Saturday 10 May 2014

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku



“Semoga Allah memberkati negeri Pahang Darul Makmur sepanjang zaman-berzaman,” Titah DiRaja Baginda; 
 
pada Istiadat Persembahan Ikrar Taat Setia, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan KDYMM Sultan Pahang pada Sabtu, 10 Mei di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan. 

KEBERANGKATAN MASUK... Baginda sempat melemparkan senyuman semasa keberangkatan masuk ke Balirung Seri ini, dengan diiringi DYMM Sultanah Pahang yang kelihatan anggun dengan tiara di kepala. 




BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, PEKAN – “Semoga Allah memberkati negeri Pahang Darul Makmur sepanjang zaman-berzaman. ”

Inilah ayat-ayat terakhir dalam Titah DiRaja oleh KDYMM Sultan Pahang selama kira-kira 24-minit, pada Istiadat Persembahan Ikrar Taat Setia, Menjunjung Duli dan Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sempena Memuliakan 40 Tahun Pemerintahan Baginda pagi Sabtu, 10 Mei di sini.

DYMM Sultanah Pahang, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang, serta, YAM Tengku Muda Pahang dan isteri, Cik Puan Muda Pahang, turut berangkat pada Istiadat pagi Sabtu ini.

Yang turut hadir ialah Perdana
Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak – yang juga Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor, serta Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan isteri, Datin Sri JUnaini Kassim.

Pada awal Titah DiRaja ini, Baginda menyarankan rakyat Baginda supaya mengekalkan perpaduan dan mempertahankan nilai-nilai murni sungguhpun pelbagai wujud cabaran dalam persekitaran yang sentiasa berubah pada masa kini.

PERSEMBAHAN PERUTUSAN TAAT SETIA OLEH KDYTM TENGKU MAHKOTA... Persembahan selama 20-minit (10.12 - 10.32 pagi) Baginda sebagai mewakili Kerabat-kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat dan Orang-orang Besar Negeri. Persembahan perutusan yang ada kalanya sedih, disulami jenaka, telah menarik minat khalayak sekelian.    




GUSAR DENGAN PERUBAHAN SISTEM NILAI

Sungguhpun zaman kian berubah, namun titah Baginda, ia tidak bermakna semua perkara asas mesti turut berubah, sebaliknya perlu disesuaikan dengan peredaran masa dan persekitaran.

“Sepanjang 40 tahun memerintah, Beta telah menyaksikan bagaimana peredaran masa dan kemajuan sains dan teknologi telah menyebabkan perubahan dalam banyak aspek kehidupan masyarakat. Cara dan gaya hidup masyarakat telah bertukar, sistem nilai juga berubah.

“Politik dan pentadbiran yang dahulunya mudah dan senang, kini menjadi lebih kompleks dan mencabar...begitu juga dengan masyarakat yang dahulunya merupakan kelompok manusia, mudah dan rapat, kini menjadi lebih besar, rencam dan sedikit longgar.

“Beta berasa sedikit gusar memerhatikan masa dan persekitaran telah berubah sehingga menukar sistem nilai yang dipegang kuat oleh masyarakat selama ini,”
titah Baginda sepertimana dipetik dan dilaporkan oleh BERNAMA.

KDYMM Tuanku turut bertitah betapa Baginda merasakan nilai murni sedia ada selama ini perlu dipertahankan termasuk amalan mengasihi ibu bapa, menghormati orang tua, bertimbang rasa, hormat-menghormati dan tolong-menolong.

PERSEMBAHAN UCAPAN SEMBAH IKRAR TAAT SETIA OLEH MENTERI BESAR... Dengan diapit Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; Dato' Sri DiRaja Adnan menyampaikan Persembahan Ucapan Sembah Ikrar Taat Setia selama 13-minitnya (10.34 - 10.47 pagi) dengan lancar, penuh tertib-beradab, menggariskan serba ringkas kejayaan pemerintahan empat dekad Kebawah Duli Tuanku.  




RAJA DAN RAKYAT WUJUD BERSAMA-SAMA

Justeru, Baginda menitah-harapkan agar rakyat dapat memikirkan perkara itu dengan lebih matang, rasional dan tahu membezakan mana yang baik dan buruk untuk masyarakat dan negeri.

Pada masa sama, Baginda turut menitah-sarankan rakyat pelbagai kaum supaya terus mengekalkan perpaduan yang merupakan asas utama keamanan yang dikecapi negara selama ini, yang dengan itu, lebih banyak program dapat disusun dan dilaksanakan demi faedah rakyat dan negeri.

Baginda juga bertitah betapa dua kepentingan Baginda sentiasa tekankan dalam pemerintahan Baginda iaitu kepentingan keluarga serta kepentingan rakyat-jelata Baginda sekelian.

“Beta juga melafazkan kata-kata hikmah ‘Raja dan Rakyat, Berpisah Tiada”, yang mempunyai erti dan implikasi yang sangat signifikan. Ia membawa erti Raja dan Rakyat wujud bersama-sama - Raja menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, rakyat pula menumpukan taat-setia kepada Raja”.

Sepanjang menyampaikan titah ucapan, Baginda terhenti seketika beberapa kali kerana sebak kerana mengenangkan Almahrhum Paduka Ayahanda, Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah dan Almarhumah Paduka Isteri, Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajah Afzan.

DALAM KESEDIHAN YANG TERAMAT-SANGAT... Dalam Titah DiRaja yang Baginda lafazkan dalam tempoh 24-minit (10.52 - 11.16 pagi), ada kalanya terhenti-henti oleh kerana sebak mengenangkan peristiwa lampau dalam tempoh 40 tahun khususnya dengan kemangkatan Paduka Isteri, Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajah Afzan.   




PERUTUSAN DAN IKRAR TAAT SETIA

Sebelum itu, Baginda turut menerima Perutusan Taat Setia daripada KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang mewakili Kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat dan Orang Besar Pahang.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan pula menyembahkan Ikrar Taat Setia bagi pihak  wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, badan berkanun dan rakyat-jelata negeri Pahang.

KURNIAAN DARJAH KEBESARAN SRI SULTAN AHMAD SHAH PAHANG (SSAP) YANG MEMBAWA GELARAN DATO' SRI BUAT DATO' ISMAIL ABDUL MUTALIB... Baginda sedang mengurniakan darjah kebesaran ini kepada Dato' Ismail - Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga wakil rakyat Parlimen (BN - Maran). 

KEMESRAAN PERDANA MENTERI... Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor turut hadir pada Istiadat pagi Sabtu ini. Beliau kelihatan sedang beramah-mesra dengan Dato' Sri DiRaja Adnan (membelakangkan kamera, berpakaian kebangsaan biru) sambil menuju ke tempat duduknya.- Khabar