Saturday 15 March 2014

"Saya salah seorang yang akan terus memberi bantuan kepada mana-mana sahaja kumpulan yang akan melawan COMANGO"

… komitmen Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang mendapat tepukan gemuruh kira-kira 2,000 peserta pada Wacana Pendidikan MAMPAN 2014 – COMANGO; Impak terhadap perpaduan dan keamanan negara.

SERAH/TERIMA, RESOLUSI WACANA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima resolusi, hasil daripada Wacana Pendidikan MAMPAN yang diserahkan oleh Presiden MAMPAN, Sdr Mohd Azhari Endi Rahman.

Dalam 'gimmick' yang menarik sebelum itu, resolusi berkenaan dibawa turun dari atas bumbung Dewan yang tinggi ini oleh dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis DiRaja Malaysia. Yang turut kelihatan ialah Dato' Ishak serta Dato' Saariah (separuh terlindung, membelakangi).  

DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Dewan keramat dalam bangunan milik UMNO ini bergemuruh dengan tepukan sokongan kira-kira 2,000 peserta, apabila mendengar kata-kata komitmen Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang menyebut;

“Saya salah seorang yang akan terus memberi bantuan kepada mana-mana sahaja kumpulan yang akan lawan COMANGO”.

Dalam pada tepukan sokongan yang berterusan itu beliau menegaskan betapa; “Kita (beliau dan Kerajaan Negeri Pahang pimpinannya) akan terus (dengan) apa yang kita buat.

“Mana-mana pihak yang jumpa kita minta bantuan untuk melawan COMANGO; hendak pergi ke Geneva ke, nak pergi ke mana ke untuk menerangkan hal bagi melawan COMANGO, kita akan beri kerjasama”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan meluahkan kata-kata ini dalam ucapan luar teks 36-minitnya pada Wacana Pendidikan Majlis Mahasiswa Anak-anak Pahang (MAMPAN) 2014 bertemakan COMANGO; Impak terhadap perpaduan dan keamanan negara, tengah hari Sabtu, 15 Mac, di sini.

MENTERI BESAR BERDEPAN KIRA-KIRA 2,000 PESERTA WACANA... 


DR ASYRAF WAJDI ANTARA PEMBENTANG KERTAS-KERJA

COMANGO ialah singkatan kepada Coalition of Malaysia’s Non-Government Organisation dan ia memperjuangkan hak kebebasan manusia khususnya kebebasan untuk LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) termasuklah hingga ke peringkat UNHRC (United Nation’s Human Rights Council) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

Para peserta yang terdiri daripada mahasiswa anak-anak Pahang dari institusi-institusi pengajian tinggi seluruh negara, sebelum itu turut mengikuti persembahan kertas kerja-kertas kerja yang dibentangkan oleh Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki;

Ketua Penolong Pengarah E2 M, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Kanan Dato' Mohd Sofian Md Makinuddin; serta, Penolong Pengarah/Pegawai Penyelidikan, Seksyen Akidah, Bahagian Perancang dan Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Encik Mohd Aizam Mas’od.    

Manurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, COMANGO dalam kebanyakan kenyataannya, lebih menjurus kepada membuat tuduhan terhadap Kerajaan lalu beliau memberikan contoh antaranya, dalam laporan itu menyebut;

‘Malaysia is a multi-ethnic and multi-religious nation. Muslim make up approximately 61 percent of the population, and Malays make up around 54 percent. Article 160 (2) of the Federal Constitution defines Malay as been Muslim. Malays have special privileges under Article 153 of the Federal Constitution.
KHALAYAK YANG 'ATTENTIVE'... Khalayak sedang mengikuti ucapan luar teks 36-minit Menteri Besar.


MASYARAKAT, KELUARGA AKAN CACA-MARBA, ‘TOPSY-TURVY’

‘This intertwined of the race and religion has proven to be a powerful political tool for those who wants to stay in power or to get in power’.

Kenyataan seumpama itu menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, membawa maksud bahawa ia (COMANGO) mengatakan betapa; “Islam-Melayu yang dikaitkan dengan Islam, hanyalah menjadi senjata kepada orang-orang politik untuk mengekalkan kuasa”.

Perjuangan COMANGO menurutnya lagi, bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi juga dengan tabii manusia, dengan memberikan contoh bagaimana Allah telah menjadikan makhluknya berpasang-pasangan sepertimana lelaki ialah untuk pasangan wanitanya.   

“Tapi ini (hubungan luar tabii) digalakkan oleh mereka (COMANGO). Apa akan jadi jika ini berlaku? Bermakna, susunan masyarakat, sususan keluarga kita akan menjadi caca-marba, akan menjadi bercelaru, ‘topsy-turvy’.

“Kita juga bukan tidak baca sejarah yang terdahulu; negeri-negeri yang telah dilingkupkan, yang sudah diterbalikkan, gempa buminya dan pelbagai lagi malapetaka yang datang,” katanya lagi.

BERANI BERTANYA... Sungguhpun berbekalkan sarapan pagi cuma separuh betik, mengharungi perjalanan berkereta kita-kira tiga (3) jam Kuantan-Kuala Lumpur; Dato' Sri DiRaja Adnan yang setelah menyampaikan ucapan luar teks 36-minit, masih sudi meluangkan kira-kira setengah jam lagi demi berdialog dengan para peserta kita.

Kelihatan, seorang daripada kira-kira 2,000 peserta berkenaan yang dalam kalangan mahasiswa anak Pahang dari institusi pengajian tinggi seluruh negara, sedang mengemukakan soalannya untuk dijawab oleh 'Pak Long' mereka.


JANGAN DUDUK SENYAP

Sehubungan itu beliau meminta para peserta Wacana Pendidikan MAMPAN 2014 yang turut mengeluarkan resolusi ke arah menangani dan mengatasi gejala oleh COMANGO, supaya tidak ‘duduk senyap’ selepas ini, sebaliknya terus menyanggah kenyataan mereka.     

Selain itu beliau mencadangkan agar jalinan silaturrahim sesama mahasiswa ditingkatkan lagi dari masa ke semasa, serta tidak lagi terus dengan amalan ‘nafsu-nafsi’ dalam kalangan mereka dan masyarakat kita.

Pada permulaan ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh tentang beberapa tindakan Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak begitu disenangi oleh rakyat termasuk dalam kalangan mahasiswa sendiri.

Misalnya, ekoran kenaikan harga minyak yang Kerajaan putuskan, turut berlaku kenaikan harga barangan keperluan oleh peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. Namun katanya;

“… kita juga harus ingat bahawa Kerajaan juga telah buat banyak untuk kita semua.

MEMENUHI ACARA SEBELAH PAGINYA... Ahli panel, Prof Madya Dr Asyraf Wajdi sedang membentangkan kertas-kerjanya.


90 PERATUS YURAN PENGAJIAN DITANGGUNG KERAJAAN

“Kalau kita ambil contoh yuran pengajian sahaja. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kos pengajian (sebenar ialah) RM18,000 setahun untuk seorang pelajar tetapi,  seorang pelajar hanya bayar RM1,800 sahaja. Maknanya, yang lain itu disubsidi oleh Kerajaan”.

Apabila ini disebutkan katanya, ada pula yang mendakwa betapa menjadi tanggungjawab Kerajaanlah untuk melaksanakannya namun, bukan semua Kerajaan juga yang bertanggung jawab sepertimana Kerajaan yang ada di negara ini.

Yang turut hadir pada majlis seharian anjuran bersama Yayasan Pahang (YP) ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad, dan timbalannya, Dato’ Mohamad Jaafar;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman; Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad; serta, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YP termasuk Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil yang turut bertindak sebagai moderator wacana tersebut. – Khabar