Sunday 27 April 2014

Semak semula bentuk aktiviti dalam ko-kurikular sekolah




… saran Menteri Besar ekoran kejadian pelajar/kadet polis sekolah maut akibat kepanasan melampau semasa latihan

MENTERI BESAR, ISTERI SERTA IBUBAPA ALLAHYARHAM MOHD AMMAR... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan meluahkan rasa simpatinya kepada ayah Allahyarham, Encik Abdulloh manakala yang sama dilakukan oleh isteri, Datin Sri DiRaja Junaini kepada ibu Allahyarham, Sharifah Jamilah. 
 

KAMPUNG PERAMU, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan Kementerian Pelajaran supaya menyemak kembali kandungan ko-kurikular di sekolah-sekolah bagi mengelakkan kejadian buruk ke atas para pelajar yang terlibat.

Beliau yang ditemui wartawan petang Ahad, 27 April di sini, selepas menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Ammar Abdulloh, 17, – pelajar dan juga kadet polis yang meninggal dunia malam Rabu, 23 April lepas setelah pengsan semasa menjalani latihan di Kampung Pandan, dekat sini berkata;

Beliau ada membuat saranan yang sama kepada para pegawai kementerian berkenaan, semasa menyertai taklimat banjir berkaitan kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahun lepas.

“Ini semua yang kita kena kaji baliklah. Lasak-lasaklah tapi sayapun tengok, para saintis yang mereka I-Pad, I-Phone sebagainya, (mereka) tidak lasak. Yang penting, mereka adalah orang bijak, kreatif dan iniovatif.

“Saya tak nampak yang latihan lasak ini boleh mendatangkan banyak faedahlah (terutamanya) apabila berlaku kematian sebagainya. Walaupun peratusannya kecil tapi ianya berlaku.

ZIARAHAN MENTERI BESAR DISAMBUT MESRA... 


‘KALAU KENA KEPADA KELUARGA KITA?’

“(Hari) ini berlaku kepada keluarga orang lain. Kalau kena kepada keluarga kita? Na‘uzubuilahlah. Jadi ini semua kena kaji balik,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Ammar khususnya kedua-dua ibubapanya, Encik Abdulloh Salleh, 49, dan isteri, Sharifah Jamilah Syed Alwi, 43.

Menurutnya, dalam keadaan cuaca panas berterusan yang dialami daerah dan negeri ini ketika ini, menjadi sebab yang lebih kepada kepimpinan sekolah supaya mengurang atau meniadakan aktiviti luar bilik darjah supaya pelajar tidak terdedah dengan cuaca tersebut.

“Keadaan panas ini memang menjadi masalah kepada kita semua. Ini juga perlu diambil kira oleh pihak sekolah untuk mengurangkan, atau kalau boleh, tidak mengadakan aktiviti yang boleh mendedahkan para pelajar kepada keadaan yang sangat panas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kepimpinan sekolah sentiasa berusaha untuk mengimbangi dalam menjagai kepentingan tiga pihak iaitu kepentingan ibubapa, kepentingan pelajaran pelajar, dan juga kepentingan jabatan mereka.

“Tapi, apapun… kita (kepimpinan dan pengurusan sekolah) kena fikirkan yang terbaik untuk pelajar-pelajar,” tegasnya.

LAPORAN BERITA MENGENAI ALLAHYARHAM MOHD AMMAR... Seperti dilaporkan pada muka surat 13 akhbar Barita Harian keluaran Jumaat, 25 April.
 

ZIARAH ATAS RASA SIMPATI

Mengenai ziarahannya ke rumah keluarga Allahyarham Mohd Ammar petang Ahad ini katanya, ia berasaskan kepada rasa simpatinya terhadap ibubapa dan keluarga yang kehilangan anak mereka.

“Saya dapat merasakan dan saya datang bersama isteri saya untuk menyatakan simpati saya dan saya juga telah menyatakan kepada kedua-dua ibubapa dan kedua-dua bapa saudara Allahyarham bahawa, ini semua kejadian yang tidak dijangka, tidak disangka. Dan ini semua takdir Allah belaka.

“Saya telah melihat sijil kematian Allahyarham tadi dan saya dapati Allahyarham meninggal dunia disebabkan oleh ‘heat stroke’ dan ‘mutliple organ failure’.

“Kitapun tidak tahu secara terperinci kenapakah berlaku ‘multiple organ failure’ itu iaitu, bagaiamana paru-paru, hati, buah pinggang Allahyarham tidak berfungsi. Apa sebabnya ini kita tidak ketahui.

“Walau apapun, saya berasa sangat simpati dan telahpun memberitahu keluarga Allahyarham, ini semua takdir Allah. Yang penting ialah untuk kita mendoakan kesejahteraan Allahyarham di alam barzakh. Mudah-mudahan dimasukkan bersama-sama dengan para syuhadah, ahli-ahli syurga,” katanya lagi.

TURUT ZIARAHI DATUK KEPADA ALLAHYARHAM MOHD AMMAR... Sementelah diberitahu yang datuk dan nenek kepada Allahyarham Mohd Akmar, masih hidup dan tinggal bersebelahan rumah, Dato' Sri DiRaja Adnan dan isteri, turut menziarahi mereka. 

Datuk, Syed Alwi Syed Taib, 84, - ayah kepada Sharifah Jamilah atau ayah mertua kepada Encik Abdulloh bagaimanapun tidak sihat dan terlantar baring sejak lebih sebulan akibat masalah prostat. Lalu, Dato' Sri DiRaja Adnan telah menawarkan kepada keluarga ini agar Syed Alwi mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar di Subang Jaya, Selangor.    


ALLAHYARHAM JUGA PANDAI LUKIS DAN LAKAR KARIKATUR

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyatakan rasa tertariknya dengan hakikat betapa Allahyarham ialah seorang yang mempunyai bakat melukis termasuk dalam lakaran karikatur.

Dan daripada lukisan-lukisan dan lakaran ini termasuk satu, Allahyarham telah melukis wajah ibunya, Sharifah Jamilah kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, jelas betapa Allahyarham  Mohd Ammar seorang budak yang baik serta suka mendekati ugama.

“Sebagai contoh, dengan melukis kalimah Allah, kemudian itu Nabi Muhammad. Melukis potret mak dia… dan sayapun berasa sangat sedihlah. Walau apapun, ini telahpun berlaku dan saya percaya setiap yang berlaku ini ada hikmahnya,” katanya lagi.

Kehadiran Dato’ Sri DiRaja Adnan yang diiringi isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim ke sini, ialah selepas menziarahi jenazah Allahyarham Wan Hamidi Wan Razak, 40, yang meninggal dunia awal pagi Ahad ini di kediaman ibunya di Rancangan Tanah Felda Jengka 12, Maran.

Allahyarham Wan Hamidi ialah adik kepada wakil rakyat negeri, Wan Amizan Wan Razak (BN – Tahan). – Khabar