Sunday 20 July 2014

Merdu, syahdu...



… mengikuti bacaan Dato’ Ahmad Faizol yang mengimamkan solat Isya’ disusuli terawih pada malam 23 Ramadan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1

PADA MALAM 23 RAMADAN... Dato' Ahmad Faizol kelihatan sedang menyemak dan menandakan halaman pada kitab al-Quran besar, sebagai pedoman kepadanya sebelum mengimamkan solat sunat terawih pada malam Ahad ini. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Merdu dan syahdu.

Inilah yang dapat dikatakan tatkala mendengar bacaan surah al-Quran termasuk surah-surah lazim sekalipun, oleh Dato’ Ahmad Faizol Ghazali yang mengimamkan solat fardhu Isya’ di susuli solat sunat terawih pada malam Ahad, 20 Julai bersamaan 23 Ramadan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini.

Begitulah merdu dan syahdunya hinggakan penulis berasa mahu cepatkan bacaan al-Fatihah secara sendiri selepas beliau membacakannya, demi untuk khusyuk mengikuti dan mendengari bacaan surah lain selepas itu.

Dan pada malam Ahad ini, bukanlah kali pertama penulis sebagai makmum, kepada solat jemaah yang diimamkan oleh Dato’ Ahmad Faizol – johan qari Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada tahun 2003; selaku imam jemputan kepada Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 ini.

Untuk Ramadan kali ini sahaja, sudah tiga-empat kali sebelumnya. Cuma kali ini, penulis terasa mahu menulis mengenainya, sementelah terkenang temubual penulis dengannya, yang artikel mengenainya tersiar dalam majalah versi cetak – Khabar Pahang bilangan 9 tahun kelima, keluaran Januari-April 2004.

PETIKAN DARIPADA ARTIKEL TENTANG DATO’ AHMAD FAIZOL

Berikut antara petikan kepada tulisan tersebut, yang tersiar pada halaman 22 dan 23;

Dato’ Ahmad Faizol Ghazali, 27, johan qari kebangsaan dan antarabangsa – yang pertama buat Pahang dalam sejarah 46 tahun Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan dan 45 tahun peringkat Antarabangsa, rupa-rupanya ialah juara juara pertandingan nyanyian ‘Bintang Kecil’ sewaktu di bangku sekolah dahulu.

Anak kelahiran Kampung Durian Hijau, Jerantut ini pernah menjadi juara pertandingan anjuran RTM itu bukan sekali tetapi tiga kali berturut-turut sewaktu di darjah 4, 5 dan 6 Sekolah Rendah Felda Sungai Retang.

Di darjah 4, beliau Berjaya kerana membawa lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon; diikuti darjah 5, sebuah lagu nyanyian Jay Jay; dan di darjah 6, lagu Nilai Cintamu nyanyian seorang lagi anak kelahiran Pahang, Allahyarham Sudirman.

Ekoran itu, Dato’ Ahmad Faizol yang ketika itu berusia 12 tahun, menerima pelbagai tawaran termasuk melanjutkan pelajaran ke sekolah asrama dan tawaran menjadi artis rakaman, bagi menggilap lagi bakat nyanyiannya.

AYAH SEORANG PENEROKA

Ketika itulah ayahnya seorang peneroka, Encik Ghazali Abdul Ghani dan ibunya seorang suri rumahtangga, Puan Habsah Sulaiman, terpaksa mengambil keputusan tegas mengenai hala-tuju kehidupan anak keenam daripada 10 beradik itu.

Keputusan itulah menjadikan Dato’ Ahmad Faizol seadanya hari ini iaitu seorang Mudhir di Maahad Tahfiz al-Quran Pengkalan Damar, Sungai Karang Darat, Kuantan serta johan qari kebangsaan pada tilawah yang diadakan di Stadium Bandaraya Johor Baharu pertengahan September lepas.

“Ayah dan ibu saya menjadi bimbang, terus tarik saya berjumpa Guru Besar memberitahu yang saya terpaksa menolak tawaran (memasuki sekolah asrama dan tawaran menjadi artis rakaman). 

“Sekolah pula berat hendak lepas. Kemudian, saya terus dihantar ke Terengganu,” kata Dato’ Ahmad Faizol dalam temubual menerusi telefon dengan Khabar Pahang pada pagi Selasa, 19 November (2003).

Di Terengganu, Dato’ Ahmad Faizol – ‘an all-rounder person’ hingga pernah juga mendapat tempat ketiga Tilawah al-Quran Kebangsaan Peringkat Sekolah Rendah, dimasukkan ke Maahad Tahfiz al-Quran Kubang Bujuk.

MENJADI HAKIM TILAWAH DAHULU, SEBELUM JADI PESERTA

Beliau berada di Maahad Tahfiz ini selama enam tahun (1988 – 1994). Di sinilah beliau mendalami ilmu al-Quran termasuk berkenaan bacaannya; tentang ‘tajwid’ (hukum-hakam tentang bacaan); ‘makhraj’ (cara menyebut huruf dengan tepat); dan ‘fasohah’ (mengetahui cirri-ciri tempat sempurna untuk berhenti).

Selepas itu, beliau menjelajah ke serata tempat hinggalah sejauh Indonesia untuk mendalami pengajian al-Qurannya dengan perbelanjaan sendiri. Sekembali ke negeri ini, beliau dilantik menjadui hakim bagi tilawah al-Quran peringkat negeri.

Dan pada tahun 1999, dengan peruntukan kewangan yang terhad, beliau membuka maahadnya sendiri di Pengakalan Damar itu. (NOTA EDITOR: Artikel penuh termasuk bagaimana Dato' Ahmad Faizol disaran menjadi peserta Tilawah, boleh diikuti dalam majalah edisi tahun 2004 itu). – Khabar