding 514,709 hektar pada tahun 2000.

Pengeluaran minyak sawit mentah juga meningkat sebanyak 67 peratus kepada 2.96 juta tan pada tahun lepas (2013), berbanding kira-kira 1.77 juta tan pada tahun 2000. Bagi Semenanjung Malaysia ini, Pahang ialah negeri kedua terbesar selepas Johor, yang mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit.

Di Pahang sahaja, terdapat 71 kilang kelapa sawit dengan kapasiti pemprosesan buah sawit kira-kira 15.45 juta tan setahun; dua (2) kilang pelumat isirong berkapasiti 466,200 tan setahun; dua (2) kilang penapis minyak sawit dengan kapasiti 1.76 juta tan setahun; sebuah (1) kilang oleokimia dengan kapasiti 365,000 tan setahun; sebuah (1) kilang biodiesel berkapasiti 100,000 tan setahun; serta, tiga (3) pusat simpanan dengan kapasiti 225,130 tan setahun.

Inisiatif penubuhan Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC: Palm Oil Industry Cluster) Kuantan di bawah pengurusan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Gebeng dekat sini, dengan kos kira-kira RM89.34 juta; akan merangsang lagi kemajuan industri sawit wilayah timur ini.

RM89.34 JUTA UNTUK BANGUNKAN POIC KUANTAN

Kerja-kerja pembangunan infrastruktur asas POIC Kuantan telah siap sepenuhnya. Ketika ini, ECERDC sedang mempromosikan POIC Kuantan sebagai destinasi pelaburan di kawasan tersebut.

Perkembangan pesat industri sawit negara juga telah memberi manfaat ekonomi kepada pengusaha ladang, pekebun kecil dan peneroka khususnya yang menyertai skim-skim  rancangan pembangunan tanah Kerajaan.

Pahang kini mempunyai 8,967 pekebun kecil dengan keluasan tanah sebanyak 40,585 hektar; serta, 112 Rancangan Tanah Felda yang berpeneroka, dengan keluasan 171,003 hektar.

Dengan pengukuhan harga minyak sawit dalam jangka panjang dengan pelaksanaan Program B5, akan memanfaatkan para pekebun kecil sawit serta menyumbang kepada usaha-usaha Kerajaan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar.

Sejajar dengan perkembangan industri sawit, MPOB telah membuka pejabat baharu termasuk di wilayah timur di Bandar Indera Mahkota, dekat sini, demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pihak industri dan pekebun kecil. – Khabar