Friday 21 March 2014

“Kepada semua yang ada emak-ayah, bagilah masa. Tengoklah emak, tengoklah ayah”



… pesan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada majlis bacaan yasin dan tahlil sempena memperingati pulangnya ke rahmatullah ayahnya, Yaakob Awang, dan emaknya, Saadiah Osman.

PADA PETANG PENGKEBUMIAN ARWAH SAADIAH... 
 

DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sekali lagi mengingatkan agar kita yang masih beribu-bapa, supaya meluangkan masa untuk sentiasa menziarahi mereka.

Beliau sendiri katanya, berbuat demikian ke atas ibunya, Saadiah Osman, dengan singgah menjengok di rumahnya di Bentong, setiap kali dalam perjalanan berkereta dari sini ke Kuala Lumpur atas pelbagai urusan.  

Namun, dalam pada beliau berbuat demikianpun katanya, beliau masih terasa tidak mencukupi sesudah ibunya itu meninggal dunia pada 24 Februari lepas.

“Walaupun demikian, apabila emak kita meninggal dunia, kita terasa, kita masih buat tak cukup,” katanya.

Yang oleh kerana itulah juga beliau berpesan; “Kepada semua yang ada emak-ayah, bagilah masa. Tengoklah emak, tengoklah ayah”.    

ARWAH AYAHNYA MENINGGAL 19 TAHUN LEPAS

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas luar teks 3-minitnya pada majlis bacaan yasin dan tahlil, sempena memperingati pulangnya ke rahmatullah ayahnya, Yaakob Awang, dan ibunya, Saadiah Osman; pada malam Jumaat, 21 Mac di sini.

Arwah ayahnya meninggal dunia sejak 19 tahun lepas pada 16 September 1995, manakala ibunya, baharu sahaja lagi iaitu kira-kira tiga (3) minggu lepas pada 24 Februari (2014).

Kepada semua yang hadir pada majlis malam Jumaat ini, beliau menyatakan terima kasih setinggi-tingginya sambil menjangkakan betapa, mereka juga akan menerima penganjuran majlis yang serupa apabila meninggal dunia kelak.

Majlis malam ini bermula dengan solat Maghrib berjemaah, disusuli bacaan yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Mufti Negeri, Dato’ Abdul Rahman Osman; serta tazkirah disampaikan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; kemudian solat Isya’ berjemaah. 

Selain Dato’ Abdul Rahman dan Dato’ Syed Ibrahim; yang turut kelihatan hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Ismail Mohamad yang juga wakil rakyat Parlimen (BN – Kuala Krau);

AHLI-AHLI EXCO KERAJAAN NEGERI TURUT HADIR

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail, Dato’ Abu Bakar Harun, dan Dato’ Shahaniza Shamsuddin;

serta, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zul-kifly Osman; ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan antaranya ialah Ketua Polis Negeri, DCP Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani; dan, Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato’ Lias Mohd Nor. – Khabar