Wednesday 4 June 2014

PR1MA Negeri Pahang - kaedah 'menang-menang' libatkan Kerajaan Negeri, pemaju dan terutamanya rakyat!


13,257 unit kini dalam pelaksanaan atau 88 peratus daripada sasaran membina 15,000 unit rumah mampu milik di bawah PR1MA Negeri Pahang bagi tempoh lima tahun antara 2014 – 2018.

MENJENGUK KE LUAR JENDELA... Perancangan yang baik menjamin hasil yang baik, sepertimana pada program rumah mampu-milik PR1MA Negeri Pahang ini.

Oleh YOPE KEY-DARE

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Cekap, berkesan serta melangkaui jadual dan jangkaan menerusi kaedah ‘menang-menang’ melibatkan tiga pihak – Kerajaan Negeri, pemaju dan terutamanya pembeli dalam kalangan rakyat-jelata.

Inilah yang boleh dikatakan tentang projek pembinaan rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang – yang di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lepas, berjanji membina 15,000 unit dalam tempoh lima tahun antara tahun 2014 dan 2018.      

Namun, hanya dalam tempoh setahun selepas PRU ke-13 itu kini, sebanyak 13,257 unit atau kira-kira 88 peratus daripada sasaran 15,000 unit, telahpun bermula serta dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Kesemua 13,257 unit ini meliputi hampir ke seluruh daerah di negeri ini, merangkumi 29 kawasan dengan keluasan tanah keseluruhannya – dibina di atas Tanah Kerajaan, kira-kira 669 hektar.    

Dan di bawah PR1MA Negeri Pahang ini, spesifikasi unit rumah ditetapkan, yang utama, harga jualannya cuma RM150,000 (diskaun 10 peratus bagi kakitangan Kerajaan) untuk rumah berkembar setingkat berkeluasan lantai minimum 93 meter persegi (1,000 kaki persegi) berbanding harga di pasaran antara RM270,000 dan RM300,000.

'WORKMANSHIP' YANG BAIK... Tentu rakyat kita berbangga untuk memiliki rumah sebegini, dan pada harga yang murah pula lagi - 40 hingga ke 50 peratus lebih murah daripada di pasaran!
 

RAKYAT KDYMM SULTAN PAHANG LAYAK MEMOHON, SELAIN…

Yang lain ialah unit-unit ini mesti mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi dengan keluasan bilik tidur utama mestilah 16 meter persegi (168 kaki persegi) dan keluasan dua bilik tidur lain masing-masing kira-kira 11.2 meter persegi (120 kaki persegi).

Manakala, kemasan lantai mestilah daripada jubin jenis seramik bagi keseluruhan ruang rumah meliputi ruang tamu, ruang makan, bilik tidur, bilik air dan dapur. Kemasan dinding bagi tandas dan dapur pula mestilah daripada jubin jenis seramik dengan ketinggian hingga paras 1,600 milimeter (lima kaki) dari aras lantai.   

Mereka yang layak memohon untuk memiliki unit-unit ini pula ialah rakyat Malaysia dengan keutamaan kepada rakyat KDYMM Sultan Pahang, berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM5,000 sebulan, keutamaan kepada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, dan, telah menetap di negeri ini secara terus-menerus tidak kurang daripada lima tahun.

Satu daripada kesemua 29 kawasan yang dimaksudkan ialah di KM 23, Jalan Kuantan-Gambang dekat sini, berkeluasan kira-kira 22.1 hektar dengan sasaran pembinaan  sebanyak 308 unit.

Sehingga kini, 100 unit daripadanya sedang dalam pembinaan dengan kemajuan kira-kira 30 peratus, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November tahun depan (2015). Baki 208 unit akan bermula selepas itu dan dijangka siap pada Jun 2018.   

MENTERI BESAR IALAH MENTOR PR1MA NEGERI PAHANG

Menteri Besar Datuk Sri Adnan Yaakob – mentor kepada PR1MA Negeri Pahang ini, yang diwujudkan sebagai pelengkap kepada PR1MA kendalian Kerajaan Persekutuan, telah hadir merasmikannya pada pagi 15 Mei lepas. 

“… semasa PRU-13, Barisan Nasional telah menjanjikan bahawa kalau dipilih lagi oleh rakyat, kita akan membina 15,000 unit rumah mampu milik untuk tempoh lima tahun, 2014 – 2018.

“Rupa-rupanya, dalam tempoh setahun ini, kita telah (mula) membina 13,000 (unit). Bermakna, ‘target’ (usaha mencapai sasaran 15,000 unit) itu berjalan (dengan baik),” katanya pada persidangan media kemudiannya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan ramuan di sebalik kejayaan tersebut yang menurutnya, disandarkan kepada pendekatan ‘menang-menang’ – baik kepada Kerajaan Negeri, pemaju yang dilantik mahupun kepada rakyat kelak.    

“Kerajaan mempermudahkan segala proses birokrasi, termasuk (dengan) mengenakan premium yang sangat rendah (terhadap pemaju, yang mengusahakan Tanah Kerajaan bagi pembinaan unit-unit PR1MA Negeri Pahang ini) maka pihak pemaju dapat jimat kosnya,” katanya.

KERAJAAN NEGERI KENAKAN PREMIUM CUMA RM2,000 BAGI 1 LOT

Dengan adanya prosedur birokrasi yang diringkaskan katanya, kerja-kerja sebenar di atas tapak dapat berjalan lancar dan segera, yang seterusnya menyumbang kepada kadar yang cepat dalam dalam kerja-kerja pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ini.

Berhubung dengan premium, memang Kerajaan Negeri mengenakannya pada kadar yang amat rendah – hanya RM2,000 bagi setiap lot tanah yang ditetapkan seluas 40 kaki X 70 kaki atau 2,800 kaki persegi (bersamaan 12.2 meter X 21.3 meter atau 260 meter persegi).  

Kadar ini bersamaan cuma kira-kira 71 sen sekaki persegi sedangkan harga semasa bagi pemilikan tanah di pasaran khususnya di Kuantan ketika ini paling rendahpun ialah kira-kira RM5.60 sekaki persegi, atau murahnya lapan kali ganda!

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri menurut Adnan, sedia menawarkan kadar premium lebih rendah malah percuma, jika Tanah Kerajaan yang dipilih bagi pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ialah di kawasan yang kurang sesuai seperti berpaya, yang memerlukan kerja-kerja penambakan tanah yang banyak lalu kos yang besar.

Ini ekoran kesedaran betapa kos bagi penambakan tanah sahaja adalah membebankan iaitu kira-kira RM1.5 juta bagi kerja-kerja penambakan setebal semeter untuk keluasan tanah kira-kira 4.05 hektar sahaja.

JAWATANKUASA TEKNIKAL PR1MA BAGI PERCEPATKAN

Ke arah mempercepatkan dan membanteras gejala birokrasi, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal PR1MA Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, dianggotai 13 jabatan teknikal berkenaan.

Pada peringkat awal dahulu, jawatankuasa ini akan bermesyuarat hanya setelah menerima tujuh permohonan daripada pemaju untuk menjayakan projek PR1MA Negeri ini namun kemudian ditetapkan, mesyuarat akan dipanggil walaupun menerima satu permohonan. 

Dalam pada itupun, setiap jabatan teknikal yang termasuk pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), diberi tempoh tiga minggu untuk menyemak dan memberi ulasan terhadap permohonan pemaju bagi menjayakan PR1MA Negeri di satu-satu kawasan.

Jawatankuasa teknikal inilah juga yang akan membuat keputusan mengenai permohonan para pemaju, kemudian diangkat terus kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, untuk kelulusan muktamad.

Yang dimaksudkan dengan ‘menang-menang’ melibatkan Kerajaan Negeri-pemaju-rakyat tadi – Kerajaan Negeri memudahcarakan proses dan kelulusan bagi memajukan  Tanah Kerajaan dengan projek PR1MA Negeri Pahang ini, sambil mendapat pulangan RM2,000 bagi setiap lot (40 kaki X 70 kaki) yang diluluskan itu.

RAKYAT BELI RM150,000 SEUNIT - DISKAUN 40 KE 50 PERATUS!

Misalnya, bagi projek di KM23, Jalan Gambang-Kuantan, jumlah unit yang akan dibina ialah 308 buah maka, hasil yang bakal diperolehi oleh Kerajaan Negeri menerusi kenaan premium ialah RM616,000 (308 unit X RM2,000 kadar premium).

‘Menang’nya pemaju kerana memperolehi peluang niaga yang luas serta memperolehi keuntungan dengan ‘margin’nya ialah antara 10 dan 20 peratus, yang boleh dikatakan lumayan bersandarkan suasana ekonomi ketika ini.

Manakala, ‘menang’nya rakyat pula – kumpulan sasaran sebenar, memperolehi rumah yang selesa dan pula, dengan  kadar mampu milik – RM150,000 atau penjimatan antara RM120,000 hingga RM150,000 setelah memperolehi diskaun hingga 40 ke 50 peratus! (daripada harga di pasaran antara kira-kira RM270,000 dan RM300,000).

Oleh kerana itulah, PR1MA Negeri Pahang dilihat berjaya dan akan memperolehi kejayaan yang lebih dengan semakin galaknya pemaju-pemaju perumahan berebut-rebut untuk turut membangunkannya.

Ini tentunya baik sementelah sambutan rakyat terhadap unit-unit rumahnya begitu menggalakkan juga, hinggakan kata Adnan, “Ohh… tak menang tangan. Terlebih borang daripada rumah (yang ditawarkan)”.  

Dengan gambaran yang positif inilah juga adalah diyakini, sasaran membina 15,000 unit rumah seperti yang telah diuar-uarkan, bukan sahaja bakal tercapai malah melebihi daripada sasarannya dalam tempoh lima tahun ini. – Khabar