Thursday 20 March 2014

MTNP terus unggul, sekolah terbaik Pahang dalam SPM

“... kalau misalannya semua pihak komited, bersungguh-sungguh; kita akan capai kejayaan.

“Sebab di Mahad Tahfiz (Negeri Pahang) ini, ada disiplin yang tinggi. Pelajar-pelajar mempunyai waktu belajar tertentu, ada (waktu) riadah tertentu,” kata-pujian Menteri Besar mengenai kejayaan MTNP yang memperolehi GPS 1.45.
 
CEMERLANG DALAM AKADEMIK, JUGA SUKAN, RIADAH... Foto ini merakamkan seorang daripada pelajar cemerlang MTNP yang menyertai kejohanan ekuestrian dan menang pula, di Putrajaya.   


TINGKAT 16, KOMPLEKS TERUNTUM, KUANTAN – Dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.45, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) kendalian Yayasan Pahang (YP), terus unggul dan diumumkan sebagai sekolah terbaik negeri dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

Kejayaannya, dengan 34 pelajar lulus 100 peratus termasuk lima (5) memperolehi keputusan cemerlang; mengatasi pencapaian sekolah terbaik di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran sendiri.

Sekolah tersebut, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Pekan, sekadar memperolehi GPS 1.84.

Perkara ini disebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi YP, pada persidangan media sempena ‘soft-launch’ Sukan GEMAPUTERA Ke-XIII Pahang 2014 petang Khamis, 20 Mac di Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di sini.

Sebutan itu sebagai reaksi kepada pertanyaan wartawan yang memintanya mengulas mengenai keputusan SPM bagi tahun lepas, sepertimana diumumkan oleh Kementerian Pendidikan serta Jabatan-jabatan Pendidikan Negeri pada sebelah paginya.         

KEPEMIMPINANNYA, YANG SERING TEKANKAN PENTINGNYA KOMITMEN DAN KESUNGGUHAN... Kelihatan wajah serius Dato' Sri DiRaja Adnan yang dirakam sempena persidangan media petang Khamis, 20 Mac ini.


MTNP IALAH ILHAM KDYTM TENGKU MAHKOTA PAHANG

Sebagai rekod, MTNP yang bersebelahan Kompleks Yayasan Pahang (YP) di Tanjung Lumpur dekat sini, diilhamkan penubuhannya oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang, yang mengadunkan pembejalaran akademik dan hafazan al-Quran ke atas para pelajarnya.

“Pagi tadi,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… Timbalan Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) telah mengumumkan melalui Radio Pahang FM bahawa, sekolah di negeri Pahang di bawah Kementerian Pelajaran yang terbaiknya SBPI Pekan, (memperolehi) GPS 1.84.

“Tapi, dalam banyak-banyak sekolah di negeri Pahang ini yang tak termasuk sekolah (di bawah pentadbiran) Kementerian (Pelajaran) ini ialah Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Keputusannya mengalahkan sekolah terbaik negeri Pahang,” katanya.

Dan ini – kejayaan MTNP unggul sebagai sekolah terbaik menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, bukanlah kali pertama ia mengalaminya, cuma tidak diumumkan sedemikian oleh JPNP sebelum ini.

Kepada soalan wartawan tentang punca di sebalik kejayaan cemerlang MTNP ini, beliau berkata;   

KOMITED, BERSUNGGUH-SUNGGUH, AKAN CAPAI KEJAYAAN  

“… kalau misalannya semua pihak komited, bersungguh-sungguh, kita akan capai kejayaan.

"Sebab di Mahad Tahfiz (Negeri Pahang) ini ada disiplin yang tinggi. Pelajar-pelajar mempunyai waktu belajar tertentu, ada (waktu) riadah tertentu.

“Dan jangan lupa, Maahad Tahfiz (Negeri Pahang) juga mengeluarkan penunggang-penuggang kuda yang mahir, dan mereka tidak ketinggalan dalam bidang ekuestrian. Kalau kita ada disiplin, ada kesungguhan, komitmen dari semua pihak – guru, ibubapa dan pelajar; kita boleh capai kejayaan cemerlang,” katanya lagi. – Khabar